Pengedar rasmi jenama Mazda di Malaysia, Bermaz Motor kini telahpun melancarkan laman sesawang Mazda Anshin, iaitu platform yang memudahkan pelanggan untuk membeli atau menjual Mazda terpakai. Kereta-kereta yang dijual dalam laman berkenaan turut akan menyenaraikan unit-unit demo untuk dijual milik syarikat berkenaan dan juga unit-unit dari pelanggan yang membeli Mazda baharu secara tukar-beli.
Menurut Bermaz, setiap unit Mazda terpakai yang disenaraikan dalam laman Mazda Anshin ini terlebih dahulu perlu menjalani pemeriksaan 111-poin yang dibuat oleh juruteknik bertauliah bagi memastikan ia memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Ia termasuk bagi memastikan setiap kereta tersebut tidak pernah terperangkap dalam banjir mahupun mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan di mana bahagian casis turut akan diperiksa dalam penilaian ini.
Jika anda mahu menjual kereta Mazda anda menerusi program Anshin Mazda ini, anda terlebih dahulu menghantar kereta tersebut ke pusat servis bertauliah terpilih (setakat ini hanya di Glenmarie dan Petaling Jaya) untuk menjalani pemeriksaan berkenaan.
Proses ini akan mengambil masa lebih kurang sejam, dan memerlukan bayaran sebanyak RM200. Setelah pemeriksaan lengkap, kereta tersebut akan diberikan penilaian dan juga cadangan untuk harga jualan.
Manakala untuk anda yang berminat untuk membeli kereta Mazda terpakai yang berkualiti, anda boleh layari laman web berkenaan dan lihat barisan kereta yang ditawarkan yang telah pun menerima pengiktirafan Anshin. Bagi kereta yang masih lagi dalam perlindungan waranti pengeluar, waranti berkenaan akan diteruskan untuk pemilik seterusnya sehingga tamat tempoh tersebut.
Selain dari kaedah atas talian ini, anda turut boleh menguji dahulu kereta-kereta yang ditawarkan sebelum membuat pembelian di dua buah fasiliti pengedar Anshin yang terletak di Glenmarie dan Kajang. Untuk layari laman web Mazda Anshin, ada boleh terus klik PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.