Antara banyak kereta-kereta klasik, Ford Escort generasi pertama (Mk1) dan generasi kedua (Mk2) adalah antara model yang masih mudah untuk kita dapatkan alat gantinya. Kedua-dua model ini masih lagi aktif digunakan sebagai kereta lumba dan rali di Eropah, menyebabkan banyak pengeluar alat ganti dan peralatan prestasi masih membekalkan komponen Escort Mk1 dan Mk2 di England.

Motorsport-tools adalah antara pengeluar berkenaan. Sebut apa sahaja peralatan, semua mereka ada termasuk menghasilkan semula kerangka badan baharu untuk Escort Mk1 dan Mk2. Dengan kemampuan yang ada tersebut, kini Motorsport-tools mewujudkan satu divisi kereta lengkap yang digelar MST Cars dan mereka menawarkan pelanggan untuk membeli model lengkap Ford Escort Mk1 dan Mk2 yang betul-betul baru keluar kilang!

Syarikat berkenaan memberikan empat spesifikasi yang boleh pelanggan pilih untuk Ford Escort Mk1 atau Mk2 mereka iaitu Touring Road untuk kegunaan seharian, Fast Road & Track yang boleh digunakan di jalan raya dan litar, Group 4 Rally iaitu spesifikasi yang hampir kepada kereta rali Group 4 untuk WRC pada era 70’an, dan juga Ultimate Spec Rally yang kompetitif untuk perlumbaan rali moden.

Menurut MST, kesemua kerangka badan Ford Escort keluaran mereka ini dihasilkan dengan tangan di kilang yang terletak di Rochdale, Manchester. Kilang berkenaan dilengkapi dengan jig pemasangan kerangka badan, peralatan kimpalan terkini dan ia dihasilkan dari panel-panel Magnum asli.

Untuk badan Escort Mk1, pelanggan boleh memilih badan biasa dengan fender flare gaya Escort Mexico atau badan lebar dengan Bubble Arch yang lebih berotot. Manakala untuk Mk2, pelanggan boleh memilih badan standard atau dalam versi badan lebar yang diberikan fender ‘Tarmac’.

Model Group 4 Rally dan Ultimate Spec Rally akan diberikan kerangka badan lebih keras serta menampilkan cagak-cagak suspensi khas untuk perlumbaan. Ia termasuk pemadanan rollcage spesfikasi Persatuan Sukan Permotoran UK (MSA) dan FIA, sistem suspensi belakang enam hubungan, terowong transmisi lebih besar serta ruang roda bagi membolehkan suspensi dengan pergerakan turun-naik lebih jauh dipadankan.

Untuk suspensi, model-model untuk jalan raya akan diberikan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Manakala untuk model-model perlumbaan, MST memberikan barisan suspensi rali terkenal di Eropah dan WRC iaitu Reiger. Untuk semua jenis spesifikasi, pembeli boleh memilih pelbagai kombinasi brek dari AP Racing, dan versi-versi perlumbaan diberikan set padel box bersama pelaras nisbah brek hadapan dan belakang.

Kesemua Ford Escort ini dibekalkan dengan rak stering tanpa bantuan kuasa. Jika anda mahukan stereng lebih ringan, MST menawarkan opsyen sistem stereng kuasa elektrik (EPS) dengan motor yang disorokkan di bawah papan pemuka. MST juga menyediakan pelbagai jenis roda stereng balutan kulit dan sued untuk dipilih pelanggan.

Untuk kereta-kereta spesifikasi Touring Road dan Fast Road & Track, ia perlu didaftarkan pada pihak berkuasa bagi mendapatkan nombor plet untuk membolehkan ia dipandu secara sah di atas jalan raya. Kereta-kereta ini tidak melalui ujian Type Approval biasa seperti kereta baharu untuk pengeluar, sebaliknya ia menjalani ujian Individual Vehicle Approval (IVA) di Britain.

Oleh sebab itu, ketika didaftarkan ia tidak dinamakan sebagai Ford Escort, tetapi menggunakan nama ‘New MST Mk1’ dan ‘New MST Mk2’. Kerana Escort yang diproduksi semula ini juga perlu melepasi ujian pelepasan karbon seperti kereta-kereta baru lain, MST tidak menawarkan enjin-enjin ‘purba’ seperti Kent atau Pinto pada Ford British klasik, tetapi ditawarkan dengan enjin lebih moden Ford Duratec 2.5 liter.

Enjin tersebut menampilkan spesifikasi seperti blok dan kepala silinder aloi, throttle body billet dari ATR, sistem ekzos dengan besi tahan karat dari Simpson, roda tenaga lebih ringan bersama klac tugas berat dan kotak komputer dari Life Racing, membolehkan ia menjana sekitar 200 hp.

Untuk model-model perlumbaan yang tidak sah digunakan atas jalan raya, MST memberikan opsyen lebih agresif dengan sistem pelinciran dry-sump. Pembeli boleh memiliki Escort dengan enjin Ford BDG 2.0 liter twin cam yang menghasilkan sekitar 250 hp, dan juga enjin perlumbaan Millington Diamond 2.5 liter (sama seperti Proton Satria Neo S2500) yang menghasilkan sekitar 300 hp.

MST Cars menyediakan pelbagai konfigurasi kotak gear untuk Ford Escort yang diproduksi semula ini. Anda boleh memilih kotak gear manual dengan nisbah lima atau enam kelajuan, menggunakan set gear helical atau straight cut, serta sama ada mahukan paten penukaran secara ‘H-pattern’ konvensional atau sequential.

Transmisi lima kelajuan akan diasaskan dari kotak gear asal Ford, manakala pilihan transmisi enam-kelajuan pula akan diasaskan dari kotak gear Mazda MX-5.

Bagi menggerakkan roda belakang, kesemua Ford Escort keluaran MST Cars ini diberikan gandar Atlas, iaitu gandar yang kuat dipasangkan secara standard pada Ford Capri, dan turut digunakan oleh kereta-kereta rali asli Ford Group 4. Gandar tersebut turut menempatkan hab untuk pemasangan sistem brek cakera belakang, kit untuk melaras toe dan juga LSD dari Gripper Motorsport.

Untuk bahagian dalaman, MST menawarkan pelbagai jenis tempat duduk bucket untuk kegunaan harian dan juga perlumbaan sama ada dalam gaya klasik dan moden. Anda juga boleh menjadikan kabin Ford Escort anda seperti kokpit kereta lumba mahupun seperti model asli Ford Escort.

MST juga menawarkan pelbagai pilihan rim dari jenama seperti Minilite, Compomotive, Revolution dan Image, dalam saiz dari 13-inci sehingga 17-inci.

Berminat? Cuba periksa dulu akaun bank anda kerana kereta-kereta ini tidak dijual murah walaupun ia adalah produksi semula dari era 60’an dan 70’an. Untuk model Touring Road ia dijual pada harga asas bermula 69,000 pound (RM375k), manakala model Fast Road & Track pula ditawarkan pada harga bermula 75,000 pound (RM408k).

Untuk yang berminat untuk versi-versi perlumbaan, model Group 4 Rally dijual pada harga asas bermula 85,000 pound (RM462k), manakala model Ultimate Rally pula dijual pada harga asas bermula 95,000 pound (RM516k).