Pasti ramai yang sudah merancang untuk pulang ke kampung halaman atau pun bercuti di destinasi pilihan pada hujung minggu ini dan mungkin bersambung hingga ke minggu hadapan. Dan seperti biasa, pastinya lebuhraya-lebuhraya utama di negara ini bakal mengalami kesesakan khususnya pada waktu puncak.

Justeru, bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, pemegang konsesinya, ANIH Berhad, menyarankan pengguna lebuh raya ke Pantai Timur merancang perjalanan bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

Menurut Pengarah Eksekutifnya Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, kedua-dua lebuh raya dijangka mengalami waktu puncak mulai 6 pagi hingga 11 malam pada Khamis (24 Dis) bagi perjalanan ke Pantai Timur dan antara 6 pagi hingga 12 tengah malam Ahad (27 Dis) bagi laluan ke Kuala Lumpur, laporan Bernama.

“Pihak ANIH Berhad telah menyediakan jadual cadangan waktu perjalanan sebagai rujukan pengguna untuk ke Pantai Timur bagi membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan jumlah kenderaan terlalu banyak di plaza tol pada waktu sama,” katanya.

Tambahnya lagi, mereka yang ingin ke Pahang pada 24 Dis disaran memasuki lebuh raya antara 12 tengah hari hingga 4 petang atau 7 malam hingga 11 malam manakala bagi individu ke Terengganu atau Kelantan disaran memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

“Manakala bagi perjalanan ke ibu kota pada 27 Dis (Ahad), pengguna dari Pahang disaran memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau antara 7 malam hingga 11 malam manakala dari Terengganu disarankan masuk ke lebuh raya antara 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam.

Pengguna dari Kelantan pula dinasihatkan memasuki lebuh raya antara 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga 12 tengah malam,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi. Selain itu, pengguna juga diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah.