Curi kereta Perodua Myvi, guna nombor plat sama

Rujuk post sebelum ini :…

Posted by Info Roadblock JPJ/POLIS on Monday, 11 January 2021

Selalunya kes-kes kereta klon akan terjadi kepada model-model jenama import, terutama kereta-kereta berjenama yang diseludup dari negara jiran, kemudian diberikan nombor pendaftaran dan juga cukai jalan palsu yang diklon dari kereta lain yang sah. Tapi, baru-baru ini tular berkenaan sebuah Perodua Myvi generasi ketiga yang turut menjadi mangsa klon, apa cerita ni?

Menurut laporan Utusan Online, Perodua Myvi berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran klon berkenaan adalah kereta yang dicuri dan kini pihak polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam perkara tersebut. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan turut mengesahkan bahawa gambar yang tular tempoh hari dirakam orang awam ketika pemilik asalnya menemukan kereta yang menggunakan nombor pendaftaran sama tersebut.

Laporan berita berkenaan menyebut bahawa dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi 10 Januari lalu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) menerima panggilan daripada seorang individu yang menjumpai sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kereta miliknya. Bertindak atas maklumat, Anbalagan berkata bahawa pihaknya telah membawa balik kereta tersebut ke Balai Polis Bayan Lepas setengah jam kemudian.

Beliau turut menjelaskan bahawa setelah siasatan lanjut dibuat, seorang anggota polis yang juga bertindak sebagai pengadu dalam kes ini mendakwa mengenali pemilik kereta klon yang ditinggalkan berkenaan kerana dia pernah dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes kemalangan kereta di daerah ini pada 7 dan 14 Disember tahun lalu.

Namun Anbalagan menjelaskan bahawa individu yang didakwa terlibat dalam kemalangan tersebut nyata bukan orang yang sama dengan pemilik Myvi dengan nombor pendaftaran asli kerana dia menafikan terlibat dalam dua kejadian berkenaan.

Anbalagan turut memberitahu bahawa sehingga kini polis masih belum mengenal pasti identiti sebenar suspek terbabit dan meminta individu berkaitan tampil memberi keterangan berhubung kes kemalangan yang berlaku di daerah Barat Daya tahun lalu.