Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah memperkenalkan versi baru bagi model terkenal EX5 110 Fi, untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-35 di Malaysia. Ia ditawarkan untuk kedua-dua versi rim spoked dan rim sport, dengan harga masing-masing RM4,783 dan RM5,009 tidak termasuk insurans.

Apa yang berbeza pada model ulang tahun ke-35 ini cumalah pemasangan pelekat ulang tahun berbentuk bulat di bahagian kepuk hadapannya, sementara bahagian lain semua adalah sama seperti sebelum ini, termasuklah grafiknya. Jika sebelum ini ditawarkan dalam warna biru dan hitam, versi baru ini ditawarkan dalam warna biru dan merah metalik.

Honda EX5 dikuasakan oleh enjin satu silinder 110 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 5,500 rpm.

Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah tangki bahan api 4.3 liter, brek dram depan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, pemula enjin tendang dan elektrik, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.