Awal minggu lalu, CEO baru Renault, Luca de Meo telah mendedahkan bahawa pengeluar dari Perancis itu akan mengeluarkan semula model terkenal mereka sebelum ini, sebagai sebuah kenderaan elektrik. Satu daripadanya kini telah didedahkan, iaitu Renault 5 Prototype. Ia akan menjadi antara 14 model utama yang akan diperkenalkan oleh Renault menjelang tahun 2025.
Semasa majlis pengenalan yang dilakukan secara digital, pengarah rekaan Renault, Gilles Vidal menggambarkan 5 baru ini sebagai sebuah kereta bandar kompak dan menawan, yang pastinya mengingatkan kembali kepada 5 yang asal, serta mengekalkan karekter seronok dan nakalnya.
“Rekaan Renault 5 Prototype ini menggunakan asas daripada R5, sebuah model pujaan yang menjadi warisan kami. Prototaip ini juga menerapkan ciri moden, sebuah kenderaan yang relevan untuk masanya; urban, elektrik dan menarik,” kata Vidal.
Tiada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini, jadi apa yang boleh dilihat cumalah rekaannya. Ia mempunyai bentuk biasa sebuah hatchback lima pintu dan kita masih tidak mengetahui sama ada Renault akan mengeluarkan sebuah versi lebih sporty seperti R5 Turbo yang menggunakan tiga pintu.
Beberapa elemen gaya daripada R5 asal turut digunakan semula dan kini menyembunyikan ciri moden. Sebagai contoh, bukaan udara di atas bonet sebenarnya adalah tempat untuk mengecas, lampu kabus hadapan kini diganti dengan lampu DRL LED sementara lampu belakang pula mempunyai sirip aerodinamik. Nombor 5 digunakan pada beberapa bahagian seperti tepi pintu, belakang dan berhampiran lampu kabus.
Semasa pelancaran nanti, model ini dijangka mendapat sistem infotainmen My Link bersama Google binaan dalaman. Perincian selanjutnya berkenaan Renault 5 Prototype cuma akan diketahui apabila ia didedahkan secara penuh hujung tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.