Kalau bercakap tentang kereta fastback, hanya segelintir yang mampu menandingi penampilan dan daya tarik Audi A5 Sportback. Model tahun 2021 yang terbaru di Malaysia yang turut datang dengan kemaskini estetik, mekanikal dan teknologi menjadikannya lebih menarik dengan nilai tambah yang tiada sebelum ini.

Dari sudut rekaan, A5 Sport tampil dengan gaya lebih sporty didorong oleh rekaan baru bagi lampu utama Matrix LED dengan lampu nyalaan siang LED. Sistem pencahayaan berteknologi tinggi ini ditawarkan standard bagi semua varian A5 Sportback di Malaysia. Gril khusus Sigleframe padanya juga kini dijadikan lebih tirus, dan bersama dengan lekuk profil yang ada, memperlihatkan kereta coupe empat-pintu ini lebih atletik.

Di belakang, lampunya juga diberikan sentuhan rekaan baru, lengkap dengan lampu isyarat sequential LED. Turut ada ialah rekaan kemasan ala diffuser hitam yang menempatkan bersekali corong ekzos trapezoidal. Melengkapi rekaan luaran yang mengancam ini ialah rim 18-inci atau 19-inci, dengan pilihan yang kedua tersebut diberikan untuk varian quattro.

Di dalam, ciri pada kabinnya menampilkan rekaan stereng baru, dan di belakangnya terletak pula kokpit virtual beresolusi tinggi digital Audi dengan saiz 12.3-inci. Skrin sentuh 10.1-inci berasingan untuk paparan infotainmen pula terletak pada papan pemuka, lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta kawalan suara dan sokongan aplikasi myAudi.

Ini dibolehkan dengan kehadiran paltform infotainmen modular generasi ketiga Audi (MIB 3 dipacu oleh unit pemprosesan teras yang lebih pantas), menjadikan A5 Sportback model pertama dari Audi di Malaysia yang dilengkapi sistem MMI Navigation Plus canggih tersebut.

Menjadi nadi utama kereta ini ialah enjin EA888 2.0 liter turbocas petrol empat-silinder. Model paling asas pacuan depannya menerima versi janaan 190 PS dari 4,200 hingga 6,000 rpm dan 320 Nm tork antara 1,450 dan 4,200 rpm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 241 km/j.

Bagi model quattro pula, angka outputnya ditingkatkan kepada 249 PS dari 5,000 rpm hingga 6,500 rpm dan 370 Nm tork antara 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ia juga lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat dan laju maksimum dihadkan pada 250 km/j.

Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi klac berkembar S Tronic tujuh-kelajuan, dengan bantuan daripada sistem 12-volt mild-hybrid. Dengan ini, enjin A5 Sportback boleh bergerak dengan enjin dimatikan antara 55 km/j hingga 160 km/j, yang menyumbang kepada penambahbaikan penggunaan minyak sehingga 0.3 liter bagi setiap 100 km dalam penggunaan sebenar.

Berminat untuk mendapatkan sebuah kereta coupe empat-pintu yang paling menawan dalam pasaran ketika ini? Harga untuk Audi A5 Sportback ini bermula dari RM349,900, dan boleh didekati serta dipandu uji di semua bilik pameran Audi seluruh negara. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kereat ini, lawati juga Audi Online Showroom, di sini.