Tak lama selepas membuat penampilan sulung di Eropah, Toyota C-HR GR Sport kini mula dijual di UK. Ia ditawarkan dengan harga £31,395 (RM174k) bagi varian 1.8 liter yang paling asas, hinggalah £33,015 (RM183k) bagi model 2.0 liter.
Versi Eropah kosmetiknya tidak sama dengan yang JDM, melibatkan pertambahan yang menarik. Antara ciri unik varian GR Sport ini ialah splitter depan dalam warna hitam berkilat, diffuser rekaaan baru, kemasan pintu warna hitam dan perumah lampu utama gelap dengan gril hitam. Ia menggunakan rim 19-inci, dan datang dengan lapan pilihan warna luaran, semua dengan bumbung hitam.
Di dalam C-HR GR Sport ini dilengkapi dengan kerusi stereng balutan kulit berliang, animasi pemula GR pada paparan multi-info, plat GR Sport dan butang penghidup enjin, serta pilihan untuk kerusi balutan kulit Alcantara atau fabrik. Kedua-dua pilihan datang dengan jahitan benang merah dengan fungsi pemanas.
Kelengkapan standard lainnya termasuk sistem tanpa kunci, lampu utama dan cermin sisi automatik. Sistem bunyi stereo premium JBL dengan sembilan pembesar suara juga ada sebagai pilihan, dengan semua model menerima paparan lapan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto sebagai standard.
Aspek pengendalian dan casis juga ada sedikit kemaskini. Ini termasuklah penyerap hentak dan gelungnya yang lebih keras, anti-roll bar yang lebih tebal dan sistem stereng yang dipertingkatkan. Menurut Toyota, semua ini akan membantu menghadkan olengan badan pada C-HR ketika pemanduan.
Bagi enjin, kedua-dua unit itu hibrid, dengan keseluruhan sistemnya masing-masing menghasilkan output 122 hp dan 184 hp. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi CVT, dengan kadar penggunaan minyak 4.7 liter bagi setiap 100 km.
Ciri Toyota Safety Sense juga datang standard, dengan model asas menerima paling kurang ciri kawalan melayar adaptif dengan pengesanan tanda trafik. Turut ada ialah ciri AEB dengan pengesan kenderaan depan, bantuan stereng kecemasan dan bantuan mengekalkan lorong. Pakej tambahan pula terdiri daripada ciri masukan pintar, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.