Akhirnya, selepas lima tahun dipintas oleh Volkswagen Group, gergasi automotif Jepun iaitu Toyota kini disahkan merampas kembali gelaran pengeluar kenderaan paling laris di dunia. Khamis lalu Toyota mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual sebanyak 9.53 juta kenderaan sepanjang 2020, dan angka tersebut turut mewakili jenama lain di bawah naungan penuhnya iaitu Daihatsu Motor Co dan Hino Motors Ltd.
Ia jelas lebih tinggi dari angka yang diumumkan Volkswagen Group pada awal tahun ini di mana mereka berjaya menjual sebanyak 9.31 juta kenderaan tahun lalu.
Toyota berjaya merampas semula takhta berkenaan ketika keseluruhan industri automotif terjejas kerana pandemik Covid-19 tahun lalu. Walaupun jualan dilihat kembali pulih pada penghujung tahun, permulaan pandemik tersebut yang menyebabkan banyak kilang dan pusat jualan terpaksa ditutup cukup untuk menjejaskan jualan dengan kejatuhan sebanyak 14% berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan IHS Markit.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa kadar kejatuhan satu-satu jenama berkenaan adalah ditentukan oleh tahap pendedahan mereka pada pasaran-pasaran yang teruk terjejas kerana wabak tersebut.
Volkswagen misalnya, yang sememangnya kuat di benua asalnya iaitu di Eropah. Menurut Persatuan Pengeluar Automobil Eropah, benua berkenaan menunjukkan kemerosotan sehingga 24% dengan jualan tidak sampai 10 juta unit sepanjang 2020. Dengan itu, Volkswagen mencatatkan kejatuhan jualan sehingga 15%, atau jualan terburuk pernah dicatatkan dalam tempoh hampir satu dekad.
Manakala Toyota pula kuat di Amerika Syarikat, di mana pasaran berkenaan menunjukkan kemerosotan jualan 15% sepanjang 2020. Walaupun negara Uncle Sam berkenaan kini mencatatkan jumlah pesakit Covid-19 dan bersama jumlah korban tertinggi di dunia, ia tidak menjalankan perintah berkurung yang teruk seperti di Eropah. Jadi jualan Toyota hanya jatuh 11% tahun lalu.
“Secara semula jadi angka jualan adalah lebih rendah dari tahun sebelumnya kerana penularan wabak coronavirus. Tetapi kerana Toyota dan rakan kerjasamanya mampu untuk mengimplementasikan langkah-langkah pemulihan bagi mengatasi penularan virus tersebut, kami mampu untuk meneruskan aktiviti korporat kami dan memastikan kejatuhan sepanjang tahun lalu hanya berada pada tahap tersebut,” kata jurucakap Toyota, Chisato Yoshifuji semalam.
Menurut analisa yang disiarkan oleh Bloomberg pula, apabila VW menewaskan Toyota dari 2015 hingga 2019, kebangkitan semula jenama Jepun tersebut pada 2020 mungkin adalah permulaan untuk trend yang lebih lama. IHS Markit menjangkakan VW akan mengatasi Toyota buat sementara waktu pada 2021 kerana telah mula melancarkan model-model elektrik baharu, dan menjangkakan Toyota akan menjadi peneraju semula setiap tahun bermula 2025.
Penganalisa IHS Markit, Yoshiaki Kawano berkata Toyota akan kembali menikmati jualan yang tinggi di pasaran-pasaran utamanya di Amerika dan Jepun. Pada pasaran automotif terbesar dunia iaitu China, Toyota mungkin akan “berlawan sehabis baik” dengan menjual lebih banyak kereta elektrik dan SUV bagi memenuhi permintaan tempatan.
Secara keseluruhan, walaupun industri automotif kini masih terjejas dengan Covid-19 dan juga masalah kekurangan bekalan mikrocip baru-baru ini, IHS Markit menjangkakan jualan akan naik sehingga 84.4 juta unit berbanding 76.8 juta pada 2020.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.