#SembangTrafik

UBAH SUAI KENDERAAN MENGGUNAKAN TAYAR “HELLAFLUSH” BOLEH DIDENDA SEHINGGA RM2,000

Trend mengubah suai…

Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Saturday, 6 February 2021

Dah lama kita tak dengar pasal trend ubahsuai ‘tayar kangkang’ kan? Namun baru-baru ini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengulangi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah mengubahsuai kereta mereka sedemikian dan menggunakannya di atas jalan raya awam, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.

Menurut PDRM dalam amaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, pengubahsuaian tersebut boleh menyebabkan pemanduan terjejas akibat daripada kegagalan sistem keselamatan dan brek yang tidak berfungsi dengan cekap sehingga merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain.

Tindakan terhadap mereka yang bersalah boleh diambil di bawah Seksyen 6, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 170/59, iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.

Budaya ubahsuai ‘tayar kengkang’ yang juga dikenali dengan nama “Stance & Fitment”(Snf) atau “Hellaflush” telah meledak diperingkat dunia sekitar sedekad yang lalu. Ubahsuai ini sebenarnya mengambil inspirasi dari kereta-kereta lumba yang sangat rendah dengan tayar yang tenggelam ke dalam fender.

Manakala sudut camber tayar yang negatif dan nampak ‘kengkang’ pula dibuat atas berberapa faktor. Antaranya seperti sebab utama tadi; memang ada kereta lumba yang diberikan sedikit sudut camber negatif bagi mengoptimumkan cengkaman tayar ketika mengambil selekoh laju di litar.

Dengan sudut yang lebih negatif ini juga membolehkan tayar tenggelam ke dalam fender tanpa tersagat. Malah untuk kereta pacuan belakang dengan sistem gantungan bebas (IRS) di belakang akan terus memberikan sudut negatif semula jadi apabila suspensi direndahkan.

Namun seperti mana-mana juga scene, ada sahaja individu yang membuat modifikasi ini secara berlebih-lebihan. Ada yang mengenakan rim dengan diameter dan juga dimensi yang terlalu lebar, padanan tayar yang terlalu stretch, serta ada juga yang melaras sudut camber yang terlalu negatif. Bukan sahaja merbahaya, malah ada juga yang melaras ketinggian kereta terlalu rendah sehinggakan ia sukar untuk melepasi speed bump, dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Kereta lumba sebenar Suzuki Swift Sport HKS TRB-04 (kiri) dan Proton Iriz R3 (kanan), perhatikan sudut camber negatif yang tidak melebih-lebih pada tayar

Menerusi temuramah kami dengan Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib lima tahun lalu (ketika itu beliau masih memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif JPJ), JPJ melarang keras ubahsuai dengan tema SnF ini kerana ia adalah bertentangan dengan amalan kejuruteraan kerana rim yang digunakan telah menyebabkan tayar di’tarik’ serta mengubah offset asal rim, seterusnya mengubah pusat graviti (CoG), trek roda (wheel track atau jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan), serta lilitan roda (wheel circumference atau jarak satu golekan lengkap tayar).

Beliau juga menjelaskan bahawa perubahan semua aspek ini akan menyebabkan bukan sahaja penggunaan bahan bakar yang berlebihan, ia juga akan menyebabkan tayar hilang cengkaman terutamanya pada permukaan basah dan akan menyebabkan kemalangan.

“Tiada masalah untuk pemilik kereta menukar rim asal mereka, tetapi haruslah penukaran tersebut tidak bertentangan dengan amalan kejuruteraan dan tidak mengubah CoG, wheel track dan juga wheel circumference. Penukaran rim yang betul bukan sahaja memberikan rupa yang lebih cantik terhadap kereta, ia juga akan memberikan pengendalian yang lebih baik.” tambah beliau.