Kilang pembuatan tayar jenama Silverstone yang terletak di Kamunting, Taiping Perak bakal menamatkan operasinya pada bulan Jun ini, menurut laporan Berita Harian. Perkara ini diumumkan oleh syarikat induk jenama berkenaan iaitu Toyo Tire Corporotion.

Menurut Presiden dan CEO Toyo Tire, Takashi Shimizu, langkah itu diambil selepas mengambil kira persekitaran operasi, kedudukan kilang dalam strategi globalnya serta keupayaan pengeluaran. Selepas penamatan operasi pengeluaran tayar Silverstone di Taiping tersebut, kumpulan seterusnya akan membubarkan Silverstone Malaysia Berhad (SSM).

“Toyo Tire telah sampai pada kesimpulan bahawa penutupan kilang itu tidak dapat dielakkan. Prosedur pembubaran akan dimulakan pada 31 Disember 2021 (dirancang) dan akan mengikuti prosedur yang diperlukan sesuai dengan peraturan dan undang-undang tempatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyo Tire.

Walau bagaimanapun, pengeluaran dan bekalan produk jenama Silverstone tertentu sebelum ini yang dihasilkan di SSM akan dipindahkan ke Toyo Tire Malaysia Sdn Bhd (TTM) yang menghasilkan tayar jenama Toyo Tire. Menurut Shimizu, buat masa sekarang SSM mengeluarkan tayar untuk kenderaan baru dan tayar jenama Silverstone untuk penggunaan selepas pasaran, terutamanya untuk pengeluar kenderaan di Malaysia, serta tayar jenama tertentu Toyo Tires tertentu.

Beliau turut menjelaskan bahawa TTM berfungsi sebagai hab global, membekalkan tayar bukan sahaja ke Asia Tenggara, tetapi juga ke pasaran global lain termasuk Amerika Utara, Eropah, dan Jepun.

Shimizu juga berkata bahawa Toyo Tire mencatatkan kerugian luar biasa berjumlah 6.27 bilion yen, dalam hasil kewangan yang digabungankan bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2020.

“Ia terdiri daripada kerugian penurunan nilai sebanyak 5.11 bilion yen dan kerugian pembubaran anak syarikat dan sekutu sebanyak 1.159 bilion yen,” katanya.