Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

Selepas menyiarkan teaser Volvo XC40 Recharge T5 minggu lalu, Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengesahkan SUV plug-in hybrid ini bakal memasuki pasaran tempatan. Malah difahamkan, acara pelancaran secara maya akan dilangsungkan pada jam 11 pagi, 25 Februari 2021 ini.

XC40 PHEV pertama kali diperkenalkan pada April 2018 di Beijing Motor Show dan telah dibawa masuk ke pasaran beberapa buah negara. Ini termasuklah Thailand, di mana ia adalah unit yang dibawa masuk dari Malaysia, jadi kemungkinan besar kita juga akan menerima model yang sama.

Nama Recharge digunakan pertama kali pada XC40 versi elektrik dengan penggerak P8, dan ia membuat penampilan global pertama pada bulan Oktober 2019. Pada masa itu, Volvo juga memberitahu bahawa nama Recharge itu akan digunakan pada semua model Volvo yang mempunyai kuasa elektrik, termasuklah elektrik penuh dan plug-in hybrid.

Bagi model spesifikasi pasaran Thailand, unit T5 Twin Engine pada XC40 Recharge ini terdiri enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder turbo yang turut boleh beroperasi dengan bahan api gasohol E10 yang dijual pada negara berkenaan. Ia menjana 180 PS (178 hp) pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 1,500 hingga 3,000 rpm. Kuasa dari enjin ini dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh-kelajuan dengan sistem Geartronic.

Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

Tidak seperti sistem hibrid T8 Twin Engine yang diberikan motor elektrik untuk memacu roda belakang dan memberikan sistem AWD, motor elektrik pada sistem T5 Twin Engine ini diletakkan di dalam kotak gear dan kuasa tambahan hanya disampaikan pada roda hadapan. e-Motor ini memiliki kuasa sebanyak 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, sekaligus menyumbang kuasa keseluruhan sebanyak 262 PS (258 hp) dan 425 Nm.

Sebagai perbandingan, model semasa, varian T5 AWD R-Design tanpa plug-in hybrid yang dijual di sini diberikan unit 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 252 PS dan 350 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan konvensional dan pacuan semua-roda secara standard.

Mengenai kelebihan kuasanya, sebenarnya XC40 PHEV sedikit perlahan untuk pecutan dari sifar ke 100 km/j, mengambil masa 7.3 saat berbanding 6.4 saat oleh T5 AWD, disebabkan bebanan bateri lithium-ion 10.7 kWh. Manakala kelajuan maksimum bagi kedua-dua varian lebih kurang sama iaitu sekitar 180 km/j.

Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

Penggunaan bahan api bagi XC40 PHEV didakwa serendah dua liter per 100 km, di mana ia lebih bagus berbanding T5 AWD dengan 7.7 l/100 km. Jika anda memandu sekitar 42-45 km, anda boleh menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Model ini turut didatangkan dengan pengecas AC onboard 3.7 kW secara standard, dengan sambungan Type 2 dan tiga-pin biasa, soket 2.3 kW, yang mengambil masa selama lima jam untuk pengecasan penuh. Manakala dengan stesen pengecasan 3.7 kW, 7 kW atau 22 kW, masanya dikurangkan ke tiga jam.

Untuk harganya, ia akan didedahkan pada acara pelancarannya. Sebagai rujukan, XC40 T5 R-Design ditawarkan dengan harga atas jalan RM241,450 tanpa insurans, dengan pengurangan cukai jualan sehingga 30 Jun ini.

Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

Ada kemungkinan VCM boleh mengikut jejak langkah Volvo Car Thailand dengan menggantikan T5 AWD dengan Recharge T5. Apabila XC40 PHEV dilancarkan di Thailand, ia telah menggantikan T4 Momentum tanpa hibrid dan juga T5 AWD R-Design yang pernah ditawarkan di negara itu.

Barisan model tersebut di sana buat masa ini termasuklah varian asas Recharge T5 R-Design yang berharga 2.09 juta baht (RM281,325), iaitu sama dengan T4 Momentum. Sementara spesifikasi tertinggi R-Design dengan Inscription juga ditawarkan dengan harga yang sama iaitu 2.39 juta baht (RM321,587) – tidak berubah dari T5 AWD R-Design.

Adakah harga untuk pasaran Malaysia adalah lebih kurang dengan yang ditawarkan di negara jiran kita itu? Nantikan perkembangan selanjutnya apabila ia dilancarkan tidak lama lagi.

GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required