Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengeluarkan satu teaser melalui laman media sosial mereka, yang seakan memberi bayangan terdapat model baru bakal diperkenalkan. Sudah tentu, perinciannya tidak diberitahu, tetapi terdapat beberapa petunjuk dalam teaser tersebut yang menghala kepada XC40 Recharge T5.

Dalam gambar yang dimuat naik tersebut, kita boleh melihat lampu hadapan XC40, iaitu sebuah model yang sebenarnya sudah pun dilancarkan di Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat tanda #VolvoRecharged yang menunjukkan ini adalah varian dengan bantuan kuasa kuasa elektrik, dan model ini masih belum tiba di Malaysia.

Nama Recharge digunakan pertama kali pada XC40 versi elektrik dengan penggerak P8, dan ia membuat penampilan global pertama pada bulan Oktober 2019. Pada masa itu, Volvo juga memberitahu bahawa nama Recharge itu akan digunakan pada semua model Volvo yang mempunyai kuasa elektrik, termasuklah elektrik penuh dan plug-in hybrid.

Jadi bermakna, apa sahaja model Volvo yang boleh dicas, sama ada ia menggunakan enjin PHEV Twin Engine ataupun elektrik sepenuhnya, ia akan menggunakan nama Recharge. Anda juga sudah boleh melihat terdapat versi Recharge untuk XC90, XC60 dan S60 yang dijual di Malaysia sekarang.

Pada waktu ini, XC40 yang dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia cuma dijual dalam satu varian, T5 AWD R-Design dan dikuasakan oleh enjin empat silinder Drive-E 2.0 liter turbo. Ia mampu menghasilkan kuasa 252 hp dan 350 Nm, dengan kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

Sementara itu, XC40 Recharge T5 pula menggunakan padanan enjin petrol tiga silinder 1.5 liter (sama seperti Proton X50) yang berkuasa 180 PS/265 Nm bersama motor elektrik yang diletakkan pada transmisi klac berkembar tujuh kelajuan di hadapan.

Hasilnya, XC40 PHEV ini cuma menggunakan pacuan dua roda hadapan, dengan motor elektrik itu memberi tambahan kuasa 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, seterusnya menjadikan kuasa keseluruhan model ini 262 PS (258 hp) and 425 Nm.

Pada aspek prestasi, XC40 PHEV tidaklah sepantas XC40 T5 biasa, dan ia cuma boleh memberi laju maksimum 180 km/j (berbanding 230 km/j) serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat (berbanding 6.4 saat). Walaupun begitu, ia mempunyai kelebihan pada aspek kecekapan dengan penggunaan bahan api yang dikatakan dapat menjadi serendah 2.0 l/100 km berbanding 7.7 l/100 km pada model XC40 biasa.

Motor elektrik pada model ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 10.7 kWh yang diletakkan pada bahagian terowong tengah kenderaan, dan dapat memberikan jarak gerak 42 hingga 45 km menggunakan elektrik sepenuhnya. Pengecas AC 3.7 kW diberikan secara standard, dan bersama sambungan Type 2 serta soket tiga pin biasa 2.3 kW, ia mengambil masa lima jam untuk penuh. Apabila menggunakan stesen pengecas 3.7 kW, 7.0 kW atau 22 kW yang lebih berkuasa pula, masa itu dapat dikurangkan sehingga tiga jam.

XC40 Recharge T5 ini juga sudah dijual di Thailand, dan media di sana melaporkan bahawa unit yang tiba di negara mereka diimport dari Malaysia. Oleh sebab itu, sentiasa timbul khabar angin model ini akan dilancarkan tidak lama lagi dan teaser itu menghala kepada topik yang sama.

Pada aspek harga, keadaannya adalah berbeza di Thailand, kerana XC40 Recharge T5 menggantikan varian T4 Momentum (bukan hibrid) dan T5 AWD R-Design yang ditawarkan sebelum ini. Di sana, model permulaan XC40 Recharge T5 R-Design dijual pada harga 2.09 juta baht (RM282,450), iaitu sama seperti XC40 T4 Momentum sebelumnya sementara dua lagi varian iaitu R-Design dengan spesifikasi lebih tinggi serta Inscription dijual pada harga sama iaitu 2.39 juta baht (RM322,993).

Dengan melihat kepada cara ini, mungkinkah VCM juga akan mengikut strategi yang sama dengan mengeluarkan XC40 T5 AWD R-Design dan menggantikannya dengan XC40 Recharge T5 pada harga sama? Pada masa sekarang, dengan pengecualian cukai yang diberi, XC40 T5 AWD R-Design (bukan PHEV) dijual pada harga RM241,450 tidak termasuk insurans. Terdapat juga kemungkinan dua-duanya sekali ditawarkan kepada pasaran.

Untuk pengetahuan, dalam pasaran global lain, terdapat juga varian Recharge T4 yang mana enjin tiga silindernya menghasilkan cuma 129 PS dan 245 Nm tork, tetapi digabungkan dengan komponen elektrik yang sama untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 214 PS (211 hp) dan 405 Nm. Kita tidak menjangkakan ketibaan varian ini, dan juga XC40 Recharge P8 (elektrik penuh) kerana biasanya model elektrik penuh adalah lebih mahal berbanding model PHEV.

GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design