Volvo XC40 dengan teknologi elektrifikasi, iaitu versi Recharge T5 kini sudah pun sampai ke pasaran ASEAN dan ia mendarat di Thailand terlebih dahulu. Untuk pasaran berkenaan, XC40 Recharged T5 tersebut hadir dalam tiga varian kemasan iaitu R-Design Expression, R-Design dan juga Inscription.

Ketiga-tiga varian kemasan ini hanya ditawarkan dengan satu jenis sistem kuasa iaitu T5 Twin Engine plug-in hybrid (PHEV), manakala model-model dengan enjin petrol sepenuhnya yang dijual sebelum ini tidak lagi ditawarkan di Thailand.

Menurut Volvo, nama “Recharged” kini bukan hanya digunakan untuk model elektrik sepenuhnya, sebaliknya ia akan diberikan untuk semua model yang mempunyai palam pengecaj elektrik termasuk model-model PHEV.

Untuk pasaran Thailand, unit T5 Twin Engine pada XC40 Recharge ini terdiri enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder turbo yang turut boleh beroperasi dengan bahan api gasohol E10 yang dijual pada negara berkenaan. Ia menjana 180 PS (178 hp) pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 1,500 hingga 3,000 rpm. Kuasa dari enjin ini dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh-kelajuan dengan sistem Geartronic.

Tidak seperti sistem hibrid T8 Twin Engine yang diberikan motor elektrik untuk memacu roda belakang dan memberikan sistem AWD, motor elektrik pada sistem T5 Twin Engine ini diletakkan di dalam kotak gear dan kuasa tambahan hanya disampaikan pada roda hadapan.

Motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 82 PS dan tork 160 Nm, membolehkan XC40 T5 Recharged ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 262 PS (258 hp) dan tork maksima 425 Nm. Dengan gandingan tersebut, SUV kompak ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, manakala kelajuan maksima pula dihadkan hanya pada 180 km/j.

Ia juga membolehkan model lebih mesra alam ini mencapai penggunaan bahan api serendah 2.3 liter untuk setiap 100 km (43.5 km/l) dan hanya menghasilkan 52 g/km gas CO2.

Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri lithium-ion 10.7 kWj yang diletakkan pada terowong tengah kerangka kereta tersebut. Dengan 1 caj penuh, ia boleh bergerak sejauh 44 km dengan hanya menggunakan kuasa elektrk.

Volvo Thailand tidak memperincikan sistem pengecaj model ini, namun sebelum ini diketahui bahawa XC40 menerima pengecaj AC onboard 3.7 kW. Dengan penyambungan Type 2 dan soket 2.3-kW tiga pin biasa, ia memerlukan selama lima jam untuk caj penuh, manakala dengan stesen pengecaj 3.7, 7- atau 22-kW masa berkenaan dapat dipendekkan sehingga hanya 3 jam.

Model asas R-Design Expression dijual pada harga 2.09 juta baht (RM279,517), atau lebih kurang sama dengan model asas tanpa sistem hibrid T4 Momentum yang ditawarkan ketika XC40 mula-mula masuk ke pasaran Thailand sebelum ini.

Varian kemasan ini disertakan dengan casis Dynamic, rim aloi 18-inci, paparan instrumen digital 12.3-inci, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori untuk sebelah pemandu, sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan-inci bersama sistem audio lapan-pembesar suara, lampu hadapan LED dengan lampu tinggi automatik, pintu tailgate bantuan kuasa, penghawa dingin dua zon, upholsteri kulit Nubuck, dan juga pengecas telefon tanpa wayar.

Ia juga disertakan dengan sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari sistem City Safety (brek kecemasan automatik), sokongan pengelak pelanggaran bersama brek automatik, pemantau titik buta dan amaran lintasan belakang bersama brek automatik, bantuan kekal lorong, tujuh-beg udara, kawalan menurun bukit, bantuan mula mendaki dan kamera undur.

Bagi model R-Design dan Inscription pula, kedua-duanya dijual pada harga 2.39 juta baht (RM319,736), sama dengan model tertinggi tanpa hibrid T5 AWD R-Design sebelum ini. Kedua-duanya juga diberikan spesifikasi hampir sama, dibezakan hanya pada penggayaan; model R-Design tampil dengan imej sporty bersama casis Sport, manakala Inscription pula nampak lebih elegan dengan casis Dynamic.

Untuk kelengkapan, kedua-duanya diberikan ciri-ciri dari R-Design Expression yang dipertingkat termasuk lampu hadapan LED dengan fungsi bergerak mengikut putaran stereng, Pilot Assist, cruise control adaptif, Park Assist Pilot, bumbung panaromik berkuasa elektrik, upholsteri kulit Nappa, sistem Sensus Navigation bersama sistem audio Harman Kardon 600-watt dan 13-pembesar suara.

Pada bahagian dalaman, R-Design menerima kemasan papan pemuka Cutting Edge, manakala Inscription pula diberikan kemasan Driftwood.

Untuk pasaran Malaysia, kita masih lagi hanya ditawarkan dengan XC40 T5 AWD R-Design dengan enjin petrol sepenuhnya 2.0 liter turbo berkuasa 255 PS (252 hp)/350 Nm digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, dijual pada harga RM241,450.

Dengan spesifikasi tersebut, ia mampu memecut dari 0-100 km.j 6.4 saat dan juga kelajuan maksima yang belum dihadkan dan boleh mencapai 230 km/j. Menurut laporan dari Headlightmag, XC40 T5 Recharge pasaran Thailand ini dibekalkan oleh hub pemasangan Volvo untuk ASEAN iaitu kilang Volvo yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam. Jadi tak mustahil model yang sama turut akan dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi.