PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Dalam barisan model Volvo, siri S60 adalah model yang dikaitkan dengan prestasi. Model generasi pertama S60 dalam versi T5 lima-silinder turbo pun sudah sangat mengujakan untuk dipandu, dan Volvo turut menghasilkan model lebih serius pada generasi berkenaan dikenali sebagai S60R, dibekalkan dengan kuasa 296 hp/400 Nm bersama sistem AWD.

Untuk model generasi kedua, Volvo sendiri menyifatkan ia sebagai sebuah sedan yang nakal. Tiada lagi versi R pada model ini, tetapi model terakhir paling berkuasa iaitu S60 T6 menerima enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E bersama pengecas turbo serta supercharger, menghasilkan kuasa 306 hp dan tork maksima 400 Nm.

Kedua-dua generasi awal Volvo S60 ini telah memberikan pelbagai memori manis buat saya sendiri. Jadi apabila model generasi ketiga S60 hadir ke pasaran Malaysia dengan unit janakuasa T8 Twin Engine yang menjanjikan 407 hp dan tork maksima 640 Nm, sudah tentu saya tidak sabar untuk mengujinya. Dengan kuasa yang jauh lebih besar, adakah S60 generasi baharu ini jauh lebih nakal dari model generasi sebelumnya?

Seperti abangnya iaitu Volvo S90, S60 ini juga diasaskan dari platform generasi baharu Volvo Scalable Product Architecture (SPA). Platform ini sangat fleksible dan ia boleh berubah untuk menjadi asas sebagai sebuah sedan kompak seperti S60 ini, berbanding S90 dengan saiz yang lebih besar.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Begitu juga dengan rupa, dua model ini tidak jauh berbeza. Pada bahagian muka, anda boleh bezakan antara kedua model berkenaan dari lampu nyalaan siang LED ‘Tukul Thor’ pada S60 mempunyai bahagian ‘hulu’ yang lebih terkeluar dari kluster lampu hadapan berbanding S90.

Manakala bahagian belakang, plat nombor pendaftaran S60 diletakkan pada bahagian penutup but, berbanding S90 yang diletakkan pada bampar. Bahagian paling ketara sudah tentu pada bentuk badan keseluruhan – saya secara peribadi jauh lebih suka melihat S60 dengan saiz ‘cukup-cukup sedap mata memandang’ dan nampak lincah walaupun tidak bergerak, berbanding S90 yang nampak terlalu besar.

Model pasaran Malaysia ini menerima pakej penggayaan R-Design secara standard. Jadi S60 T8 ini hadir dengan liang kemasukan pada bampar yang lebih besar, diffuser lebih garang pada bampar belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid.

Tipikal model-model ‘prestasi’ Volvo turbo, kit R-Design ini tampil dengan gril hadapan egg-crate generasi baharu dengan elemen pin dalam kemasan hitam. Penampilan kemasan R-Design pada S60 ini dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut/matte black, dibaluti tayar 235/40R19.

Apabila pintu sebelah pemandu di buka, anda akan disambut dengan tempat duduk R-Design balutan kulit Nappa hitam/fabrik Nubuck kemasan Charcoal Black yang akan ‘memeluk’ badan anda. Agak sukar untuk membezakan papan pemuka S60 ini dari S90 jika anda lihat sekali imbas kerana rekaan asasnya serta panel instrumen digital dengan skrin bersaiz 12.3-inci dan juga skrin infotaimen Sensus Connect bersaiz 9-inci yang berdiri seperti tablet nampak seiras.

Tiada tombol gear Orrefors pada S60 T8 ini, sebaliknya diberikan tombol gear balutan kulit R-Design yang pada saya memang nampak lebih padan kerana ia nampak lebih sporty berbanding imej yang terlalu elegan dan mewah pada tombol gear kristal.

Walaupun konsol terowong pada S60 ini kelihatan sangat besar, ruang storan untuk barang sebenarnya sangat kecil. Tiada ruang untuk anda letakkan telefon pintar di bawah konsol tengah papan pemuka, dan anda perlu meletakkannya secara berdiri pada pemegang cawan, manakala ruang pada tempat simpanan di bawah perehat tangan juga tidak dalam sekaligus memberikan ruang simpanan yang kecil.

Ini kerana sepanjang terowong berkenaan, di bawahnya terdapat bateri lithium-ion 11.6 kWj bagi membekalkan kuasa pada sistem motor elektrik sistem hibrid T8 Twin Engine kereta ini. Walaupun ia nampak semacam menggangu ruang simpanan, susun atur bateri yang unik ini dapat mengelakkan bateri berkenaan menggangu ruang but belakang atau menjadikan posisi tempat duduk menjadi tinggi sekiranya ia diletakkan di lantai.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Selain itu, rekaan dan posisi bateri tersebut juga dapat membantu mengekalkan pusat graviti yang rendah, sekaligus ia tidak akan menggangu dinamik pemanduannya seperti apa yang terjadi pada kebanyakkan kereta hibrid atau elektrik sepenuhnya yang lain.

Suis penghidup enjin juga direka unik, di mana ia bukan dalam bentuk suis tekan yang diletakkan pada papan pemuka, sebaliknya direka sebagai suis putar yang terletak di belakang tombol gear.

Sistem plug-in hybrid pada unit penjana T8 Twin Engine ini adalah antara sistem hibrid yang paling diperhalusi dalam pasaran buat masa sekarang. Setiap kali anda putar suis penghidup enjin, bukan bermakna enjin petrol kereta ini terus hidup.

Selalunya, ia hanya menghidupkan sepenuhnya sistem elektrik dan elektronik kereta ini di mana pada permulaan anda bergerak, ia sebenarnya digerakkan dengan motor elektrik pada gandar belakang. Perjalanan anda akan disambung dengan enjin petrol kereta ini apabila komputer merasakan ia perlu.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Sistem hibrid T8 Twin Engine ini tidak mempunyai motor penghidup untuk menghidupkan enjin petrol, sebaliknya tugas tersebut diambil alih komponen yang dikenali sebagai crankshaft-mounted starter generator (CISG), iaitu motor yang disambungkan kepada aci engkol enjin yang bukan sahaja mampu menghidupkan enjin, malah turut berfungsi untuk mengecas semula elektrik, serta memberikan tujahan tork 150 Nm ketika kereta mula memecut.

Unit CISG yang dipadankan bersepadu dengan enjin serta dibekalkan dengan tork yang kuat ini membuatkan penukaran dari perjalanan menggunakan kuasa elektrik kepada kuasa enjin petrol tidak akan terasa langsung. Anda hanya akan tahu status penggunaan kuasa ini menerusi paparan instrumen – tiada bacaan RPM enjin akan diberikan, sebaliknya digantikan dengan meter penunjuk penggunaan kuasa ini.

Apa yang saya perasan, ketika memandu, setiap kali pedal pendikit diangkat, enjin petrol kereta ini akan dimatikan walaupun ketika kereta bergerak. Enjin akan hidup semula tanpa anda terasa sebaik sahaja anda menekan semula pedal pendikit.

Begitu juga ketika anda berhenti ketika menunggu di lampu isyarat mahupun dalam kesesakan lalu lintas, enjin petrol dimatikan tanpa anda terasa serta tiada gangguan langsung pada sistem penghawa dingin kerana ia dilengkapi pemampat yang berfungsi dengan kuasa elektrik.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Apa yang saya ceritakan ini akan terjadi sekiranya anda menggunakan mod Hybrid. Jika anda menukar mod pemanduan (boleh ditukar semudah memutarkan pemilih di belakang suis penghidup enjin) kepada mod Pure, kereta ini akan berfungsi dengan motor elektrik sepenuhnya, jika bekalan elektrik dalam bateri mencukupi.

Menurut Volvo, dengan satu cas penuh bateri lithium-ion tersebut, S60 T8 ini boleh bergerak menggunakan motor elektrik sepenuhnya dalam jarak melebihi 49 km. Ini bermaksud sekiranya kereta ini digunakan setiap hari untuk bergerak dari rumah ke pejabat dalam jarak tidak melebihi 49 km, anda hanya perlu mengecaj bateri di rumah dan di pejabat tanpa menggunakan petrol.

S60 ini juga dipenuhi pelbagai ciri yang membuatkan pemanduan seharian anda di bandar yang sibuk seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang sesuatu yang mudah. Kereta ini disertakan dengan sistem Pilot Assist iaitu sistem pemanduan separa-automatik Volvo.

Menerusi sistem ini, sekiranya anda memandu dalam kesesakan trafik, anda bukan sahaja tidak perlu mengawal sendiri pedal pendikit dan pedal brek menerusi sistem cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, malah stereng kereta ini juga dikawal oleh komputer di mana ia menggunakan garis lorong sebagai panduan.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Walau bagaimanapun, tangan anda perlu sentiasa berada pada roda stereng dan bersedia mengambil alih kawalan sekiranya perlu. Komputer kereta ini akan memberi amaran menerusi paparan instrumen untuk memegang semula stereng sekiranya ia mengesan anda melepaskannya dalam masa yang lama.

Bantuan stereng yang yang diberikan ini hanya sehingga kereta mencapai kelajuan 140 km/j, manakala untuk cruise control adaptif pula sehingga 200 km/j.

Jika anda menggunakan sistem navigasi yang dibekalkan, penunjuk arah akan turut dipaparkan pada instrumen digital utama. Bukan sekadar arahan ringkas, ia turut memaparkan dengan terperinci lorong mana yang perlu anda ambil sekiranya berhadapan dengan susur keluar yang berselirat yang selalunya terdapat di Kuala Lumpur.

Ia juga bukan sahaja diberikan sistem pengenal papan tanda trafik yang akan memberikan anda amaran pada paparan instrumen dan paparan head-up, malah turut dilengkapi dengan amaran had laju serta kawasan yang mempunyai kamera AES.

Dari tadi cerita pasal keselesaan dan keselamatan, jadi Volvo S60 ini nakal ke tak nakal? Jika anda menggunakan dua mod pemanduan tadi dan juga satu lagi mod yang dinamakan sebagai Constant AWD (motor elektrik pada gandar belakang sentiasa berfungsi bagi memberikan sistem pacuan semua roda setiap masa), S60 ini memang terasa seperti sebuah sedan ‘ayah-ayah’ kerana ia sangat senyap serta respon pendikitnya agak ‘malas’ – anda perlu menekannya secara agresif mendapatkan letusan kuasa.

Namun jika anda memilih mod Power, barulah sifat garang kereta ini keluar. Dalam mod ini, meter penunjuk kuasa tadi bertukar kepada meter RPM enjin kerana menerusi mod, ini enjin petrol akan sentiasa dihidupkan dan bunyi enjin kedengaran seperti biasa.

Walau bagaimanapun, bunyi enjin yang dihasilkan tidaklah garang dan tidak menggambarkan ianya mampu menghasilkan kuasa yang cukup besar. Kepada yang belum tahu, enjin petrol pada model T8 ini adalah enjin yang sama pada model-model T6 Volvo, iaitu unit 2.0 liter Drive-E yang digandingkan dengan pengecas turbo dan supercharger serentak, menghasilkan 320 hp dan tork maksima 400 Nm.

Enjin ini memacu roda hadapan menerusi kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik. Kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm dikira setelah diambil kira sekali kuasa yang dihasilkan oleh motor elektrik pada gandar belakang yang membekalkan 87 hp/240 Nm.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Menurut Volvo, sistem T8 Twin Engine ini membolehkan S60 berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat. Ini serius, dari kedudukan pegun, setelah anda menekan pedal pendikit semahunya, tork dari roda hadapan dan belakang akan menolak anda melekat pada tempat duduk.

Untuk mencapai kelajuan 200 km/j bukan sesuatu yang sukar untuk S60 T8 ini. Namun tiada drama seperti bunyi enjin yang garang mahupun tukaran gear yang menyentap, tahu-tahu dah 200 km/j. Dan untuk mengekalkan kelajuan tersebut, bacaan putaran enjin hanya berada pada sekitar 4,000 rpm dengan pedal pedikit ditekan sekitar 20%-30% – anda berada pada kokpit pemandu dengan tenang dan senyap.

Eh, bukan ke Volvo dah tetapkan cut-off kelajuan maksima 180 km/j pada kereta ini? Ya tuan-tuan, memang ia akan dibuat, tetapi di Malaysia bukan untuk masa ini. Buat masa sekarang, S60 T8 yang dibuat di kilang Volvo Shah Alam ini masih boleh mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

Untuk pengendalian, S60 T8 ini nampaknya ditala dengan dinamik yang neutral. Ia melekat seperti bergerak di atas rel ketika mengambil selekoh, tiada kecenderungan untuk understeer atau oversteer. Namun jika ia dipaksa untuk masuk ke selekoh dengan kelajuan tinggi, saya dapat rasakan tork diberikan pada roda belakang bagi mengelakkan terjadinya understeer.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Stereng kereta ini juga agak baik dan agak laju serta tepat, memudahkan ia dikendali ketika melayan selekoh pada jalan berliku. Dan walaupun tork yang agak kuat diberikan pada roda hadapan, pemandu tidak akan bergelut dengan sebarang torque steer.

Suspensi juga agak baik di mana walaupun ia memberikan pemanduan yang selesa, daya olengan juga berada pada tahap minima ketika mengambil selekoh dengan laju. Tidak hairan sebenarnya kerana pakej R-Design ini juga dibekalkan dengan Dynamic Chassis bersama suspensi jenis passive damping.

Namun apa yang saya kurang gemar adalah karekter kotak gearnya. Walaupun ia diberikan pedal penukar gear, ia tidak boleh beroperasi secara manual sepenuhnya. Sukar untuk saya mengekalkan kedudukan satu-satu gear ketika melayan selekoh.

Gear akan naik sendiri sebelum rpm enjin mencapai bacaan redline sekiranya pedal pendikit tidak ditekan rapat ke lantai. Manakala ketika mahukan engine braking, gear tidak dapat diturunkan secara agresif, dan tiada sebarang auto-blip diberikan pada pendikit.

PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

Jadi karekter kotak gear ini pada saya agak ‘skema’ ketika anda memerlukan gaya pemanduan yang sporty, dan saya kerap ‘bergaduh’ dengan kotak gear ini kerana ia sering memberikan kedudukan gear yang tidak sesuai dengan apa yang saya inginkan.

Volvo S60 T8 Twin Engine versi CKD ini dijual pada harga RM295,888 ketika dilancarkan pada Mei lalu. Namun dengan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan, ia kini berharga RM282,540 sehingga 31 Disember 2020 nanti. Juga sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-63 hujung minggu ini, pembeli juga ditawarkan dengan insurans percuma bagi tahun pertama, pakej Polestar Optimisation percuma dan juga servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun (VSA5+) sehingga hujung September ini.

Pada saya, harga yang ditawarkan ini agak kompetitif berbanding pesaingnya yang berdasarkan perincian, spesfikasi, teknologi dan juga kuasa enjin yang ditawarkan – kereta mana lagi yang anda boleh beli untuk mendapatkan kuasa lebih dari 400 hp dengan harga di bawah RM300k?

Namun untuk dari segi aspek ‘nakal’, pada saya markahnya tidak setinggi model-model generasi sebelumnya – S60 T8 Twin Engine ini memang lebih laju, tetapi ia bersifat lebih ‘jinak’. Mungkin Volvo Cars Malaysia boleh pertimbangkan untuk membawa masuk S60 T6 yang kurang sistem elektrik dan elektronik berbanding versi paling tinggi ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required