Volvo Car Malaysia hari ini mengumumkan kempen Merdeka Volvo 2020 sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dan Hari Malaysia tahun ini. Kempen ini melibatkan tawaran istimewa bagi tiga model sedan daripada Volvo – Volvo S60 T8 R-Design, Volvo S90 T8 Inscription dan Volvo S90 T8 Special Edition.

Ia bukan tentang tiga model itu sahaja; tawaran istimewa yang diberikan juga ada tiga, iaitu insurans percuma untuk tahun pertama, pakej Polestar percuma dan juga servis dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun (VSA5+) – semua ini diberikan sebagai tambahan kepada pengecualian cukai SST yang sedang berlangsung sehingga hujung tahun nanti.

Selain daripada tiga tawaran istimewa tersebut, pembeli Volvo S90 Inscription Plus dan juga S90 T8 Special Edition turut akan menerima baucar bernilai RM15,000 untuk membeli aksesori bagi model Inscription Plus, sementara untuk kit penggayaan saguhati berserta pakej rim 20-inci dan tayar bernilai RM35,000 bagi versi edisi khas tersebut. Volvo Car Malaysia juga telah melanjutkan kempen tempahan atas taliannya hingga penghujung Ogos nanti. Kempen berkenaan menawarkan pakej Polestar percuma bagi semua kereta Volvo yang ditempah secara atas talian.

Bagi tiga kempen sempena Merdeka pula, masing-masing bernilai sebanyak RM11,000 bagi insurans percuma tahun pertama, RM5,250 bagi pakej Polestar dan RM9,200 bagi servis percuma lima tahun. Sebagai tambahan lain, pengguna kad kredit Maybank juga layak untuk menikmati pelan ansuran EzyPay 0% sehingga RM30,000, yang termasuk sekali 10 kali mata ganjaran Maybank TreatsPoints.

Melalui kempen ini, Volvo Car Malaysia turut menawarkan kepada semua peluang untuk memiliki cenderamata eksklusif Volvo seperti jam tangan, cermin mata gelap dan banyak lagi pada harga terkumpul RM1,957 – tersedia ialah tawaran terkumpul bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak, dengan setiap daripadanya teridiri daripada barangan gaya hidup.

Terakhir, melalui kerjasama dengan Thule Malaysia, pemilik Volvo yang menunjukkan kunci kereta mereka ketika membeli mana-mana bag Thule Crossover 2 akan dihadiahkan dengan Thule Subterra
PowerShuttle Organiser bernilai RM119. Pemilik kenderaan Volvo juga akan menerima potongan harga 15% bagi semua barangan Thule sehingga hujung Disember 2020. Untuk sebarang keterangan lanjut berkaitan kempen Merdeka Volvo 2020, klik di sini.