Sempena dengan tawaran bulan Kemerdekaan yang istimewa ini, ia melibatkan tiga model sedan daripada Volvo – Volvo S60 T8 R-Design, Volvo S90 T8 Inscription dan Volvo S90 T8 Special Edition. Di mana model S90 T8 Special Edition turut ditawarkan dengan kit badan T8 Inscription MY2020 bernilai RM35,000 secara percuma.

Aksesori tulen ini hadir dengan kit penggayaan luaran dan dua pilihan roda bersaiz 20-inci. Kit penggayaan tersebut termasuklah lip hadapan, skirt sisi dan bootlid spoiler dengan kesan “ducktail”. Manakala bahagian bawah badannya ditambah pula dengan beberapa jaluran krom.

Sekiranya pelanggan tidak mahu roda standard pelbagai-jejari 19-inci, boleh juga memilih kelainan dengan dua pilihan roda 20-inci. Menerusi foto yang dipaparkan ini, ia hadir dengan rekaan potongan berlian hitam pekat lima-jejari yang nampak lebih sporty. Pilihan lain termasuk rekaan potongan berlian hitam pekat lapan-jejari yang lebih elegan.

Biar pun set roda dan penggayaan luaran ini bernilai RM35k, tetapi anda hanya perlu membayar dengan harga biasa bagi mendapatkan T8 Inscription ini iaitu RM349,670, harga atas jalan tanpa insurans, dengan potongan cukai jualan 2020.

Varian S90s dijanakan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder, yang digabungkan dengan transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Aisin. Enjin T8 Twin Engine plug-in hybrid merupakan unit supercharged dan turbocharged untuk lonjakan kuasa 320 hp dan 400 Nm. ICE dipadankan dengan motor elektrik 87 hp/240 Nm yang memacu roda belakang untuk AWD. Motor tersebut dijanakan oleh bateri lithium-ion 10.4 kWh, yang jika dicas penuh mampu dipacu hingga 50 km.

Kombinasi kuasa keseluruhan mencecah 407 hp dan tork 640 Nm, yang membolehkan S90 T8 dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 250 km/j.

Inscription merupakan kemasan mewah dan S90 T8 menerima lebih banyak kit yang menarik termasik tombol gear kristal iluminasi Orrefors (rekaan baharu bagi MY2020), kemasan kayuan walnut, upholstery kulit Nappa dan papan pemuka kulit sepenuhnya dengan jahitan kontras, serta beberapa ciri lain.

Manakala ciri eksklusif untuk Inscription Plus berharga RM368,920 adalah sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 19-pembesar suara, peredam adaptif Four-C dan suspensi udara pada gandar belakang. Pembeli S90 T8 Inscription Plus tidak akan menerima pakej aksesori bernilai RM35k seperti yang ditunjukkan ini, tetapi akan diberikan baucer bernilai RM15,000 untk membeli aksesori. Lihat ketiga-tiga varian S90 dengan pilihan warnanya DI SINI.

Seperti mana yang dinyatakan, tawaran untuk S90 T8 ini adalah sebahagian daripada Kempen Merdeka 2020 Volvo, ia juga termasuk untuk S60 T8 R-Design baharu. Kempen ini sedang berlangsung sehingga hujung September – termasuk insurans percuma bagi tahun pertama, pakej pengoptimuman Polestar X percuma dan juga servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun (VSA5+).

GALERI: Volvo S90 T8 Special Edition 2020