Volvo S90 pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada Mac 2017. Sedan flagship ini ketika itu tampil dengan versi wagon V90 sekali, sebagai unit CBU, sebelum dipasang di sini kemudiannya.

Sebagai model CKD, S90 dijual dalam varian T8 Twin Engine Inscription dan Inscritption Plus, sebelum T5 Momentum tiba pada November 2018. Versi kemaskini model ini diperkenalkan pada Ogos tahun lalu dengan perubahan kecil, dan sebelihnya ia kekal seperti penawaran awal dahulu.

Pilihan warna yang ada juga diperbaharui. Baru-baru ini, kami mendekati lima unit S90 yang berbeza — dari segi warna dan juga varian T8/T5 – untuk melihat perbezaan penawaran yang ada ketika ini. Ikuti galeri yang disediakan ini untuk lihat dengan lebih lanjut.

Semua model S90 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas Drive-E empat-silinder, dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Aisin. Model paling asas T5 memberikan kuasa sebanyak 254 hp dan 350 Nm pacuan roda depan, manakala pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 6.8 saat dan laju maksimum 230 km/j.

Varian T5 tampil dengan kurang kemasan krom pada luarannya berbanding T8 dengan rim 19-inci dengan rekaan yang berbeza dan lebih sporty. Di dalam, T5 hanya menggunakan tombol gear balutan kulit berbanding tombol kristal pada T8.

T8 Twin Engine pula menggunakan dua sistem janaan kuasa plug-in hybrid. Unit enjin 2.0 liter empat-silinder Drive-E datang dengan supercas dan turbocas dengan angka janaan yang lebih besar – 320 hp dan 400 Nm. Enjin ini disertai pula oleh motor elektrik yang memacu roda belakang, dengan kuasa 87 hp dan 240 Nm.

Ia menggunakan bateri lithium-ion 10.4 kWh yang boleh menyediakan jarak perjalanan EV 50 km. Digabungkan kedua-duanya, sistem ini menyediakan 407 hp dan 640 nm, membolehkan T8 untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Selebihnya, teliti galeri lengkap ini untuk melihat perbazaan estetik yang lain antara kedua-dua varian dan tingkat kemasannya.

Sepanjang tahun ini, dengan pengecualian SST hingga 31 Disember nanti, S90 T5 Momentum dijual pada harga RM319,630 sementara T8 AWD Inscription pada harga RM349,670 dan T8 AWD Inscription Plus pada harga RM368,920 atas jalan tidak termasuk insurans.

Volvo S90 T5 Momentum

Volvo S90 T8 Inscription

Volvo S90 T8 Inscription Plus