PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

Sejak sekian lama, Volvo sering digambarkan sebagai jenama alternatif bagi mereka yang mahukan sebuah kereta premium tetapi bukan berasal dari Jerman seperti Mercedes-Benz dan BMW. Dari satu sudut, ya Volvo memang berada pada aras yang sama ketika bersaing dalam pasaran, namun dari segi penghasilan produk, Volvo seringkali tidak dapat menghasilkan model-model ‘sehalus’ saingan-saingannya dari Jerman berkenaan.

Dari segi saiz syarikat, jelas jenama dari Sweden ini tidak sebesar BMW dan Mercedes-Benz, secara tidak langsung ia mengehadkan kemampuan Volvo untuk meneroka teknologi yang lebih kehadapan. Malah ketika sahamnya dikuasai Ford Motor Co., Volvo pernah hampir bankrap sewaktu berlakunya krisis ekonomi global 2008.

Di bawah Geely, pasukan jurutera Volvo bukan sahaja bebas untuk meneroka pelbagai teknologi baharu, malah mereka juga diberikan suntikan modal yang begitu besar. Untuk memulihkan kembali jenama tersebut, Volvo mula membangunkan platform dan enjin-enjin baharu untuk menggantikan unit-unit sedia ada – yang sebahagiannya ‘terpaksa’ berkongsi dengan model-model dari Ford, dan akhirnya terhasillah platform Scalable Product Architecture (SPA) dan juga barisan enjin empat-silinder Drive-E baharu.

Sedan Volvo S90 ini merupakan antara produk awal yang diasaskan dari platform SPA berkenaan, selain versi SUVnya iaitu XC90 yang hadir ke pasaran lebih awal. Untuk Malaysia, S90 dan kembar wagonnya V90 diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi CBU T5 dan T6 pada March 2017, manakala versi CKD dengan unit janakuasa plug-in hybrid T8 Twin Engine yang lebih berkuasa ini pula muncul pada Oktober tahun lalu.

PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

Disebabkan ia ia dipasang dalam negara oleh kilang Volvo di Shah Alam, serta mempunyai sistem hibrid plug-in, kereta ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM368,888 varian Inscription dan RM388,888 untuk Inscription Plus, mengambil kesempatan keatas insentif pemotongan cukai EEV yang ditawarkan kerajaan.

Sebagai perbandingan, S90 T5 (254 hp/350 Nm) dijual pada harga RM388,888, manakala T6-AWD R-Design yang lebih berkuasa (320 hp/400 Nm) pula dijual pada harga RM453,888. Namun untuk untuk pemilik T6 sedia ada tidak perlu berasa rugi, kerana versi T8 ini tidak dijual dengan kemasan R-Design dengan imej yang garang berkenaan pada pasaran Malaysia.

Bagi bahagian luaran, S90 T8 Inscripiion ini menampilkan rupa yang lebih lembut. Gril hadapan model ini diberikan elemen jeriji menegak dengan salutan krom, berbanding T6 R-Design yang diberikan gril ‘egg-crate’ kemasan hitam berkilat yang nampak lebih garang. Model Inscription ini juga tidak diberikan apron yang agresif, sebaliknya diberikan liang kemasukan udara sisi yang lebih tirus, bersama gril bawah pada bampar yang kelihatan seperti misai. S90 T8 juga menerima sepasang lampu LED dengan ciri Active Bending Lights lengkap bersama lampu nyalaan siang LED “Thor Hammer” bina dalam.

Manakala pada bahagian belakang, hanya emblem yang membezakan kedua-dua varian ini serta model T8 ditambah dengan satu kemasan krom antara perumah kedua-dua tip ekzos. Bahagian sisi juga kelihatan sama, cuma model T8 diberikan rim 19-inci 10-jejari Diamond cut berbeza dengan T6 R-Design hadir dengan rim Ixion 19-inci – kedua-dua rim ini dibaluti tayar 255/40R19.

PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

Bahagian kabin juga tiada perbezaan yang sangat ketara. S90 T8 Inscription turut diberikan skrin utama menegak pada bahagian tengah papan pemuka untuk sistem infotaimen Sensus, manakala untuk pemandu, kluster informasi digital sepenuhnya diberikan menerusi paparan TFT 12.3 inci bersama paparan heads-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

Perbezaan antara paling ketara adalah pada panel-panel kemasan dan konsol terowong tengah. Model T6 R-Design menerima kemasan-kemasan gentian karbon sebenar pada papan pemuka dan juga pintu, manakala pada bahagian yang sama untuk T8 ia diberikan trim-trim dari kayu walnut. Model tertinggi ini juga menerima tombol gear kristal Orrefors Sweden, berbanding tombol biasa pada model T6.

Apa yang membezakan model Inscription dan Inscription Plus adalah pada sistem audionya. Inscription diberikan sistem audio berprestasi tinggi yang menampilkan 10-pembesar suara dan amplifier enam-saluran berkuasa 330 watt, manakala bagi mereka yang memilih versi Inscription Plus pula akan menikmati sistem bunyi Bowers & Bilkins dengan 19-pembesar suara (tujuh tweeter Nautilus, tujuh pembesar suara mid-range Kevlar, empat woofer dan sebuah subwoofer dengan liang udara 250 mm), bersama amplifier 12-saluran berkuasa 1,400 watt.

Model T8 Twin Engine ini menggunakan enjin petrol yang sama pada versi T6 iaitu unit empat-silinder 2.0 liter yang mendapat suapan pengecas turbo dan supercharger, digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Aisin. Apa yang berbeza, versi ini turut mendapat bantuan kuasa dari motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 87hp/240 Nm, yang menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 10.4 kWh (hanya 9.2 kWh pada XC90 T8). Secara keseluruhan, S90 Twin Engine dibekalkan dengan kuasa 407 hp/640 Nm.

PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

Ketika pertama kali duduk dalam kabin kereta ini, saya dapat rasakan S90 yang menggunakan platform SPA ini merupakan model yang mengalami peralihan yang amat drastik. Kedudukan pemandu pada kereta ini benar-benar rendah sehinggakan anda akan berasa selesa dengan ‘berlunjur’ seakan memandu sebuah kereta sport. Kedudukan punggung yang hampir ke lantai kereta ini juga sebenarnya membolehkan anda memandu dengan mendapat input pergerakan badan kereta dengan lebih bagus.

Tetapi jika anda perasan, terowong tengah kereta ini agak besar berbanding kereta lain. Untuk pengetahuan anda, bahagian tersebut merupakan bahagian yang menempatkan pek bateri sistem hibrid pada platform SPA ini. Dengan rekaan sedemikian, bateri besar tersebut tidak perlu diletakkan di bawah tempat duduk yang akan membuatkan tempat duduk jadi tinggi ataupun diletakkan pada ruang but belakang yang jelas akan mengganggu ruang kargo – model ini kekal dengan kapasiti but 500 liter.

Dengan posisi sedemikian juga, ia sebenarnya banyak membantu dari segi pengendalian kerana bateri yang berat berkenaan tertumpu pada bahagian tengah casis bagi mendapatkan titik graviti yang lebih baik.

Material yang digunakan untuk komponen-komponen bahagian dalaman kereta ini juga jelas sangat berkualiti, dan sudah tentu boleh merunsingkan BMW dan Mercedes-Benz. Perincian yang diberikan betul-betul akan membuat mulut anda melopong, contohnya seperti tombol gear kristal dan juga panel-panel kayu walnut sebenar pada papan pemuka dan pintu.

Walaupun Volvo itu sendiri bukan lagi milik Sweden, namun pasukan jurutera dan pereka bentuk kereta ini masih kekal dengan jati diri tempat kelahiran jenama berkenaan. Selain dari rekaan-rekaan yang berasaskan Scandinavian Design yang ergonomik seperti perabot Ikea, banyak perincian kecil yang diberikan yang menaikkan semangat warisan sejarah Volvo seperti bendera Sweden yang dijahit pada kerusi dan juga perkataan ‘since 1959’ pada kepala tali pinggang keledar yang mengingatkan kita bahawa Volvo yang mempatenkan rekaan tali pinggang keledar tiga-poin, kemudian membenarkan kesemua pengeluar kereta menggunakannya tanpa sebarang bayaran royalti demi keselamatan semua pengguna kereta di dunia.

Bagi mereka yang memilih model Inscription Plus, bonus untuk anda kerana ia diberikan sistem bunyi Bowers & Wilkins. Sistem bunyi ini bukan sekadar gimik semata-mata kerana ia telah ditala bagi memberikan bunyi yang benar-benar jelas dan ‘sebiji-sebiji’. Talaan berkenaan bukan sahaja dari sistem bunyi itu sendiri, malah kedudukan setiap pembesar suara juga mempunyai kiraan matematiknya sendiri.

Tiga preset utama diberikan untuk sistem bunyi ini iaitu Studio, Stage dan Concert Hall. Pilih mod Concert Hall, kemudian mainkan runut bunyi dari Hans Zimmer. Pejamkan mata, kemudian anda akan merasakan pengalaman sebenar seperti dalam dewan konsert orkestra. Menurut Volvo, aspek akustik kabinnya ditala secara khusus untuk mendapatkan pengalaman bunyi seperti di Gotenburg Symphony Orchestra.

Pada kebanyakkan masa, ketika suis enjin dihidupkan, enjin kereta ini tidak akan dihidupkan terlebih dahulu kerana akan anda mula bergerak menggunakan motor elektrik pada gandar belakang. Sekiranya bateri hibrid dicas penuh, anda boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan sejauh 50 km.

Bagaimana pula dengan prestasi pemanduan? Dari segi kuasa, S90 T80 jelas lebih berkuasa dari pesaing terdekatnya iaitu Mercedes-Benz E 350 e(281 hp/550 Nm) dan BMW 530e iPerformance (252 hp/420 Nm). Tipikal sebuah Volvo, kuasa yang diberikan agak ‘punchy’ sekiranya anda menekan pedal pendikit dengan agresif walaupun pada mod pemanduan normal.

Pemanduan akan bertambah mengujakan sekiranya mod Power dipilih – bunyi dari enjin terus berubah lebih kuat, kuasa dan tukaran gear diberikan lebih agresif, cukup untuk menakutkan siapa sahaja yang berada di dalam kabin ketika anda ‘berlepas’ dari kedudukan pegun. 0-100 km/j? hanya 4.8 saat tuan-tuan, ini bukan lagi Volvo untuk guru besar pencen dan ia mampu mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

Disebabkan motor elektrik memacu roda belakang ini juga, secara tidak langsung memberikan sistem pacuan semua roda pada sedan besar ini, walaupun tanpa proppeller shaft.

Khas untuk model Inscription Plus, pengendaliannya turut dibantu sistem suspensi dengan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik (Four C) pada bahagian hadapan dan belakang, manakala di belakang diberikan sistem suspensi dari jenis udara. Sistem ini membolehkan ketinggiannya dilaras semula secara automatik berdasarkan beban yang dibawa, bagi membolehkan talaan terbaik diadaptasikan bergantung pada keadaan jalan raya.

PANDU UJI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription Plus plug-in Hybrid – selamat datang ke masa hadapan

Bukan sahaja memiliki sistem janakuasa yang begitu maju, S90 T8 ini turut diberikan sistem separa pemanduan sendiri digelar Auto Pilot. Menerusi sistem yang boleh berfungsi sehingga 130 km/j ini, bukan pedal pendikit dan brek sahaja yang tidak perlu anda kawal (berfungi seperti cruise control adaptif), malah stereng juga akan dikawal oleh komputer dengan mengambil garis pembahagi jalan sebagai penduan.

Namun anda masih perlu meletakkan kedua-dua tangan pada roda stereng (amaran akan diberikan sekiranya anda melepaskan tangan terlalu lama) untuk bersedia terhadap sebarang kemungkinan, dan ia masih lagi belum boleh berfungsi untuk menukar lorong secara automatik.

Turut tidak ketinggalan, S90 T8 ini dilengkapi dengan pakej Volvo Intellisafe yang terdiri fungsi seperti city safety dengan brek automatik sepenuhnya, pengesanan pintar terhadap pengayuh basikal, pejalan kaki dan haiwan besar, sistem amaran perlanggaran serta Park Assist bersama kamera 360 darjah.

Jangan kata dengan Volvo 240 atau 940, malah jika dibandingkan dengan model flagship Volvo S80 sebelum ini juga, S90 T8 menampilkan anjakan teknologi yang begitu jauh kehadapan. Umum mengetahui bukan Volvo sahaja yang sedang membina kereta-kereta dengan teknologi elektrik serta sistem pemanduan sendiri, malah trend keseluruhan dunia automotif sedang menuju kearah itu.

Kita dah masuk ke tahun 2020, tetapi masih lagi belum nampak kereta terbang seperti yang digambarkan pada filem Back to the Future. Tetapi selepas memandu kereta ini, saya pasti kereta seperti Knight Industries Two Thousand atau KITT dalam siri televisyen Knight Rider pasti akan muncul tidak lama lagi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required