Sewaktu pertama kali melihat model Volvo S90 serta versi wagon V90 pada majlis pelancarannya dahulu – terutama dari varian T6 R-Design yang paling tinggi yang anda lihat ini – ia tak henti-henti bermain dalam fikiran. Banyak perkara yang boleh diperkatakan tentangnya.

Namun, hal pertama yang akan menangkap imajinasi siapa pun yang pernah memandangnya, apatah lagi di depan mata, ialah estetika dan pendekatan reka bentuk yang ditampilkan. Tambahan pula yang ditampilkan dalam warna biru seperti yang dapat dilihat di sini – warna khusus untuk versi T6 R-Design.

Jika Volvo S80 dahulu berada dalam posisi segmen yang agak “tergantung” di dalam pasaran kenderaan premium (mengambil kira harganya serta spesifikasi yang ditawarkan), kehadiran S90 mengubah hal itu; ia kini diposisikan sebagai penawaran balas daripada Volvo terhadap model-model pesaing oleh pengeluar kenderaan Jerman seperti BMW 5 Series dan Mercedes-Benz E-Class. Volvo kini mempunyai lawan yang setara di dalam segmen premium berkenaan.

Melalui varian T6 R-Design pula, ia adalah sebagai jawapan Volvo terhadap model yang hadir dengan lambang BMW M Sport dan Mercedes-Benz AMG-Line. Dalam maksud lain, Volvo menyedari hala tuju baru yang ingin diambil, dan barisan model yang ditawarkan sejak beberapa tahun ini juga lebih berdaya saing, serta ingin mendahului di depan dari aspek teknologi yang digunakan.

Adalah penting juga untuk memahami perkembangan ini; model-model Siri 90 yang dikeluarkan oleh Volvo untuk pasaran global sejak beberapa tahun ini juga menandakan fasa baru yang sedang dilalui oleh syarikat pengeluar kenderaan Sweden itu.

Setelah bergelut dengan situasi kewangan serta masalah pengurusan di bawah Ford, Volvo seperti menerima nyawa baru selepas syarikat itu diambil alih sepenuhnya oleh Geely pada 2010. Sejak itu, apa saja hala tuju dan pembangunan produk yang difikirkan baik untuk Volvo – yang kekal beroperasi di Sweden dengan pendekatan sedia ada – menerima sokongan daripada Geely.

Operasi dua syarikat berkenaan tidak dicampur aduk, dan Geely antaranya menyuntik dana untuk membolehkan Volvo meneruskan apa saja rancangan yang dirasakan wajar untuk menjadikannya lebih berdaya saing. Ini merupakan perkara yang sukar dilakukan sebelum itu, antaranya akhibat kekangan kewangan.

Peralihan pemilik dan pengurusan menampakkan perbezaan yang ketara buat Volvo. Selepas daripada episod berkenaan, sebuah model dengan teknologi plug-in hybrid serta lengkap dengan ciri termaju dalam kenderaan penumpang diperkenalkan – SUV XC90. Ini menjadi pembuka lembaran baru buat Volvo dipersada global.

Model berkenaan tidak menunggu lama untuk tiba di Malaysia sejurus selepas itu, pada Disember 2015. Lebih menarik, pada Jun 2016, versi CKD-nya pula dilancarkan di sini – Malaysia menjadi negara pertama selain Sweden yang mampu memasang model berteknologi maju ini.

Ini disusuli pula oleh dua model yang berkongsi spesifikasi yang hampir identikal, namun tampil dengan penggayaan reka bentuk badan yang berbeza – Volvo S90 sedan dan Volvo V90 wagon. Di dalam “baju” R-Design, kedua-duanya sangat memikat.

Di luar, sudah dapat dilihat kemasan yang berlainan yang menjadikannya sangat unik dan sedap mata memandang. Gril hitam, cermin sisi dengan chrome satin finished, rekaan lampu dengan teknologi terkini (dengan elemen LED Thor’s Hammer) serta sunroof – semuanya ada fungsi yang tersendiri dan menyumbang kepada penggayaannya yang sangat menonjol.

Dari bahagian depan, tidak keterlaluan sekiranya ingin menyifatkan Volvo S90 sebagai mempunyai “wajah” antara yang paling menarik bagi kenderaan premium kelasnya. Karektor positif sangat terserlah hanya dengan memandangnya.

Di belakang pula, ia sedikit “bertenang”. Rekaan lampu belakangnya seperti tidak segarang atau tidak mengimbangi imej bahagian hadapan. Rekaan bentuk-C yang ada kelihatan begitu ringkas. Apa pun, pada pandangan saya, itu agak elegan, dalam “nada” yang lebih rendah.

Ini sangat berbeza dengan rekaan belakang pada wagon V90. Agaknya Volvo memang sengaja berbuat demikian, untuk menimbal balik imej dari belakang yang ringkas pada S90. Komposisi rekaan padanya, serta kedudukan lampu belakang dengan dua elemen – yang menegak di sisi serta pada bahagian pintunya – melengkapi profil model ini dengan begitu baik.

Disebabkan terlalu banyak perkara yang menarik dan seperti memanggil-manggil tentang model ini – tentunya juga dari padangan mata kasar atau di atas kertas S90 tampil dengan begitu meyakinkan – saya tak teragak-agak untuk melakukan perjalanan balik hari dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat sewaktu mendapat kesempatan untuk memandu ujinya.

Duduk di dalam kabinnya sahaja sudah mampu melahirkan rasa senang dan kagum. Volvo S90 T6 R-Design ini dilengkapi dengan tempat duduk sport yang berlainan daripada versi T5. Ia seperti memberi isyarat awal terhadap apa yang boleh dijangkakan daripada aspek pemanduannya.

Suasana kabinnya juga memberikan petunjuk yang sama – anda sedang duduk di dalam sebuah kereta yang mempunyai kemampuan prestasi yang baik di satu sisi, serta keselesaan di sisi lain. Ini adalah tanggapan awal yang saya dapati; dan tentulah, ini satu permulaan yang sangat baik.

Dari sudut pemanduan dan kendalian, saya rasakan S90 ini mampu memberikan reaksi yang agak “hidup” juga. Maksudnya, pada bila-bila masa, saya tidak ragu-ragu untuk terus memandu, baik dalam bandar, ketika jalan sesak atau ketika laluan lurus, ia tak pernah menerbitkan rasa janggal atau letih untuk terus memandu.

Di tempat pemandu, saya lebih selesa untuk merendahkan kedudukan kerusi sehabis boleh, agar kaki boleh dilunjur ke depan – satu kedudukan yang tidak mengizinkan saya untuk melihat jarak hud depan dengan baik, tetapi sebaliknya terasa begitu sebati dengan aspirasi kereta ini dari sisi sporty dan agresifnya.

Volvo S90 T6 R-Design menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E empat-silinder dengan bantuan supercaj dan turbocaj – menghasilkan 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm tork antara 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. S90 dan V90 dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan serta sistem pacuan AWD.

Angka-angka ini sudah tentu menyumbang secara langsung kepada ciri pemanduan yang ditawarkannya. Pada kebanyakan waktu, saya memandu menggunakan mod Comfort. Dan ada ketika yang lain, akan beralih pula kepada mod pemanduan Dynamic.

Di antara keduanya, memang terasa perbezaan maklum balas keseluruhan – pedal minyak, respon enjin, kekerasan suspensi – yang memisahkan kedua-dua mod ini dengan agak ketara. Saya juga menggemari hal ini; S90 mampu bertukar kepada karektor pemanduan yang agresif, dan pada masa sama tidak kelihatan begitu garang di luar. Hanya orang di dalamnya yang mampu merasakan peralihan prestasi itu.

Walaupun merasakan kemampuan kendalian S90 masih tidak semantap misalnya pada kenderaan BMW – yang sangat sinonim dengan kejuruteraan pemanduan yang sangat padu, bahkan bagi model-model biasanya – Volvo S90 tetap ada sudut tersendiri dalam diri saya.

Bagaimanapun, tetap ada beberapa perkara yang saya rasakan sedikit mengganggu tentang model ini. Yang dimaksudkan ialah, seluruh kawalan ciri-ciri yang ada pada kereta ini, termasuk menurunkan tabir pelindung matahari cermin belakang serta pendingin hawa, semuanya perlu dilakukan melalui skrin sentuh di tengah papan pemuka.

Memang, operasinya sangat mudah, hanya dengan sentuhan saja semuanya boleh dikendalikan. Namun, yang menjadi masalah adalah ketika anda memandu. Tiada siapa yang akan dapat menumpukan perhatian dijalan raya sekali gus mencari tab ciri yang ingin diaktif atau nyah-aktif. Dalam keadaan ini, semua perkara itu perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan. Perkara ini sedikit merimaskan.

Model ini juga disebut-sebut sebagai mempunyai ciri dengan teknologi semi-autonomous Pilot Assist. Ini apa pula? Sepanjang memandunya, saya sendiri sempat merasakan dua ciri dari teknologi ini secara langsung. Dengan S90, ketika membiarkan kereta ini terus meluncur tanpa sempat membrek ketika ada kereta lain menyeberang dari simpang di sebelah kiri, kereta ini secara automatik membrek sedikit.

Ini mungkin kerana sistem dengan semua sensor yang melengkapinya merasakan saya tidak memberi maklum balas cepat terhadap situasi itu dan “mengambil alih” kendalian kereta untuk seketika. Sehinggalah pemandu kembali mengawal kenderaan semula, sistem akan “menyerahkan” kendalian kepada pemandu.

Ketika memandu di Lebuhraya Persekutuan suatu malam, dari arah pusat bandar menuju Petaling Jaya, saya mengaktifkan ciri Lane Keeping Aid. Di laluan selekoh yang tidak tajam, saya sengaja memlepaskan stereng, kaki hanya mengekalkan kelajuan pada pedal minyak.

Sistem pada kereta ini bertindak mengendalikan stereng sepenuhnya, mengikut arah jalur laluan – selagi jalur putih itu kelihatan dengan jelas – dan “menarik” stereng untuk mengikutnya. Jika tangan ada pada stereng pula, ia sekadar akan bergetar sedikit. Namun, sistem semi-autonomous ini mampu melakukan lebih daripada itu, atas nama keselamatan.

Apa pun yang mungkin diperkatakan tentang model Volvo S90 T6 R-Design dan V90 T6 R-Design ini, termasuk kekurangan yang ada padanya, saya tetap merasakan ia punya kekuatan dan impak yang tersendiri dalam pasaran kenderaan mewah.

Dijual pada harga RM454,452 bagi S90 T6 R-Design dan RM459,452 bagi versi V90 T6 R-Design, tanda harganya mungkin sedikit mahal. Tetapi, ia hadir dengan perbezaan tersendiri; jika kenderaan BMW dan Mercedes-Benz dalam segmen sama terlalu kerap dilihat di atas jalan raya Malaysia, Volvo S90 ini akan membezakan anda daripada khalayak yang semakin “sesak” itu.

Untuk maklumat lanjut berkaitan spesifikasi dan penawaran terperinci model Volvo S90 dan Volvo V90 terbaru ini, layari laman www.CarBase.my.

Volvo S90 T6 R-Design

Volvo V90 T6 R-Design