Apa persamaan di antara ketiga-tiga model Volvo ini – XC90, S90 dan V90? Walaupun tampil dengan reka bentuk dan saiz yang berbeza, semua model dari siri 90 oleh Volvo ini dibangun menggunakan Scalable Product Architecture (SPA); mereka berkongsi platform modular yang sama, dibangunkan oleh Volvo sendiri.

SUV XC90 adalah yang pertama diperkenalkan di Malaysia, dengan versi CKD diperkenalkan kemudian dan dijual kini. Penghujung bulan Mac lalu, Volvo melengkapi barisan kenderaan dari keluarga yang sama ini dengan pelancaran model Volvo S90 dan V90.

Jika XC90 ditawarkan dalam versi T8 Twin Engine (plug-in hybrid) sahaja sebelum ini, dua model terbaru ini bagaimana pun berbeza; S90 dan V90 masing-masing ditawarkan dalam dua versi – T5 dan T6 R-Design. Yang anda sedang lihat di dalam galeri ini, dua kereta dalam warna biru yang unik dan memikat, merupakan versi paling tinggi T6 R-Design.


Papan pemuka S90/V90 T6 R-Design (kiri) dan XC90 T8 (kanan)

Bagi S90 T6 R-Design, ia merupakan versi CBU yang dijual pada harga RM453,888, manakala bagi V90 dalam penampilan sporty yang sama pula dijual pada harga RM458,888. Kedua-dua model ini, walaupun nampak sangat berbeza (satu dengan rekaan sedan dan satu lagi wagon) sebenarnya berkongsi sepsifikasi yang sama.

Hanya beberapa aspek kecil sahaja yang membezakan keduanya selain penampilan reka bentuk. Antaranya, V90 T6 dilengkapi panoramic roof, manakala S90 T6 di datangkan dengan sunroof. Selain itu, tempat duduk sport pada V90 T6 dilengkapi dengan ciri child booster seat, sementara ciri yang sama tidak ada pada S90 T6.

Di ruang dalam, ketiga-tiga model ini dilengkapi dengan skrin sentuh sembilan-inci bagi sistem Sensus Connect, skrin meter LED 12.3 inci di depan pemandu serta konsol tengah yang besar bersama tombol kecil untuk menghidup dan mematikan enjin. Cuma, XC90 T8 hadir dengan tombol gear kristal, sementera dua model lain hanya dengan tombol gear biasa.

Ketiga-tiga model ini juga menggunakan enjin yang sama – 2.0 liter Drive-E empat-silinder dengan suparcaj dan turbocaj yang menghasilkan 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm tork antara 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. S90 dan V90 bagaimanapun menggunakan transmisi automatik lapan-kelajuan dengan sistem pacuan AWD.

Bagi XC90 pula, ia turut dilengkapi dengan sistem motor elektrik yang memberi tambahan sebanyak 87 hp/240 Nm serta bateri lithium-ion; ini menghasilkan kuasa keseluruhan 407 hp dan 640 Nm untuk kegunaannya. Penggunaan petrol puratanya mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, sementara jarak elektrik sepenuhnya pula ialah 43 km.

Dari sudut keselamatan, pakej yang disertakan sangat komprehensif – bagi S90 dan V90, sistem semi-autonomous Pilot Assist dengan ciri Adaptive Cruise Control (ACC) turut tersedia. Antaranya ia membolehkan kereta ini mengekalkan jarak yang ditetapkan dari kenderaan di depan pada kelajuan mencecah 130 km/j. Teliti galeri di bawah untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang semua model ini.

Siri Volvo 90

Volvo S90 T6 R-Design

Volvo V90 T6 R-Design

Volvo XC90 T8 Twin Engine 2017