PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

Jun tahun lalu, Mercedes-Benz E-Class W213 dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia, menampilkan pelbagai ciri mewah, sangat senyap serta dipadankan dengan banyak teknologi futuristik. Ia secara tidak langsung membawa persaingan segmen sedan mewah berkenaan ke tahap baharu yang lebih tinggi.

Setakat ini, jumlah model dari Merc berkenaan belum lagi banyak di atas jalan raya kerana harga yang ditawarkan untuk unit yang datang secara diimport sepenuhnya berkenaan masih lagi sangat tinggi. Tetapi, dengan model pemasangan tempatan yang dirancang oleh Mercedes-Benz Malaysia yang akan bermula pada tahun ini, dilihat bakal menawarkan E-Class dengan harga yang lebih rendah, seterusnya bakal meningkatkan jualannya.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang setia dalam segmen berkenaan, sudah tentu pencabar E-Class yang juga dari Jerman – BMW 5 Series – generasi baharu amat ditunggu. Generasi 5 Series sebelum ini iaitu F10 menawarkan keseimbangan dari segi kuasa, pengendalian dan juga keselesaan, menjadikan ia sebuah sedan lengkap untuk semua perkara – tidak hairan mengapa ia mendahului segmen berkenaan untuk tempoh yang agak lama.

Generasi terbaharu 5 Series G30 akan mula menerjah masuk pasaran Malaysia, bakal dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac ini. Model berkenaan mempunyai tugas yang agak berat untuk meneruskan kecemerlangan, menyambung momentum dari F10. Model generasi-ketujuh menampilkan teknologi yang lebih maju, dan untuk meneroka prestasinya, rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Jonathan Lee, telah mengujinya di Lisbon, Portugal.

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

Model ini diperkenalkan untuk peringkat global buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, dan dibina berasaskan platform modular baharu Cluster Architecture (CLAR) yang sama seperti 7 Series G12, serta berkongsi banyak komponen dan teknologi dari ‘abangnya’ itu, terutamanya teknologi pemanduan separa-automatik. Model ini juga dibina lebih besar tetapi lebih ringan dari F10, serta menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih baik serta lebih selesa.

Walau bagaimanapun, rekaan luaran G30 ini tidak menggambarkan pembaharuannya secara visual. Pada bahagian hadapan, 5 Series generasi baharu ini menampilkan rekaan signatur terkini dengan lampu hadapan bersambung bersama gril ‘kidney‘ tradisi BMW, tetapi ia langsung tidak menggambarkan imej dari model 3 Series F30.

Pada bahagian sisi, liang aliran udara diberikan pada bahagian belakang ruang roda hadapan yang berperanan untuk mengurangkan tekanan pada ruang roda berkenaan – bersama udara kemasukan dari liang hadapan bagi memberikan aerodinamik lebih baik. Di bawah garis bahu utama, satu lagi garis badan diberikan bermula dari bahagian atas roda hadapan, hingga ke bahagian tiang-C.

Bahagian belakang G30 ini merupakan bahagian yang paling konservatif, menampilkan lampu belakang tipikal berbentuk-L BMW, seiras dengan model-model terkini jenama berkenaan. Secara keseluruhan, rekaan luaran 5 Series generasi baharu ini bukan aspek utama yang membolehkan ia kekal pada takhtanya, dan ia perlu disokong dengan pakej penampilan M-Sport, rim 19-inci berwarna hitam serta brek M-Sport berwarna biru, seperti yang anda lihat pada gambar ini.

Seperti yang disebutkan tadi, model generasi baharu ini dibina lebih besar dari model sebelum ini – yang sememangnya sudah cukup besar. G30 diukur dengan dimensi 4,936 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,479 mm tinggi. Oleh itu, berbanding F10, ia 37 mm lebih panjang, 8 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi. Jarak roda model baharu ini juga 7 mm lebih panjang dengan ukuran 2,975 mm.

Walaupun lebih besar, model baharu ini sebenarnya 100 kg lebih ringan dari sebelum ini. BMW berjaya mengurangkan berat kereta ini tanpa struktur asas karbon seperti 7 Series, dan hanya bergantung pada aluminium, keluli berketegaran tinggi serta magnesium. Kekuatan badan dan ketegaran torsi juga telah dipertingkatkan.

Perkara sebaliknya berlaku pada bahagian dalaman di mana rekaan G30 ini dilihat benar-benar menyerlah. Berbanding F10, papan pemuka generasi terkini ini direka lebih tirus bersama skrin iDrive utama baharu yang berdiri sendiri. Kabin model baharu ini juga diberikan lampu suasana pelbagai warna, serta sistem audio 1,400 watt Bowers & Wilkins dengan 16-pembesar suara serta tweeter permata bernyala serta kemasan gril keluli tahan karat.

BMW turut berusaha untuk memberikan suasana kabin yang lebih menarik dengan kemasan dan trim kulit, menerusi apa yang telah dipelajari semasa menghasilkan 7 Series. Kemasan kulit tan pada unit pandu uji ini kelihatan dan memberikan perasaan yang menakjubkan, dan ia sepadan dengan kemasan aluminium pada papan pemuka serta suis kawalan berwarna seramik gelap.

Walau bagaimanapun, rekaan keseluruhan bahagian dalaman ini masih lagi seperti jigsaw puzzle tiga dimensi plastik yang sangat kompleks, walaupun kemasan akhirnya dibuat dengan begitu cantik dan juga dipasang secara solid. Tiada isu yang perlu dibangkitkan berkenaan ergonomik dan juga logik suis-suis kawalan, di mana BMW telah menghasilkan yang terbaik seperti biasa.

Tempat duduk hadapan diberikan banyak larasan, membolehkan pemandu mendapatkan posisi pemanduan terbaik. Unit yang di pandu uji ini juga diberikan larasan berasingan untuk sudut perehat belakang bahagian atas, bagi membolehkan ia mengikut bentuk sebenar belakang badan pemandu.

Dengan dimensi yang lebih besar, sudah tentu kabin bahagian belakang menerima faedah yang lebih banyak dengan ruang lega kepala dan kaki kini lebih besar. Begitu juga dengan ruang but belakang, ia kini 10 liter lebih besar dengan kapasiti 530 liter. Walau bagaimanapun, dengan lantai ruang berkenaan banyak permukaan yang tidak rata, untuk memasukan barang yang benar-benar besar adalah sedikit sukar.

Rekaan-rekaan luar dan dalam ini hanya permulaan dimana pelbagai lagi teknologi baharu direka khas untuknya. Pertama sekali, G30 diberikan sistem infotaimen BMW iDrive terkini, diambil dari 7 Series baharu tetapi dipertingkatkan bagi membolehkan ia digunakan dengan lebih mudah.

Sistem ini masih lagi bleh dikawal menggunakan gestur, suara asli atau sentuhan kepada skrin besar bersai 10.25-inci. Apa yang berbeza, susunan enam petak pada interface kini telah dibahagikan kepada dua bagi memberikan info langsung pada masa yang sama. Petak-petak berkenaan masih lagi boleh disusun semula oleh pemilik, seperti interface pada telefon pintar atau tablet.

5 Series baharu ini juga menerima pad caj telefon pintar tanpa wayar Qi yang terletak di hadapan pemegang cawan seperti 7 Series. Tetapi sistem pada G30 ini turut boleh menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa menggunakan wayar – sistem pertama seumpanya diperkenalkan dalam industri automotif. Ia juga mempunyai sokongan hotspot Wifi untuk 10 peranti, serta paparan head-up yang 70% lebih besar dari sebelum ini.

Banyak lagi ciri dari 7 Series disalurkan terus pada 5 Series baharu ini, antaranya sistem parkir tanpa pemandu Remote Parking yang dikawal menerusi Paparan Kunci. Sistem Surround View 3D yang memaparkan bahagian sekeliling kereta pada paparan utama turut diberikan, tetapi kali ini ia turut boleh dilihat pada telefon pintar menerusi aplikasi BMW Connected dengan ciri digelar Remote View 3D.

G30 turut menerima sistem pemaduan separa-automatik, menjadikan ia 5 Series pertama diberikan ciri sedemikian, yang hadir sebagai sebahagian dari pakej Driving Assistant Plus. Sistem berkenaan dilengkapkan bersama sistem Cruise Control aktif yang boleh beroperasi dari kedudukan pegun hingga kelajuan 210 km/j, dan ia turut boleh mengesan dua kenderaan di hadapannya bagi pemanduan yang lebih lancar, serta mampu membuat keputusan pada susur keluar lebuhraya dan juga pada laluan bulatan.

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

Pakej berkenaan turut hadir dengan bantuan stereng dan kawalan laluan yang mampu mengekalkan kereta tersebut pada laluannya. Ini membolehkan kereta ini memecut, membrek dan mengubah haluannya sendiri walaupun dalam trafik yang sedang merangkak, serta membolehkan pemanduan tanpa memegang stereng dilakukan pada lebuhraya selama 30 saat sebelum amaran untuk memegang semula roda stereng dikeluarkan.

5 Series baharu ini turut diberikan bantuan tukar lorong sama seperti Merc E-Class. Anda hanya perlu mengekalkan tuil isyarat ke arah yang mahu ditukar selama berberapa saat, kemudian kereta ini akan mengubah lorong sendiri dengan menggunakan input dari penderia pengesan titik buta.

Apa yang berbeza, tuil isyarat berkenaan akan kekal pada posisinya sekiranya ia ditarik kebawah/ditolak keatas sepenuhnya dan tidak kembali ke kedudukan asal secara automatik. Ini mungkin dibuat untuk memberikan perbezaan yang lebih nyata pada tindak balas haptik, yang penting ketika menggunakan ciri bantuan tukar lorong tersebut.

Ciri baharu lain yang diberikan adalah Amaran Lintasan Trafik, yang akan memberikan amaran secara visual dan akustik kepada pemandu sekiranya ia mengesan pemandu berkenaan membuat jangkaan yang salah, serta memberikan brek awalan bagi memendekkan jarak berhenti. Ia turut diberikan bantuan mengelak yang akan memberikan bantuan stereng semasa penukaran lorong semasa kecemasan, bersama Amaran Tukar Lorong serta Amaran Pelanggaran Sisi yang akan mengubah haluan kereta tersebut untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

Untuk pengedalian, G30 diberikan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan serta gandar belakang dengan hubungan lima bahagian, yang lebih ringan serta lebih canggih dari sebelum ini, memberikan stabiliti dan kelincahan yang lebih baik, serta mengurangkan daya olengan tanpa mengorbankan keselesaan. Cagak serta sistem sokongan yang lebih besar turut membantu untuk menjadikan kereta ini lebih senyap.

Opsyen Adaptive Drive turut menampilkan Dynamic Damper Control dan sistem kestabilan olengan aktif Dynamic Roll. Apa yang berbeza, sistem Dynamic Roll baharu berkenaan kini menggunakan motor elektrik berbanding sistem hidraulik yang digunakan sebelum ini, membolehkan ia beroperasi lebih cepat, jitu dan juga lebih cekap tenaga. Sistem Integral Active Steering pada gandar belakang juga kini boleh beroperasi bersama sistem pacuan semua roda xDrive.

Sistem Driving Experience Control akan menghubungkan enjin, unit janakuasa dan casis untuk menyesuaikan keadaan pemanduan, dan kini turut menerima mod Adaptif bagi tambahan kepada mod Eco Pro, Comfort dan Sport. Mod baharu berkenaan membolehkan semuanya dilaraskan secara automatik berdasarkan corak pemaduan dan juga laluan yang bakal ditempuhi, mengambil input dari pedikit, stereng, posisi tuil penukar gear serta data navigasi.

Untuk model 540i, ia dijana enjin B58 3.0 liter petrol turbo enam-silinder, menghasilkan kuasa maksima 340 hp bermula 5,500 hingga 6,500 rpm serta tork maksima 450 Nm bermula 1,380 hingga 5,200 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi lapan kelajuan automatik, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 4.8 saat. Penggunaan bahan api gabungan dicatatkan pada 6.9 liter untuk setiap 100 km, manakala emisinya pula mencatatka penghasilan 159 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

Varian lebih rendah 530i pula diberikan enjin petrol B48 2.0 liter empat-silinder turbo, menghasilkan kuasa 252 hp/350 Nm, mencatatkan 7.5 saat untuk pecutan 0-100 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 5.5 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan, serta menghasilkan 126 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

Ia turut diberikan versi diesel 520d, dengan enjin B47 2.0 liter turbodiesel berkuasa 190hp/400 Nm. Model ini juga merupakan satu-satunya varian yang menerima pilihan kotak gear enam-kelajuan manual. Ia mencatatkan penggunaan bahan api serendah 3.9 liter setiap 100 km dalam kitaran gabungan seta hanya 102 gram emisi CO2 setiap kilometer. Model diesel lebih tinggi 530d pula tampil dengan enjin B57 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris, mampu menghasilkan kuasa 265hp/620 Nm.

Bagi model tertinggi 5 Series baharu ini (sebelum munculnya versi M5 nanti) ia dibintangi oleh model M550i xDrive yang dijana enjin 4.4 liter V8 dengan suapan turbo berkembar, berkuasa 462 hp/650 Nm. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda xDrive, membolehkan ia mencatatkan masa hanya 4 saat untuk pacutan 0-100 km/j, hampir setengah saat lebih cepat dari model M5 F10.

Pilihan lebih mesra alam juga turut diberikan menerusi varian 530e iPerformance plug-in hybrid, yang menggabungkan enjin 2.0 liter turbo dari 530i dengan kuasa 184 hp/320 Nm bersama motor elektrik berkuasa 95hp/250 Nm. Motor berkenaan diletakkan antara enjin petrol dan juga kotak gear lapan-kelajuan automatik, memberikan jumlah kuasa keseluruhan 252 hp/420 Nm, membolehkan ia memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 6.2 saat.

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

520e hanya menggunakan 2 liter petrol untuk perjalanan 100 km, serta menghasilkan hanya 46 gram CO2 untuk setiap kilometer. Mod elektrik sepenuhnya varian ini mampu bergerak 45 km lebih jauh dari model 330e, dan mampu dipandu pada kelajuan 140 km/j (20 km/j lebih laju dari 330e).

Pasaran Malaysia bakal menerima varian 520d dan juga 530i pada pelancarannya Rabu ini, dan berkemungkinan turut menerima varian tertinggi 540i dalam jumlah terhad. Varian 520i pula turut dijangka bakal hadir sebagai model pemasangan tempatan (CKD) kelak, diberikan enjin 2.0 liter dengan kuasa lebih rendah, begitu juga dengan model 530e yang sememangnya bakal menerima potongan cukai untuk model hibrid dan EV yang dipasang secara CKD.

Berbalik pada model 540i yang dipandu uji kali ini, walaupun kebanyakkan BMW buat masa sekarang dijana oleh enjin turbo empat-silinder, bukan bermakna mereka sekarang tidak lagi mampu untuk membina enjin enam-silinder sebaris yang berbisa. Karekter enjin enam-silinder pada 540i ini masih lagi kekal seperti sebelum ini – memberikan kuasa yang lancar sehingga takat rpm mencecah redline 7,000 rpm.

Kuasa yang begitu linear diberikan menggambarkan tahap kelancaran penghantaran kuasanya, dengan kurangnya turbo lag serta tujahan kuasa yang sentiasa bersedia untuk digunakan, sama ada ketika anda bersiar-siar di dalam bandar, atau ketika anda mengerah enjin ini ketahap redline sebelum menukar ke gear yang lebih tinggi. Bunyi enjin yang dihasilkan juga agak mengujakan, tetapi walaupun dengan injap pada sistem ekzos dibuka ketika mod Sport,ia masih lagi kedengaran tidak begitu bising.

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

Secara jujur, gabungan enjin dari BMW dan transmisi dari ZF merupakan padanan yang cukup sesuai. Tukaran gear diberikan dari transmisi berkenaan cukup laju, tetapi masih lagi lancar dan lembut, sama ada anda menggunakan sendiri pedal penukar gear mahupun ia dilakukan oleh komputer pada mod automatik.

Bunyi enjin ini mungkin tidak begitu sporty pada kelajuan tinggi, tetapi ketika cruising, ia sangat senyap serta sepadan dengan tahap perincian yang diberikan. Anda akan mendengar sedikit bunyi dari jalan serta bunyi angin, walaupun pada kelajuan tinggi, menjadikan 5 Series ini sebuah kereta yang sangat selesa dipandu untuk perjalanan yang jauh.

Begitu juga dengan pengendalian, walaupun ia tidaklah sempurna. Dilengkapi dengan rim 19-inci, 5 Series ini agak tidak menyenangkan ketika dipandu melanggar lubang dan juga bonggol yang tajam, walaupun unit pandu uji ini turut dilengkapi dengan suspensi adaptif opsyenal. Tetapi pengendalian sekundernya agak cemerlang, dengan kedudukannya masih kekal stabil ketika ia semakin laju, walaupun pada permukaan tar yang tidak rata.

Jadi, 5 Series ini sememangnya sebuah kereta yang agak selesa, dan ia sememangnya perkara yang baik – kecuali jika tahap keselesaan yang diberikan ini mengorbankan pengendalian tipikalnya yang sememangnya sangat baik. Jalan persisiran pantai di Lisbon yang mencabar ini juga mampu menyerlahkan tahap dinamik G30, yang nyata antara yang terbaik dalam kelasnya.

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

Aspek yang penting disini adalah stereng, yang bukan sahaja jitu dan mempunyai berat yang konsisten pada semua situasi,ia juga turut memberikan input terhadap permukaan jalan walapun dengan sistem stering elektrik nisbah bervariasi yang rumit. Ia membolehkan sedan bersaiz besar ini sentiasa mahu dipandu, serta memberikan keseronokkan utama pada pengalaman pemanduannya.

Walaupun unit pandu uji ini diberikan sistem stereng pada gandar belakang, kelincahan G30 ini bukanlah perkara pertama yang akan masuk ke fikiran anda – walaupun ia dirasakan agak pelik dengan saiznya, anda masih akan tertanya-tanya dengan apa yang terjadi disekeliling, seperti yang berlaku pada 3 Series. Perkara sebenar yang akan mengkagumkan anda ketika memandunya di jalan yang mencabar adalah bagaimana prestasinya ketika itu.

Walau bagaimana agresif sekalipun 5 Series ini di selekoh, ia masih kekal stabil, terutamanya pada mod Sport. Kadar olengan yang sangat sedikit dirasakan, dan kereta ini kekal dengan pengendaliannya yang neutral dan seimbang ketika di selekoh, menjadikan ia sangat memuaskan serta sangat meyakinkan.

Ia turut dibantu dengan tahap cengkaman yang begitu tinggi, dan agak bahaya untuk mengujinya ke tahap paling maksima, kerana pada tahap berkenaan, ia akan melibatkan kelajuan yang sangat tinggi di selekoh. Mujur dengan brek opsyenal dari M Sport pada kereta yang dipandu uji ini, memberikan kuasa brek yang lebih kuat serta lebih mudah untuk dijangka, membolehkan badan sedan yang besar ini mudah untuk diperlahankan ketika kelajuan tinggi.

PANDU UJI: BMW 5 Series G30 – bakal bawa saingan sedan eksekutif mewah ke peringkat lebih tinggi

Adakah BMW 5 Series G30 ini akan membawa persaingan kelasnya pada peringkat lebih tinggi? Jawapannya ya. Sedan besar ini mempunyai tahap pemanduan dan pengendalian antara yang terbaik dalam kelasnya, meningkatkan lagi apa yang telah dicapai oleh model-model sebelum ini. Tambahan pula dengan tahap suasana bahagian dalaman yang direka hampir sama dengan E-Class yang sangat mewah, cukup untuk membuatkan kita terlupa dengan rupa luarannya yang agak membosankan.

Sudah tentu, kejayaan model ini disini kelak pastinya bergantung pada spesifikasi dan harga. Unit-unit awal yang dibawa masuk secara diimport sepenuhnya (CBU) sudah tentu lebih mahal – sama seperti E-Class. Tetapi kami jangkakan harganya bakal ditahap kompetitif setelah pemasangan tempatan (CKD) bermula, dengan mengambil contoh apa yang berlaku pada model sedia ada.

Buat masa sekarang, prestasi E-Class mungkin sedikit kurang berbanding 5 Series G30 ini, tetapi W213 nyata mempunyai penampilan yang lebih menarik, yang mungkin boleh membuatkannya kekal ditangga teratas. Namun, ia masih lagi diperingkat permulaan dan penerimaan pasaran di Malaysia masih lagi sukar untuk dijangka, dan usaha yang dlakukan oleh BMW ini merupakan sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required