Selepas dua model sedan dan wagon dari siri 90 yang diperkenalkan sebelum ini – S90 dan V90 dengan pilihan varian antara T5 dan T6 – Volvo Cars Malaysia hari ini memperkenalkan satu lagi model sedan tambahan bagi siri berkenaan; Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription versi pemasangan CKD. Ini merupakan model plug-in hybrid bagi kereta sedan berkenaan.

Dibuka untuk tempahan sejak dua bulan lalu, ia didatangkan dalam dua varian, Inscription dan Inscription Plus, dan dijual pada harga masing-masing RM368,888 dan RM388,888 (tidak termasuk insurans). Tanda harga ini adalah yang paling rendah bagi mana-mana model S90 sedan yang ada sebelum ini – ia RM20,000 lebih murah berbanding versi T5 manakala berbanding versi T6, harganya lebih jimat sebanyak RM85,000.

Bagi penjana kuasanya, ia sama seperti unit yang digunakan pada model SUV XC90 T8 yang sudah berada dalam pasaran tempatan untuk beberapa tahun kini. Ia menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E empat-silinder, dengan dua kaedah desakan – supercharge dan turbocharge. Ia mampu menghasilkan sebanyak 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Kuasa disampaikan melalui sistem transmisi automatik lapan-kelajuan daripada Aisin.

Satu lagi sumber janaan kuasanya ialah motor elektrik yang terletak pada bahagian gandar belakang, yang menghasilkan sebanyak 87 hp/240 Nm untuk roda belakang. Bateri pula menggunakan jenis lithium-ion 10.4 kWh (lebih besar daripada yang digunakan pada XC90, 9.2 kWh). Walaupun dengan pendekatan ini, ruang but dengan kapasiti 500 liter tidak terganggu kerana bateri berkenaan ditempatkan dibahagian terowong tengah.

Untuk itu, jumlah janaan kuasa keseluruhan yang dihasilkan ialah 407 hp dan 640 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat. Dalam caj penuh, bateri berkenaan membolehkan kereta ini bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya sejauh 50 km.

Manakala bagi kadar penggunaan minyak gabungan pula ialah 2 liter bagi setiap 100 km (XC90 pula pada kadar 2.1 l/100 km). Pembebasan karbon dioksida pula ialah pada kadar 46 gram bagi setiap kilometer. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 250 km/j, dengan empat pilihan mod pemanduan – Pure, Power, Hybrid dan Individual.

Ciri unik khusus bagi varian Inscription Plus ialah penggunaan suspensi udara dengan penyerap hentak kawalan elektronik dibahagian belakang. Penyerap hentak berkenaan akan menentukan kedudukan kereta tanpa mengambil kira beban yang ada dan menyesuaikannya kepada keadaan jalan dan cara pemanduan semasa.

Pertama kali digunakan pada model ini ialah sistem bunyi premium dari Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara yang terdiri daripada tujuh tweeter Nautilus, tujuh pembesar suara mid-range Kevlar, empat woofer dan sebuah subwoofer dengan liang udara 250 mm.

Semua ini disambungkan kepada amplifier 12-saluran, 1,400 watt Class D dengan tiga preset utama – Studio, Stage dan Concert Hall. Menurut Volvo, aspek akustik kabinnya ditala secara khusus untuk mendapatkan pengalaman bunyi seperti di Gotenburg Symphony Orchestra.

Dari luar, kedua-dua varian terbaru ini hadir dengan penampilan yang sangat mirip. Ia dilengkapi lampu utama LED dengan ciri Active Bending Lights, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, rim 19-inci 10 jejari (rekaan sama pada XC90) dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 255/40.

Ruang dalaman menempatkan kluster peralatan digital dengan paparan 12.3 inci, paparan heads-up, skrin sentuh 9-inci bagi unit utama (head unit) yang lengkap dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto dengan ciri Bluetooth serta stereng balutan kulit dengan kawalan pelbagai fungsi. Selain itu, kawalan udara dengan sistem penapis CleanZone ditawarkan sebagai ciri standard.

Varian Inscription ini hadir sama dengan rekaan tombol kristal yang dihasilkan oleh Orrefors Sweden, sama seperti model T8 bagi XC90 sebelum ini. Kemasan lain menggunakan kayu walnut serta material kulit bagi tempat duduknya.

Dari segi keselamatan, S90 T8 ini lengkap dengan pakej Volvo Intellisafe. Ini termasuk ciri seperti adaptive cruise control dengan tinjauan jarak, city safety dengan brek automatik sepenuhnya, pengesanan pintar terhadap pengayuh basikal, pejalan kaki dan haiwan besar, sistem amaran perlanggaran, Park Assist dengan kamera 360 darjah serta Pilot Assist tahap kedua – yang boleh mengendalikan kereta sendiri sehingga kelajuan 130 km/j. Semua ini dilakukan dengan teknologi radar dan sensor serta kamera yang ada padanya.

Volvo S90 T8 Inscription ini dipasang di kilang Volvo di Shah Alam, dan diiktiraf sebagai kenderaan EEV. Ia juga bakal dieksport ke beberapa negara di rantau Asia. Bagi tempoh terhad, VCM memberikan promosi istimewa bagi model ini – potongan harga sebanyak RM20,000 lagi bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Okotber 2017.

Ia hadir dengan jaminan lima tahun, tanpa had perbatuan serta lima tahun bagi bantuan jalanan Volvo On Call. Tempoh servis yang dikenakan bagi model ini ialah setiap 20,000 km. Untuk perincian lanjut berkaitan penawaran model Volvo S90 ini di Malaysia, layari juga laman CarBase.my.

Volvo S90 T8 Inscription

Volvo S90 T8 Inscription Plus