Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription kini boleh ditempah – plug-in hybrid CKD, berharga RM348,888

Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription kini boleh ditempah – plug-in hybrid CKD, berharga RM348,888

Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat Volvo tempatan – Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan varian paling berkuasa untuk sedan flagship S90 iaitu varian T8 Twin Engine kini sudahpun mula ditempah. VCM bukan sahaja membawa varian janakuasa termaju Volvo, malah S90 tersebut hadir dalam kemasan tertinggi Inscription, sama seperti versi SUV XC90 T8.

Apa yang menggembirakan lagi, versi plug-in hybrid yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volvo Shah Alam ini menerima insentif EEV dari kerajaan, membolehkan S90 T8 Twin Engine dijual pada pasaran Malaysia dengan harga atas jalan tanpa insuran RM348,888. Harga ini jelas jauh lebih murah dari varian-varian S90 lebih rendah sedia ada iaitu T5 Momentum dan juga T6 AWD R-Design yang hadir dalam bentuk CBU.

Sebagai perbandingan, varian asas S90 T5 Momentum dengan enjin petrol 2.0 liter turbo Drive-E berkuasa 254 hp/350 Nm kini dijual pada harga RM388,888, atau RM40,000 lebih mahal dari versi T8 Twin Engine yang dijana enjin 2.0 liter Drive-E didesak pengecas turbo dan supercharger, bersama motor elektrik hibrid yang menghasilkan kuasa akhir 407 hp/640 Nm.

Walau bagaimanapun, harga yang ditawarkan ini hanyalah harga pengenalan istimewa untuk pelanggan-pelanggan yang memuktamadkan pembelian mereka sebelum 31 Oktober 2017. Setiap pembelian juga akan disertakan dengan perlindungan waranti selama lima tahun atau 120,000 km, yang mana sampai duhaulu.

Bagi varian T6 pula, ia dijana enjin petrol turbo superchager yang sama dengan versi T8, tetapi tanpa sistem hibrid dan dibekalkan kuasa 320 hp/400 Nm. Model CBU berkenaan kini dijual pada pasaran Malaysia dengan harga RM453,888.

Untuk sistem plug-in hybrid yang diberikan pada model S90 T8 Twin Engine, ia terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm yang diletakkan pada gandar belakang, yang secara tidak langsung menjadikan sedan tersebut sebuah model pacuan semua roda. Sebuah lagi motor elektrik yang dihubungkan pada aci engkol dikenali sebagai motor CISG, yang diletakkan diantara enjin dan kotak gear, bagi memberikan tork segera ketika ia memecut dari kedudukan pegun.

Secara keseluruhan, kuasa pada S90 T8 Twin Engine membolehkan kereta berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat. Selain dari sangat berkuasa, sedan ini juga mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2.1 liter untuk setiap 100 km, manakala kadar emisi karbon dioksida dicatat pada paras 47 gram setiap kilometer. Kereta ini juga mampu dipandu secara elektrik sepenuhnya pada jarak 48 km pada kitaran NEDC Eropah.

Dijangkakan, versi T8 pada S90 ini bakal menerima kelengkapan yang hampir sama dengan XC90 berdasarkan kemasan Inscription yang diberikan, termasuk sistem penghawa dingin automatik empat-zon, hubungan Apple CarPlay, serta bantuan-bantuan pemanduan seperti sistem pemanduan separa automatik Pilot Assist dan lain-lain.

GALERI: Volvo S90 T6 R-Design

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required