Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus merupakan varian baharu bagi barisan SUV plug-in hybrid di Malaysia, yang menyertai Inscriotion sedia ada. Dijual pada harga atas jalan RM413,888 tanpa insurans, varian baharu ini adalah lebih RM10,000 berbanding Inscription, namun didatangkan dengan elemen yang diberikan sedikit penambahbaikan.

Elemen terbesar yang ditampilkan ialah dengan kehadiran sistem bunyi premium Bowers & Wilkins bersama 19 pembesar suara dan 12-saluran, 1,400 watt Class D amplifier. Sistem ini tidak ada pada kedua-dua model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) bagi XC90, yang hanya didatangkan dengan sistem bunyi 10-pembesar suara 330 watt – masih kekal standard pada Inscription.

Selain itu, Inscription Plus juga didatangkan dengan beberapa elemen yang ada pada Inscription, termasuklah kulit upholstery Nappa hitam, tempat duduk Comfort, sistem infotainmen Sensus Connet, panel instrumen Paparan Digital Adaptif 12.3-inci dan kawalan suhu empat-zon. Walau bagaimana pun, kedua-dua varian XC90 tidak lagi didatangkan dengan kamera pandangan-sekeliling, yang sebelum ini ditawarkan pada unit CBU dan CKD.

Untuk bahagian luarannya, ia turut menampilkan roda aloi 10-jejari 20-inci dan kit lengkat Inscription, termasuk gril perak dan hitam dengan kekemasan krom berkilat di sekelilingnya, side moulding dengan perkataan ‘Inscription’ serta dwi-paip ekzos.

Bagi prestasinya, ia turut memberikan lonjakan output sehingga 407 hp dan tork 640, hasil padanan penjana kuasa petrol T8 Twin Engin 2.0 liter empat-silinder super- dan turbocharged Drive-E, motot elektrik gandar belakang dan crankshaft-mounted starter generator (CISG) yang diposisikan antara enjin dan transmisi automatik torque convertor lapan-kelajuan.

Klik untuk besarkan

Sistem bantuan pemanduan dan keselamatannya pula didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kelajuan Adaptif, Keselamatan Bandar dengan Amaran Pelanggaran Hadapan dan Pengesan Pejalan kaki dan Penunggang Basikal dengan Brek Auto Penuh, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Kestabilan Olengan dan Bantuan Menurun Bukit.

Pendekatan dua varian ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilakukan pada S90 CKD, yang turut didatangkan dengan varian Inscription (RM368,888) dan Inscription Plus (RM388,888). Seperti yang dilihat, jurang perbezaan harga berbanding varian XC90 adalah agak besar – di mana varian tertinggi S90 turut menerima sistem bunyi Bowers & Wilkins dan juga Actice Chassis dengan suspensi udara di belakang (XC90 hadir dengan suspensi udara hadapan dan belakang sebagai standard).