Ramai yang ternanti-nanti model Volvo XC40 ini, terutama tarikh pengenalannya di Malaysia. Tapi, sebelum itu – dan seperti kebanyakan model-model lain – XC40 terlebih dahulu mendarat di Thailand. Di sana, ia ditawarkan dalam dua varian – T4 Momentum dan T5 AWD R-Design. Harga pula bermula dari 2,090,000 baht (RM266,768) dan 2,390,000 baht (RM305,060).

SUV ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder Drive-E yang menghasilkan 190 hp/300 Nm bagi varian T4, manakala 252 hp/350 Nm pada model T5. Transmisi Geartronic lapan-kelajuan automatik sebagai padanan, dengan ciri pacuan semua roda disertakan bagi model T5.

Dari sudut prestasi, versi T4 mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 8.4 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Sementara bagi T5 pula, 0-100 km/j adalah dalam masa 6.4 saat dengan laju maksimum 230 km/j. T5 juga menerima casis Sport, manakala T4 dengan casis Dynamic.

Versi T4 datang dengan pakej perincian Momentum dan rim lima-jejari 18-inci (tayar 235/55). Pilihan warna luaran pula terdiri daripada Ice White, Bright Silver Metallic, Amazon Blue, Onyx Black Metallic dan Fusion Red Metallic; tiga pilihan terakhir ini juga boleh dipadankan dengan bumbung putih atas perminataan pelanggan.

Model T5 R-Design pula menerima rekaan gril unik, bampar khusus yang bahagian belakangnya disepadukan dengan hujung corong ekzos) serta lambang R-Design pada C-pillar. Untuk pasaran Thailand, rim 19-inci motif mutiara dengan lima jejari berkembar dengan dwi-tona (tayar 235/50) adalah ciri standard. Pilihan warna pula terdiri daripada Crystal White Premium, Osmium Grey, Bursting Blue Premium atau Fusion Red, dengan padanan bumbung hitam semuanya.

Ruang dalaman T4 dihiasi dengan kemasan kulit gelap dengan perincian Urban Grid, sementara T5 menerima kemasan kulit Nappa R-Design Charcoal Nubuck dengan perincian Cutting Edge. Semua varian lengkapi dengan sistem infotainmen Sensus Connect 9-inci, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan pendingin dua zon (dengan penapis Clean Zone), skrin 12.3-inci Digital Driver serta tempat duduk depan kuasa elektrik.

Selain itu juga, senarai ciri-ciri keselamatan bagi kedua varian ini adalah sama. Antaranya, ia terdiri daripada tujuh beg udara, kawalan Active High Beam, City Safety, Collision Avoidance and Mitigation Support with Auto Brake, Blind Spot Information System (BLIS), Cross Traffic Alert with Auto Brake, Lane Keeping Aid, amaran jarak, Dynamic Stability and Traction Control (DSTC) dan Roll Stability Control (RSC).

T5 menerima lebih banyak kelengkapan tambahan seperti 13 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 600 watt, fungsi tunjuk arah, Pilot Assist with Adaptive Cruise Control, paddle shifter dan Park Assist Pilot. Walaupun kedua-dua varian ini datang dengan lampu utama LED, hanya versi T5 ada ciri Active Bending Lights (ABL).

Bila pula agaknya Volvo XC40 nak sampai Malaysia? Macam dah tak lama, sebab pengedar rasmi telah mula ambil pendaftaran minat dari pelanggan. Akaun Instagram rasmi Volvo Cars Malaysia juga dah tunjuk “teaser” baru-baru ini. Jadi, bila agaknya tu?