Pengerusi Suzuki, Osamu Suzuki telah mengumumkan persaraannya dari jawatan berkenaan yang akan berkuatkuasa Jun ini, selepas mengemudi syarikat tersebut lebih dari empat-dekad. Osamu yang kini telah pun berumur 91-tahun mengambil keputusan untuk berundur bagi memberikan peluang kepada muka baharu yang akan memimpin Suzuki ke era elektrifikasi.
Anak kepada Osamu iaitu Toshihiro Suzuki kini sudahpun memegang jawatan sebagai presiden, dilantik ke jawatan berkenaan dan turut memegang jawatan sebagai COO pada 2015. Beliau kemudiannya dilantik sebagai CEO pada 2016 berikutan Osamu melepaskan jawatan berkenaan kerana mahu bertanggungjawab apabila Suzuki didapati bersalah menggunakan cara yang tidak betul dalam menentukan kadar penggunaan bahan api, tetapi masih tidak meletakkan jawatan sebagai pengerusi.
Osamu Suzuki mula menyertai syarikat pengeluar automotif berkenaan pada 1958, dan dilantik menjadi Presiden pada tahun 1978. Beliau kemudiannya turut menyandang jawatan sebagai pengerusi pada tahun 2000. Suzuki mencapai banyak kejayaan ketika era pentadbiran Osamu, antaranya menjadi antara peneraju dalam penghasilan kereta kompak, serta keputusan mereka untuk masuk ke pasaran India, di mana negara berkenaan kini menjadi antara pasaran terbesar mereka.
Ketika sesi bersama media minggu lalu, Osamu menyatakan bahawa beliau mengambil keputsan untuk bersara selepas syarikat berkenaan menyambut ulangtahun ke-100 tahun lalu, dan meluluskan rancangan pentadbiran baru. Beliau akan terus berhubung dengan syarikat itu setelah bersara nanti kerana akan dilantik sebagai penasihat senior.
Dalam majlis yang sama, Suzuki turut mengumumkan bahawa mereka akan melabur sebanyak satu trilion yen (RM38.05 bilion), kebanyakkannya akan digunakan untuk pembangunan teknologi elektrifikasi, bagi tempoh lima tahun mendatang.
Toshihiro Suzuki berkata bahawa syarikatnya perlu memberikan respon terhadap peralihan global kepada emisi yang lebih rendah. “Neutral karbon adalah fokus kami sekarang. Suzuki tidak boleh ketinggalan dalam trend global ini,” katanya.