Toyota baru saja mendedahkan rekaan konsep Aygo X Prologue, yang menjadi penanda aras kepada model pengganti crossover kecil baru bagi Aygo. Kereta yang ditunjukkan itu memperlihatkan komitmen pengeluarnya kepada kepentingan segmen A (kereta kecil untuk bandar), dengan versi produksi akan menggunakan platform TNGA-B dengan enjin petrol lasak untuk memastikannya kekal mampu milik untuk pengguna umum.

Dari segi penggayaan, model konsep ini lari jauh daripada rekaan Aygo semasa, dengan menjadikan bahagian lengkung tayar dan garis bumbung sebagai kelainan utama yang menampilkannya dengan imej lebih lincah. Wajah depan bentuk X terdahulu juga telah diganti dengan rekaan lebih ringkas; dua lapisan bonet, lampu utama bentuk C dengan jalur LED.

Baharian bawah bampar pula menempatkan bukaan udara yang lebih besar yang disertai juga rekaan lampu kabus LED hexagonal dan corong udara di sudut bampar. Rekaan cermin sisi yang ditonjolkan ini (dengan kamera binaan dalam) serta pemegang pintu tersembunyi pula mungkin tidak akan ada pada model produksi nanti.

Ketinggian yang ditambah merupakan satu unsur yang boleh dilihat dari sisi. Hal lain termasuk skid plate depan, rak bumbung dan hiasan hitam pada lengkung tayar. Dari sudut ini, profilnya nampak lebih dinamik berbanding Aygo sedia ada — tambahan pula dengan dua-tona warna yang dikenakan padanya.

Menurut Toyota, warna sangat penting bagi Aygo X Prologue, dan dengan hasrat untuk merancakkan lagi kehadiran dalam segmen A, maka pilihan warna-warna bangkit dan pedas digunakan. Di belakang pula, ada persamaan dengan Aygo yang dikekalkan. Ini termasuk lampu melintang yang menghubungkan lampu bahagian sisinya, dengan elemen sama seperti lampu utama.

Tiada rekaan dalaman yang ditunjuk setakat ini. Dan, rekaan concept berkenaan dikendalikan oleh European Design Studio ED2 Toyota dengan matlamat untuk membuktikan kereta segmen A, yang sebelum ini selalu dipandang sebagai kereta peringkat kemasukan semata-mata, masih boleh menonjol dalam rekaan yang menarik.

“Dengan Aygo X Prologue, kami telah mempamerkan bahawa kereta kecil juga boleh menonjol dengan personaliti yang gah. Aygo sentiasa hadir dengan imej keseronokan. Kini, kami tambahkan ciri tersebut dengan tambahan perencah baru,” ujar Pembantu Ketua Pereka ED2, Ken Billes. Tarikh pengenalan Aygo baru ini belum diumumkan, tetapi dijangka membuat penampilan sulung hujung tahun ini atau awal tahun 2022.