Barisan model Harley-Davidson tahun 2021 kini sudah tiba di Malaysia dengan pengedar rasminya di sini, Didi Resources menyiarkan harga lengkap bagi semua model yang dijual. Secara keseluruhannya ada lebih 20 model H-D yang ditawarkan, dengan harga yang bermula dari RM68,900 hingga RM347,900 (tidak termasuk aksesori tambahan).
Model paling murah adalah Sportster Iron 883, di mana ia menggunakan enjin Evolution 883 cc yang mampu menghasilkan tork 68 Nm. Dalam keluarga Sportster ada dua lagi model iaitu Iron 1200 dan Forty-Eight dan kedua-duanya dipacu enjin Evolution 1,200 cc 96 Nm tork dan dijual pada harga masing-masing RM75,900 dan RM80,900.
Pergi kepada model cruiser Softail pula, terdapat lapan model iaitu Softail Standard, Street Bob Special, Low Rider S, Fat Bob 114, Sport Glide, Breakout 114, Fat Boy 114 dan Heritage Classic 114, yang dijual pada harga antara RM89,900 hingga RM123,900.
Model yang terdapat nombor 114 pada namanya menggunakan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc dengan tork 155 Nm, sementara selebihnya menggunakan enjin Milwaukee-Eight 107 1,746 cc yang mampu menghasilkan 139 Nm dan 144 Nm tork (bergantung kepada model).
Bagi model Touring, Harley-Davidson Malaysia membawa masuk enam model iaitu Electra Glide Standard, Road King, Road King Special, Street Glide Special, Road Glide Special dan Ultra Limited. Harganya diletakkan antara RM129,900 hingga RM189,900. Bagi model-model ini, hanya Electra Glide Standard dan Road King sahaja yang menggunakan enjin Milwaukee-Eight 107 1,746 cc sementara yang lain menggunakan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc.
Model yang mempunyai harga lebih tinggi adalah Trike (tiga tayar) serta CVO, yang mempunyai ciri lebih lengkap dan canggih, dan harganya terletak antara RM230,900 hingga RM347,900. Model Trike digerakkan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc dengan tork 159 Nm, sementara model CVO pula dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 117 169 Nm tork.
Turut termasuk dalam senarai tahun 2021 ini adalah model Adventure Touring Pan America, yang kini sudah dibuka untuk tempahan pada harga RM99,00 bagi versi Standard dan RM115,900 untuk versi Special. Model ini dijangka tiba dalam negara pada bulan Mei atau Jun tahun ini. Semua harga yang dinyatakan di atas tidak termasuk aksesori tambahan dan ia datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.
GALERI: Harley-Davidson Low Rider S 2021
GALERI: Harley-Davidson Softail Standard 2021
GALERI: Harley-Davidson Street Bob Special 2021
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.