Mitsubishi Airtrek 2022 bakal muncul sebagai sebuah SUV elektrik untuk pasaran China, lancar tahun ini

Setelah beberapa tahun nama Airtrek hilang dalam pasaran dan diganti dengan Outlander, kini nama itu muncul kembali pada sebuah model yang ditunjukkan oleh Mitsubishi sebagai satu teaser di Auto Shanghai. Ia dikatakan sebagai sebuah SUV elektrik dan bakal dijual di negara itu hujung tahun ini.

Bakal dibuat oleh GAC, Airtrek baru ini dipanggil sebagai “SUV e-cruising”, yang berasaskan tiga perkataan utama iaitu elektrik, berkembang dan penuh ekspresi. Mitsubishi berkata, kereta ini mampu memberikan “imej sofistikated yang canggih”, sesuai untuk sebuah kereta elektrik, sambil menerapkan identiti rekaan jenama itu secara konsisten.

Rupa Dynamic Shield yang banyak digunakan oleh Mitsubishi sekarang ternyata ada pada Airtrek baru, dengan jalur krom membahagikan DRL yang berada di atas dengan lampu berbentuk L di bawah. Rekaan hampir sama pernah dilihat pada Mi-Tech Concept tahun 2019 dan bahagian belakang juga menggunakan konsep lampu L yang sama.

Mitsubishi Airtrek 2022 bakal muncul sebagai sebuah SUV elektrik untuk pasaran China, lancar tahun ini

“Kami telah membangunkan Airtrek sebagai sebuah SUV yang membenarkan pelanggan menikmati pengembaraan tanpa had,” kata pegawai eksekutif jualan dan pemasaran global Mitsubishi, John Signoriello. “Direka khas untuk pasaran China, Airtrek baru ini akan dilancarkan hujung tahun ini sebagai model keempat untuk barisan model Mitsubishi Motors di China,” tambah beliau.

Memandangkan Mitsubishi mempunyai perikatan dengan Renault dan Nissan, kita boleh menjangka ia menggunakan asas yang sama dengan salah satu model elektrik daripada jenama itu. Calon paling dekat mungkin adalah Nissan Ariya, iaitu sebuah SUV yang menggunakan platform modular CMF-EV yang ditawarkan dengan pacuan sama ada depan sahaja atau e-4ORCE semua roda. Dengan cas penuh, ia boleh bergerak sehingga 610 km dan memberi kuasa sehingga 388 hp.