Demi keberkesanan pembayaran saman secara dalam talian, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menambah baik portal dan aplikasi MyBayar Saman.
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, sehingga 15 April 2021, seramai 814,622 pengguna berdaftar direkodkan sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 25 Mac lalu, laporan Bernama.
“Kita dalam proses kemas kini sistem, antaranya dengan memperkenalkan kutipan seperti pendaftaran daripada syarikat, warga asing dan had bayaran yang dikenakan terhadap individu,” katanya.
Tambah beliau, PDRM merekodkan kutipan kompaun lebih RM89 juta daripada 803,739 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman selepas tawaran diskaun sehingga 50% menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih itu tamat pada 15 April lalu.
MyBayar Saman dilancarkan sempena dengan sambutan Hari Polis ke-214 oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador. PDRM berkata, masa kini, orang ramai lebih cenderung untuk membuat transaksi dalam talian, justeru aplikasi/portal ini dilihat mampu memudahkan lagi untuk mereka menyelesaikan saman trafik masing-masing. Tahun lalu sahaja, sebanyak 46.7% saman trafik dibayar menerusi e-pembayaran, berbanding sekitar 18.5% pada 2019. Untuk rekod, sejumlah 5.37 juta saman dikeluarkan sepanjang tempoh 2016 hingga 2020.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.