Kita sudah tahu bahawa pelbagai negara Eropah dan mungkin termasuk Jepun akan mengharamkan terus penjualan kereta baharu berkuasa bahan api fosil menjelang tahun 2030 nanti. Tapi ini sesuatu yang lebih mengejut – negara jiran kita, Thailand juga nampaknya bakal mengambil langkah berani yang sama untuk mengharamkan jualan kereta petrol dan diesel hanya sedikit lewat iaitu pada 2035.

Tidak hairan mengapa negara Gajah Putih berkenaan berani untuk mengumumkan rancangan berkenaan kerana sejak berberapa tahun kebelakangan ini Thailand dilihat begitu aktif bersaing dengan Indonesia bagi mengalihkan industri automotif mereka lebih ke arah elektrifikasi.

Halatuju mereka jelas dengan mengumumkan pelbagai rancangan untuk memproduksi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan juga pengilangan bateri serta membangunkan infrastruktur untuk penggunaan kereta berkuasa elektrik penuh.

Terbaharu, Thailand telah mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk hanya menjual kenderaan bebas emisi di negara berkenaan bermula 2035, selari dengan rancangannya bagi menjadi hab untuk produksi EV bagi rantau Asia Tenggara, lapor Bloomberg.

Malah pada tahun lalu, Thailand sudah pun mengumumkan polisi mereka yang mensasarkan untuk mewujudkan pengkalan produksi EV untuk rantau ini dalam masa lima tahun, dan sekarang ia telah dipercepatkan lagi.

“Kita boleh tengok dunia sedang menuju kearah tersebut, jadi kami perlu bergerak cepat. Kami mahu untuk mendapatkan pertumbuhan selepas pandemik, dan kami mempunyai cita-cita untuk menjadi pusat produksi kerana kami sudah pun mempunyai rantaian bekalan sedia ada,” kata penasihat kepada jawatankuasa polisi kebangsaan kementerian tenaga Thailand, Kawin Thangsupanich.

Rancangan baru ini turut menetapkan sasaran bagi mendapatkan jumlah kenderaan elektrik sebanyak 50% dari jumlah keseluruhan pendaftaran kereta baharu menjelang akhir dekad ini, naik 30% berbanding yang sasarkan sebelum ini ketika Thailand mengumumkan rancangan mereka untuk menghasilkan 750,000 unit EV setahun pada 2030. Jumlah tersebut adalah keseluruhan kenderaan termasuk komersial dan dua roda.

Sekarang Thailand sudah pun menetapkan tarikh sasaran untuk mengharamkan jualan kereta dengan enjin pembakaran dalaman, manakala langkah seterusnya akan menyaksikan kerajaan negara berkenaan membuat penyediaan terhadap perubahan tersebut.

Menurut Kawin, ini dapat dilakukan dengan menawarkan insentif cukai, membina infrastruktur berkaitan dan membangunkan regulasi untuk mempromosikan pengilangan EV serta memberikan insentif kepada pengguna untuk membeli kereta elektrik sepenuhnya berkenaan.

Buat masa ini jumlah jualan kereta elektrik sepenuhnya di Thailand adalah kurang dari 1%, oleh itu membuat garis masa adalah langkah yang perlu bagi memastikan ia terus berkembang, menurut pengerusi kehormat persatuan kenderaan elektrik Thailand.

“Jika kita membiarkan adaptasi EV berlaku secara semula jadi, ia akan memakan masa yang sangat lama. Sebagai pengeluar, membuat sasaran yang jelas akan menjadikan negara lebih menarik untuk pelaburan,” jelasnya.