Isuzu D-Max 2021 dilancar di M’sia – RM89k-RM142k

Isuzu D-Max 2021 dilancar di M’sia – RM89k-RM142k

Isuzu Malaysia akhirnya melancarkan secara rasmi model D-Max 2021 generasi ketiga serba-baru untuk pasaran tempatan, dua minggu selepas mendedahkan perinciannya kepada umum. Semuanya ada tujuh varian ditawarkan, dengan harga bermula dari RM89k.

Ia dimulakan dengan model Single Cab paling asas, dengan dengan pilihan enjin 1.9 liter (RM88,599) atau 3.0 liter (RM95,538); diikuti oleh 1.9 liter Standard 4×4 manual (RM99,599) atau automatik (RM106,999); Premium 4×4 Automatik 1.9 liter (RM121,549) dan 3.0 liter (RM128,038); dan varian paling tinggi terbaru yang diperkenalkan, X-Terrain 3.0 liter 4×4 (RM141,938).

Rekabentuk D-Max serba baru ini menerima pembaharuan yang meluas menjadikannya tampil lebih maskulin; ketinggian bonet dinaikkan 15 mm, sementara bahagian door sill juga dinaikkan 20 mm. Garis bumbung juga direndahkan 15 mm untuk memberikannya profil yang lebih sporty. Jarak antara rodanya pula ditambah 30 mm — menjadikan kabin lebih luas — manakala bukaan pintu ditambah 25 mm.

Isuzu D-Max 2021 dilancar di M’sia – RM89k-RM142k

Menggunakan platform baru dikenali sebagai Dynamic Drive Platform (masih binaan body-on-frame), memberikan ketahanan struktur yang lebih teguh, perlindungan ketika perlanggaran, kestabilan pemanduan dan pengurangan tahap bising NVH. Ketinggian meredah banjir juga kini 800 mm berbanding 600 mm sebelum ini.

Ada dua kapasiti enjin yang ditawarkan, dengan yang pertama unit RZ4E-TC 1.9 liter common-rail empat-silinder diesel yang sudahpun diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, menghasilkan 150 PS dan 350 Nm tork. Output masih sama, tetapi menurut Isuzu enjin ini kini lebih lancar dan senyap.

Bagi unit 4JJ3 3.0 liter, ia diberikan penambah baikan dan peningkatan baru. Ia kini menghasilkan 190 PS dan 450 Nm tork, menampilkan peningkatan sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit enjin 4JJ1 3.0L yang digunakan sebelum ini — memanfaatkan engine head dan pengecas turbo baru.

Isuzu D-Max 2021 dilancar di M’sia – RM89k-RM142k

Angka ini mungkin tidak terlalu jauh daripada pesaingnya, tetapi Isuzu sejak dulu selalu merendahkan output dari kapasiti sebenar bagi memberi kelebihan kepada ketahanan dan jangka hayat enjin yang lebih lama. Lebih menarik, kedua-dua enjin yang ditawarkan oleh Isuzu ini boleh menggunakan biodiesel B20 tanpa masalah. Transmisi manual dan automatik enam-kelajuannya juga diberi kemaskini agar lebih lancar, begitu juga dengan pemilih sistem pacuan 4×4.

Varian paling asas 1.9L 4×4 Single Cab menerima lampu utama reflektor halogen dengan lampu jenis bulb bagi DRL, bampar depan dan perumah cermin sisi (larasan elektrik) yang tidak dicat, rim besi 16-inci, panel instrumen asas, stereng empat jejari urethene, head unit 1-DIN dengan USB dan dua pembesar suara, kerusi balutan plastik dan sistem pendingin kawalan manual.

Aspek keselamatan, ia dilengkapi dua beg udara, ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, sistem kawalan cengkaman dan pengingat tali keledar untuk semua kerusi. Turut ditawarkan ialah versi enjin 3.0 liter; selain enjin, semuanya sama. Hanya warna Splash White disediakan untuk varian ini. Pelapik ruang barangan ada sebagai pilihan dengan kos RM950, sementara sport bar pula dengan kos tambahan RM1,320.

Beralih kepada varian 1.9L 4×4 MT Standard pula, ia datang dengan kabin berkembar. Ia diberikan cat pada bampar dan cermin sisi, lampu kabus halogen, rim aloi 17-inci dengan tayar 255/65, sensor parkir, kluster instrumen yang lebih menarik dengan paparan multi-info 4.2-inci, stereng urethane dengan multi-fungsi, kerusi balutan fabrik, head unit 2-DIN dengan Bluetooth dan enam-pembesar suara, serta corong pendingin di belakang (standard untuk semua varian Double Cab).

Naik ke varian 1.9L 4×4 AT Standard pula, ia menerima tambahan lampu utama projektor bi-LED dengan DRL LED. Semua yang lain kekal sama. MT Standard boleh didapati dalam tiga warna pilihan — Splash White, Mercury Silver dan Onyx Black — manakala AT Standard ada tambahan warna Valencia Orange dan Sapphire Blue.

Varian yang menarik untuk dipertimbangkan bermula dari 1.9L 4×4 AT Premium. Ia datang dengan lampu utama projektor bi-LED, lampu kabus depan dan belakang LED, lampu belakang kombinasi LED, perumah cermin sisi krom dengan fungsi lipat automatik, rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain, stereng multi-fungsi balutan kulit dan skrin sentuh tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan fungsi Wifi.

Ia juga ada lapan-pembesar suara, kerusi balutan kombinasi kulit hitam, kemasan kulit dan satin krom yang lebih halus, cermin pandang belakang elektrokromik serta sistem kawalan pendingin dua zon. Kelengkapan lain pula termasuk kawalan melayar pasif, sistem tanpa kunci, lampu aluan, kamera undur dan sistem bantuan pintu barangan belakang.

Bagaimanapun, sistem bantuan pemandu canggih pada varian ini hanya terhad kepada peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang; AT Premium juga hanya datang dengan dua beg udara. Pilihan warna kekal lima yang sama seperti 1.9L 4×4 AT Premium, tetapi warna Splash White diganti dengan Silky White Pearl yang lebih premium. Bagi varian 3.0L 4×4 Premium V-Cross pula, perbezaannya cuma kapasiti enjin serta kerusi pemandu dengan larasan manual enam-hala. Beg udara juga masih cuma dua.

Varian paling tinggi yang baru diperkenalkan pula ialah 3.0L 4×4 AT X-Terrain, dengan beza harga sekitar RM14k berbanding 3.0L AT Premium. Tambahannya pula melibatkan cermin depan khas yang mengurangkan penembusan cahaya infra-merah, bilah pengilap aerofoil premium dengan pencuci bersepadu, rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain serta penghidup enjin jarak jauh.

Di dalam, varian ini juga satu-satunya yang menerima kemasan kulit coklat, kerusi pemandu dengan larasan elektrik lapan-hala dengan sokongan lumbar, larasan stereng teleskopik dan juga atas-bawah serta paparan skrin sentuh sembilan-inci.

Dari aspek keselamatan, variran tertinggi ini hadir dengan pakej ADAS lengkap; tujuh beg udara, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal dan bantuan selekoh ditawarkan sebagai standard. Masih tiada kamera 360-darjah, cuma ada kamera undur dan sensor parkir sahaja.

Jaminan bagi varian X-Terrain juga diberikan selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan, sementara varian lain kekal jaminan lima-tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required