Awal tahun ini, Lotus sahkan khabar angin sebuah model baru yang diberi kod Type 131 akan diperkenalkan tahun ini. Tiga bulan kemudian, pengeluar kereta sport British itu tidak hanya mengesahkan tarikh pengenalan tersebut — iaitu pada 6 Julai — tetapi turut mendedahkan namamnya; Emira.
Nama berkenaan jelas mengambil inspirasi daripada model Evija, sebuah hypercar elektrik dengan janaan kuasa sebanyak 2,000 PS. Menurut Lotus, nama Emira terkandung di dalam beberapa bahasa purba dan kerap diterjemahkan sebagai “pemimpin” atau “ketua”, walaupun dalam maksud yang paling kecil bagi kedua-dua perkataan tersebut.
Beberapa gambar teaser juga telah didedahkan sekali, menampilkan pendekataan rekaan yang kelihatan seperti dipinjam daripada Evija. Ini paling ketara pada bahagian depan, di mana lampu utama nipis diberikan kepada model baru ini (dengan dua jalur bagi DRL) serta bonet yang tampil dalam reka bentuk segi tiga.
Lotus turut mengumumkan bahawa Emira bukanlah sebuah kereta hibrid. Ia sebetulnya akan menjadi model terakhir yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman, menggunakan unit daripada rakan niaga baru dan didakwa sangat cekap dengan memanfaatkan teknologi terkini dan ditala untuk memberikan pengalaman Lotus yang tersendiri. Mungkinkan ini unit Volvo 2.0 liter turbocas empat-silinder dari kumpulan yang sama, Geely?
Emira akan turut menggunakan seni bina ringan yang fleksibel dikenali sebagai Elemental, yang memanfaatkan teknologi aluminium seperti yang dipelopori pada model Elise. Emira ini juga akan menggantikan Elise, Exige dan juga Evora yang lebih besar, dengan pengeluaran bagi ketiga-tiga model berkenaan berakhir hujung tahun ini.
Lotus mempunyai perancangan besar selain melibatkan Emira dan Evija ini, dengan syarikat itu juga sedang membangunkan dua lagi seni bina lain untuk segmen pasaran berbeza. Yang pertama, sebuah platform premium dikenali Evolution, dihadirkan untuk meletakkan Lotus ke dalam pasaran kenderaan gaya hidup (SUV) sementara satu lagi platform untuk kereta sport elektrik dikenali E-Sports akan menjadi asas kerjasama dengan Apline.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.