Ada pemilik asal kereta yang diklon bersekongkol dengan sindiket untuk buat cukai jalan asli – JPJ

Ada pemilik asal kereta yang diklon bersekongkol dengan sindiket untuk buat cukai jalan asli – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan bahawa kegiatan memalsukan pendaftaran kereta yang diseludup masuk ke dalam negara (kereta klon) bukan sahaja dibuat secara curi-curi tanpa pengetahuan pemilik kereta yang di klon, malah ada juga pemilik asal berkenaan yang bersekongkol dengan sindiket tersebut selepas ditawarkan dengan habuan wang tunai.

Menurut pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib dalam laporan Sinar Harian, kategori kenderaan klon adalah pelbagai, antaranya kenderaan yang tidak didaftarkan dan masuk melalui pelabuhan atau sempadan negara sama ada dari Thailand atau Singapura.

“Sebagai contoh, kenderaan klon jenis Toyota Vellfire warna putih, sindiket akan klon menggunakan nombor pendaftaran Toyota Vellfire yang asli di dalam negara. Kenderaan asli itu mungkin digunakan di Kedah mahupun negeri lain yang jauh di mana kebarangkalian pembeli tidak akan ke negeri terbabit bagi mengelakkan ia mudah dikesan.

“Kereta klon ini akan menggunakan sama ada cukai jalan yang dipalsukan atau salinan cukai jalan kenderaan asal. Sekiranya sindiket mengambil nombor pendaftaran orang lain dan gunakan pada kereta klon, ini adalah satu penipuan. Kebanyakan kes sebegini akan datang kepada kita (JPJ) apabila pemilik asal mengatakan dia menerima saman di tempat yang dia tidak pernah pergi. Jadi, kita akan hantar maklumat itu ke negeri terbabit untuk tindakan lanjut,” jelas Nazli.

Ada pemilik asal kereta yang diklon bersekongkol dengan sindiket untuk buat cukai jalan asli – JPJ

Beliau turut menjelaskan bahawa ada juga kategori di mana pemilik kenderaan sendiri bersekongkol dengan sindiket. Nazli memberikan contoh, pemilik ada kereta Volkswagen dan sindiket datang kepadanya dengan menawarkan bayaran bulanan kereta di bank, tetapi dengan syarat kena bersetuju sindiket ‘mengklon’ pendaftaran kereta tersebut.

“Pemilik akan jadi gelap mata dan bersetuju. Ini kes pemilik sendiri setuju. Suspek akan membuat klon beberapa buah kereta seperti itu berdasarkan perjanjian antara pemilik dengan sindiket.

“Sindiket boleh bawa masuk kereta klon dengan menggunakan nombor pendaftaran serupa dengan yang asal. Kemudian, antara sindiket dengan pemilik kenderaan telah menetapkan syarat antaranya pemilik dilarang pergi ke negeri yang menjadi lokasi kereta klon dijual,” katanya.

Nazli menjelaskan, dengan cara kategori kedua ini membolehkan sindiket mendapatkan cukai jalan asli dan kereta klon berkenaan boleh dijual dengan harga jauh lebih tinggi. Ia dibuat dengan cara sindiket meminta pemilik kenderaan asal tersebut hadir ke JPJ dengan mendakwa cukai jalan miliknya telah hilang atau rosak.

Ada pemilik asal kereta yang diklon bersekongkol dengan sindiket untuk buat cukai jalan asli – JPJ

“Di sini pemilik asal kenderaan yang bersekongkol dengan sindiket akan memperoleh cukai jalan yang baharu dan akan diserahkan kepada sindiket untuk digunakan ke atas kereta klon.

“Ini sekali gus menjadikan kereta klon itu bernilai lebih tinggi berbanding kereta klon yang menggunakan cukai jalan palsu. Sindiket juga mampu menghasilkan cukai jalan palsu seolah-olah yang asli menggunakan teknologi canggih,” kata beliau dan menjelaskan pihaknya mengesan kegiatan terbabit apabila pemilik hadir kali ketiga untuk membuat permohonan cukai jalan baharu.

Selain dari dua kategori ini, Nazli turut mendedahkan bahawa ada juga sindiket ‘menghidupkan semula’ kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dan dikategorikan sebagai ‘total lost.’

“Perkara ini orang awam tidak tahu bagaimana mahu pastikan kereta didaftarkan secara sah dan bukan klon,” katanya.
Jelasnya, cukai jalan palsu sukar dilihat perbezaannya dengan yang asli dari segi bentuk tulisan, hologram dan sebagainya sehingga pihak JPJ terpaksa menghantarnya kepada Percetakan Nasional untuk mendapatkan pengesahan.

Beliau menasihati orang awam tidak tertipu apabila menerima tawaran kenderaan mewah dijual semurah RM20,000 kerana sudah tentu ada yang tidak kena dengan kenderaan tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required