Polis Terengganu mendedahkan bahawa kenderaan yang masuk ke negeri berkenaan telah meningkat 25 peratus kepada 18,771 berbanding 15,000 pada hari biasa, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri Khamis ini, menurut laporan Berita Harian.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, berkata pertambahan lebih 3,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dikesan dua, tiga hari lalu dari Pantai Barat, antaranya Selangor, Kuala Lumpur serta Pantai Timur Pahang dan Kelantan.
Beliau turut memberitahu antara alasan popular untuk merentas sempadan ialah atas urusan perniagaan, tuntutan kerja, menghantar dan mengambil anak, menziarahi orang tua uzur serta kematian, dan sehingga kini lapan individu telah dikompaun sebanyak RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.
“Antara kesalahan sering dilakukan ketika merentas sempadan Terengganu-Kelantan ialah mengemukakan surat kebenaran lama yang sudah luput tarikh,” katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan, semalam.
Menurutnya lagi, kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di semua 26 laluan tikus di sempadan Besut, Terengganu-Pasir Putih, Kelantan.Pasukan pemantau juga telah ditambah kepada 150 berbanding 135 pasukan sebelum ini, membabitkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.