Era Group B dalam Kejohanan Rali Dunia pada awal 80’an boleh dikatakan sebagai era kemuncak siri kejuaraan berkenaan. Namun kerana enjin yang terlalu berkuasa serta teknologi keselamatan yang tidak seiring, Group B terpaksa diharamkan selepas kemalangan maut membabitkan pemandu Finland Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto yang menyaksikan Lancia Delta S4 berkuasa 490 PS yang dipandunya terhumban ke dalam gaung dan terbakar pada rali Tour de Corse 1986.
Seperti juga Group A, undang-undang Group B ini juga memerlukan pengeluar menghasilkan model ‘homologation special’ untuk dijual di bilik pameran, yang menampilkan rupa yang sama serta menggunakan asas enjin dan sistem pacuan sama seperti jentera WRC sebenar yang bertanding.
Namun untuk Group B yang menampilkan teknologi yang lebih canggih ini, FIA mensyaratkan pengeluar untuk menghasilkan hanya 200 unit model produksi jalan raya tersebut, berbanding 5,000 unit (kemudian dikurangkan kepada 2,500 unit) untuk Group A. Maka lahirlah model-model produksi ‘homologation special’ seperti Ford RS200 dan juga Lancia 037.
Oleh kerana ia dilangsungkan dalam tempoh yang agak singkat (1982-1986) dan pengharamannya dibuat secara tiba-tiba, ada berberapa pengeluar yang sudahpun menghasilkan prototaip jentera rali Group B mereka tetapi tidak sempat untuk berlumba – antaranya adalah Mitsubishi.
Mitsubishi sebelum itu telah pun menyertai WRC dalam kategori Group 4 menerusi Lancer EX 2000 Turbo, dan selepas itu mereka berhajat untuk ke kategori lebih tinggi iaitu Group B menerusi kereta sport Mitsubishi Starion. Jika untuk model biasa, Starion dihasilkan dalam versi pacuan roda belakang serta muka dengan lampu hadapan ‘pop-up’, jentera prototaip Group B yang dihasilkan oleh Ralliart UK menampilkan sistem 4WD, badan yang lebih lebar serta lampu hadapan kekal berbentuk bulat.
Model-model prototaip untuk jentera rali sebenar tersebut bukan lagi rahsia kerana ia telahpun membuat banyak penampilan dikhalayak ramai. Namun yang belum terdedah adalah bagaimana rupa Starion 4WD berkenaan dalam versi produksi yang ditetapkan perlu dihasilkan sebanyak 200 unit untuk dijual kepada orang awam.
Gambar Starion 4WD yang anda lihat di atas adalah gambar lakaran rasmi sebenar yang dihasilkan oleh Mitsubishi yang baru sahaja tersiar hanya selepas 37-tahun! Menurut laporan Auto Express, lakaran ini merupakan sebahagian dari dokumentasi yang telah dihantar ke Mitsubishi UK pada tahun 1984.
Projek Ralliart UK untuk menghasilkan Starion 4WD ini diketuai oleh bekas pelumbanya, Andrew Cowen dengan input dari bekas juruteknik Audi, Alan Wilkinson. Jika ia benar-benar diproduksi, Starion 4WD ini akan dijana oleh enjin 4G63 “Sirius Dash” 2.0 liter SOHC Turbo sama seperti Lancer EX 2000 Turbo. Manakala untuk 20 unit model ‘evolution’ yang boleh digunakan untuk perlumbaan seperti yang dibenarkan oleh FIA, ia turut menggunakan asas enjin sama tetapi kapasitinya ditingkatkan kepada 2,140 cc.
Enjin tersebut dijangka bakal menghasilkan 350 bhp (355 hp), manakala badannya akan dibina dengan banyak panel dari material gentian karbon dan kevlar, bagi membolehkan berat keseluruhannya mencapai hanya sekitar 1,000 kg. Rekaan muka hadapan yang diubah oleh Ralliart UK ini membolehkan juntaian hadapannya dipendekkan yang bukan sahaja memberikan agihan berat yang lebih baik, malah ia juga membolehkan unit radiator lebih besar diletakkan di hadapan.
Dalam surat yang disertakan sekali dengan lakaran tersebut, Mitsubishi turut dikatakan merancang untuk meletakkan plat nombor siri produksi istimewa untuk setiap Starion 4WD yang bakal dijual, serta dirancang untuk didedahkan di British Motor Show 1984.
Rancangan tersebut pada awalnya selari dengan pembangunan jentera protaip Group B sebenar yang membuat penampilan pertamanya di Mille Pistes Rally di Selatan Perancis pada musim panas tahun yang sama, menyaksikan ia menamatkan perlumbaan tersebut ditempat ke-6 dengan dipandu oleh pemandu ujian Mitsubishi, Lasse Lampi.
Jentera prototaip berkenaan turut berlumba di rali peringkat nasional di UK iaitu RAC Rally 1984, namun projek tersebut tertangguh serta proses homologasi dijangka hanya akan dapat disempurnakan pada 1986. Dan seperti yang disebutkan tadi, Group B telah diharamkan secara mengejut pada tahun yang sama, menyebabkan Starion 4WD ini bukan sahaja tidak sempat untuk berlumba dalam WRC, malah model produksinya juga tidak sempat untuk diperkenalkan dalam pasaran.
Walau bagaimanapun, segala usaha yang dibuat oleh Ralliart ini bukanlah satu perkara yang sia-sia. Semua pengetahuan yang telah dikutip ketika membangunkan Starion 4WD seperti enjin dan transimisi telah dibawa untuk untuk membangunkan jentera Group A mereka selepas itu iaitu Mitsubishi Galant VR-4.
Galant VR-4 merupakan jentera pertama Mitsubishi yang berjaya memenangi perlumbaan dalam WRC. Dan evolusi teknologi dari Galant VR-4 juga berkembang ke jentera paling berjaya mereka selepas itu iaitu Lancer Evolution yang membolehkan Tommi Makinen bergelar juara dunia sebanyak empat-kali berturut-turut!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.