Mitsubishi Lancer Evolution: pemegang saham mahukannya, tapi syarikat masih lemah – CEO

Mitsubishi Lancer Evolution: pemegang saham mahukannya, tapi syarikat masih lemah – CEO

Ramai yang tidak menyangka bahawa Mitsubishi akan menghentikan terus penghasilan Lancer Evolution sekitar setengah dekad lalu. Walaupun buat masa sekarang masih belum lagi ada petanda bahawa akan ada Evo baharu yang akan menyaingi Subaru WRX STI dalam pasaran, masih ramai peminatnya yang berharap sedan prestasi pacuan semua roda tersebut akan kembali dihidupkan semula satu hari nanti.

Namun pada Mei lalu, seakan ada sinar baru buat peminat Mitsubishi apabila sayap sukan permotorannya, Ralliart diumumkan akan dihidupkan semula. Jenama tersebut bukan hanya menghasilkan aksesori-aksesori custom untuk model-model baharu Mitsubishi, malah mereka akan kembali berlumba semula.

Ketika mesyuarat tahunan pemegang-pemegang saham baru-baru ini, CEO Mitsubishi Takao Kato memberikan lebih pencerahan tentang rancangan untuk menghidupkan kembali Ralliart, dan ia telah dilaporkan oleh Response dan JNC.

“Kami umumkan kelahiran semula Ralliart pada Mei lalu. Kami rancang untuk kembangkan ia kepada lebih banyak model sebagai aksesori asli pada peringkat awal, tetapi kami turut akan menimbang semula penglibatan dalam sukan rali pada masa akan datang. Kami akan buat pelbagai usaha untuk merealisasikannya,” kata Kato.

Mitsubishi Lancer Evolution: pemegang saham mahukannya, tapi syarikat masih lemah – CEO

Berkenaan Lancer Evolution pula, Kato menyatakan satu fakta yang agak memeranjatkan – pemegang-pemegang saham sebenarnya sangat mahukan ianya dihasilkan semula. Namun kerana penghasilan model berprestasi tinggi ini tidak akan memberikan keuntungan, belum lagi masanya untuk Mitsubishi menghasilkan model generasi baharu untuk Lancer Evolution.

Buat masa sekarang, sasaran utama Mitsubishi adalah untuk kembali untung. Sebagai sebahagian dari usaha untuk mencapai sasaran berkenaan, Mitsubishi akan fokus kepada teknologi elektrifikasi dan juga membangunkan model yang akan memberikan semula perasaan “pemanduan sebenar Mitsubishi”.

Oleh kerana kebanyakkan pelaburan perlu dialirkan untuk tujuan ini, mereka masih tidak boleh menghasilkan model genrasi baharu Lancer Evolution kerana ia bukan model pasaran massa.

“Elektrifikasi memerlukan banyak kos pembangunan, dan syarikat masih belum benar-benar kuat. Kami masih mencatatkan defisit besar pada tahun fiskal lalu, jadi kami mesti terlebih dahulu mengembalikan syarikat sebelum menghasilkan kereta yang peminat mahukan. Saya mahu lakukannya,” kata Kato lagi.

Sebagai salah satu strategi baru, Mitsubishi mahu kereta-kereta dengan teknologi elektrifikasi mendominasi separuh dari jualan globalnya menjelang 2030. Teknologi ini bukan perkara baharu buat Mitsubishi kerana mereka sudah pun menghasilkan antara kereta elektrik sepenuhnya dalam pasaran iaitu Mitsubishi i-MiEV sejak tahun 2009.

Sebelum itu, Mitsubishi juga pernah mendedahkan model konsep prestasi elektrik iaitu Lancer Evolution MIEV Concept pada tahun 2005. Model konsep yang diasaskan dari Lancer Evolution IX berkenaan dilengkapi motor elektrik yang diletakkan pada setiap roda, dengan setiap daripadanya berkuasa 67 hp.

Secara keseluruhan, Evo elektrik pacuan semua roda berkenaan menghasilkan 270 hp dan tork maksima 518 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Ia menerima tenaga dari bateri lithium-ion 95 Ah, serta mampu mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

Jika Lancer Evolution generasi baharu benar-benar dihasilkan kelak, ia mungkin turut akan menerima teknologi elektrifikasi – mungkin sebagai hibrid petrol-elektrik, mungkin elektrik sepenuhnya. Ia tidak mustahil kerana mengikut kata-kata bos syarikat tersebut, mereka memang masih mahu menghasilkan model berkenaan, tetapi masih tidak mampu buat masa sekarang. Mana tahu pelan pemulihan semula syarikat tersebut akan berjalan lancar nanti kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required