Ini berita gembira untuk peminat Mitsubishi, khususnya dalam dunia modifikasi dan juga sukan permotoran – jenama tiga berlian berkenaan kini mengesahkan bahawa divisi perlumbaan mereka, Mitsubishi Ralliart akan dihidupkan semula!
Perkara ini disahkan ketika pengumuman pendapatan Mitsubishi untuk tahun kewangan 2020. Mitsubishi menyatakan mereka bakal menghidupkan kembali Ralliart selepas 11-tahun menyepi bagi mengembalikan apa yang disifatkan sebagai “Mitsubishi-ness driving.”
“Untuk pelanggan yang mahukan pengalaman Mitsubishi-ness, kami akan melancarkan akseosori buatan custom untuk barisan model kami serta masuk semula dalam acara sukan permotoran di seluruh dunia,” kata CEO Mitsubishi, Takao Kato dalam laporan Forbes.
Perincian lebih lanjut tentang rancangan berkenaan masih lagi belum dijelaskan buat masa sekarang. Namun menerusi slaid yang disiarkan, trak pikap Mitsubishi Triton adalah antara model yang akan menerima sentuhan Ralliart. Berberapa model baharu Mitsubishi juga mungkin akan menerima sentuhan yang sama, serta mungkin melibatkan teknologi elektrifikasi.
Mitsubishi sudah pun berkecimpung dalam pelbagai kejohanan rali antarabangsa menerusi Lancer generasi pertama pada era 70’an. Ralliart kemudiannya ditubuhkan pada era 80’an untuk membawa cabaran Mitsubishi dalam kejohanan rali dunia (WRC).
Mitsubishi Ralliart benar-benar menunjukkan taringnya pada era 90’an dan Y2K apabila berjaya menggondol 12 gelaran juara Rali Paris Dakar dengan SUV Pajero, serta membawa Tommi Makinen untuk mempertahankan takhta juara dunia WRC empat tahun berturut-turut dengan siri Lancer Evolution.
Namun akibat masalah kewangan yang dihadapi, Mitsubishi terpaksa mengecilkan operasi mereka dari semasa ke semasa, termasuk terpaksa menarik diri dari WRC pada penghujung musim 2005, kemudian penutupan divisi Ralliart pada tahun 2010 di mana mereka menutup terus program perlumbaan pelanggan dan menghentikan penghasilan aksesori serta peralatan prestasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.