GALERI: Mitsubishi Triton Athlete kini model tertinggi baharu dalam barisannya, gantikan varian Adventure X

GALERI: Mitsubishi Triton Athlete kini model tertinggi baharu dalam barisannya, gantikan varian Adventure X

Minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun melancarkan Mitsubishi Triton Athlete 2021, yang kini merupakan model tertinggi dalam barisan Triton, menggantikan Triton Adventure X. Gayanya yang agresif pastinya membuatkan Athlete baharu ini tampil lebih menyerlah. Kami bawakan galeri penuh bagi trak pikap ini.

Penyumbang terbesar dengan gaya yang menyerlah bagi Athlete ini ialah muncung hadapan Dynamic Shield hitam berkilat yang besar ini. Ia menggantikan bahagian dengan kemasan krom yang menghiasi model terdahulu. Di Thailand, model Athlete ini ada ejaan Mitsubishi tertulis di bawah logonya — tetapi versi Malaysia tiada perincian ini.

Tema hitam ini juga menghiasi bahagian sisi, melibatkan bahagian perumah cermin sisi dan pemegang pintu kini dalam warna hitam berbanding dalam warna krom bagi Adventure X sebelum ini. Begitu juga dengan pemijak sisi dan rim 18-inci; Athlete juga menerima tambahan visor pintu aero.

GALERI: Mitsubishi Triton Athlete kini model tertinggi baharu dalam barisannya, gantikan varian Adventure X

Pelekat hiasan badan yang ada pada badannya juga kelihatan ketara, meliputi hampir separuh daripada permukaan badan trak pikap ini, termasuk pada kawasan pintu depan. Bahagian sisi ada ejaan Triton Athlete kelihatan di kawasan berdekatan lampu belakang. Walau bagaimana pun tiada pelekat pada tailgate. Dan bampar serta kemasan pemegangnya juga dihiasi dengan tema hitam berkilat.

Untuk bahagian kabin, Athlete datang dengan kemasan jahitan warna oran pada balutan sterengnya, tombol gear serta tuil brek tangan. Tempat duduknya pula kekal dalam warna hitam dan tidak melibatkan jahitan sama — berbeza daripada versi pasaran Thailand yang hadir lebih banyak dengan perincian oren. Alas pintunya pula datang dengan pencahayaan LED.

Ciri lain masih kekal sama seperti Adventure X, termasuklah enjin yang digunakan masih unit 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan 181 PS dan 430 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem Super Select 4WD-II dengan kawalan menuruni curam.

GALERI: Mitsubishi Triton Athlete kini model tertinggi baharu dalam barisannya, gantikan varian Adventure X

Untuk aspek keselamatan, Triton Athlete datang dengan pelbagai ciri maju yang mendahului segmennya. Ini termasuklah Forward Collision Mitigation (FCM), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist (BSW with LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Auto High Beam (AHB) dan tujuh beg udara.

Triton paling lengkap ini juga datang dengan peninjau 360-darjah (untuk parkir), dashcam dan skrin sentuh 7.0-inci dengan sokongan AppleCarPlay dan Android Auto sebagai ciri standard.

Dengan kehadiran Triton Athelete ini, barisan Triton di Malaysia kini terdiri daripada Triton Athlete, Triton AT Premium (RM121,000), Triton MT Premium (RM113,300), Triton AT (RM105,990), Triton MT (RM100,200) dan paling asas Triton Quest (RM79,890). MMM juga pernah menggunakan nama sama sebelum ini bagi penawaran versi tahun 2018.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required