Abarth telah mengeluarkan satu lagi model edisi khas yang menggunakan Fiat 500, dinamakan sebagai 695 Esseesse dan hanya akan dihadkan kepada 1,390 unit sahaja. Walaupun dengan nama berkenaan, model ini bukanlah versi dengan tumpuan terhadap prestasi untuk litar seperti 695 Biposto yang diperkenalkan sebelum ini, sebaliknya berkongsi banyak persamaan dengan 595 Esseesse.
Apapun, ia tetap melibatkan beberapa kelainan ketara, termasuk bonet baru dengan dua bonjolan yang diperbuat daripada aluminium, serta 25% lebih ringan berbanding jika menggunakan material besi. Bersekali dengan sistem ekzos Akrapovic, 695 Esseesse ini 10 kg lebih ringan berbanding 595 Competizione.
Antara ciri utama yang perlu dinyatakan ialah “Spoiler ad Assetto Variabile”, merujuk kepada wing belakang baru dengan larasan manual dari sudut sifar ke 60 darjah, pertama kali digunakan pada 695 70° Anniversario. Menurut Abarth, pada sudut yang paling agresif dan kelajuan kenderaan 200 km/j, sayap berkenaan memberikan beban aerodinamik tambahan sehingga 42 kg.
695 Esseesse hanya datang dalam bentuk hatchback sahaja (tiada versi bumbung boleh buka), serta dalam dua pilihan warna — Scorpion Black dan Campovolo Grey — dengan setiap warna hanya akan dikeluarkan sebanyak 695 unit sahaja. Semua unit dilengkapi rim aloi 17-inci dengan kemasan merah di tengah, angkup brek merah, lencana khas serta perincian putih pada bampar, perumah cermin sisi dan pelekat tepi badan.
Di dalam, papan pamuka menerika memasan Alcantara dengan tulisan 695 Esseesse diletak di bahagian penumpang. Kerusi Sabelt juga datang dengan jahitan yang padan dengan warna luar yang dipilih, dengan tulisan pada perehat kepalanya. Ruang dalam ini disudahi dengan perincian gentian karbon pada tuil gear, pedal dan stereng.
Untuk enjin, ia menggunakan unit 1.4 liter turbocas empat-silinder petrol T-Jet yang menghasilkan 180 PS (178 hp) dan 250 Nm tork. Pacuan roda depan, ia menggunakan transmisi manual lima-kelajuan, walaupun pelanggan juga boleh memilih transmisi semi-automatik enam-kelajuan.
Dari sudut prestasi, model ini memecut dari 0-100 km/j 6.7 saat dengan had laju maksimum 225 km/j. Kereta ini juga menerima penyerap hentak Koni FSD (Frequency Selective Damping) dan angkup brek Brembo empat-omboh di depan.