Satu panggilan balik mungkin akan dilakukan untuk Aprilia RS660 dan Tuono 660 tidak lama lagi. Ia adalah berkenaan kegagalan rod penyambung di dalam enjin, dan di Amerika Syarikat sudah ada pemilik yang mengalami masalah tersebut.
Mulanya beliau mengadu berkenaan “bunyi gegaran abnormal” di dalam enjin, dan kemudian, apabila dihantar kepada pusat servis, ia didapati berpunca daripada rod penyambung yang telah retak. Usia sebenar motosikal beliau tidak diketahui tetapi RS660 mula dijual kepada awam pada tahun 2020 dan beberapa bulan selepas itu diikuti oleh Tuono 660.
Sumber daripada ibu pejabat Piaggio di Noale, Itali mengesahkan terdapat insiden sedemikian, tetapi panggilan balik secara rasmi masih belum dikeluarkan oleh Aprilia. Walaubagaimanapun, pemilik RS660 dan Tuono 660 boleh menghubungi pengedar rasmi Aprilia berhampiran mereka sekiranya terdapat sebarang masalah.
Sumber yang sama turut memberitahu bahawa daripada semua motosikal yang dihantar ke Asia Tenggara, hanya 89 unit yang terkesan dan melalui senarai nombor VIN yang dikeluarkan, unit yang masuk ke Malaysia tidak terlibat.
Aprilia RS660 dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Mac lalu, pada harga pengenalan RM59,900, sebelum dinaikkan kepada RM66,000. Setakat ini 30 unit sudah terjual sementara untuk Tuono 660 pula harga yang disiarkan adalah RM77,900.
GALERI: Aprilia RS660
GALERI: Aprilia Tuono 660
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.