Hari ini, UMW Toyota Motor (UMWT) telah umumkan bahawa syarikat itu akan memulakan pengeluaran kenderaan hibrid di Malaysia sebagai model CKD. Syarikat itu juga memperuntukkan tambahan RM270 jute untuk memperluaskan operasi pengeluaran sedia ada. Daripada jumlah berkenaan turut termasuk untuk memperkenalkan generasi baru model HEV dengan teknologi maju.

Bagaimanapun, UMWT tidak memberi petunjuk jelas model hibrid yang mana akan dipasang di sini di bawah rancangan tersebut. Dalam usahanya sebelum ini, hanya ada satu model hibrid yang pernah di-CKD; Camry Hyrbid generasi sebelum ini, yang dilancarkan pada tahun 2015 bersekali dengan Camry XV50 facelift ketika itu. Tanpa insentif cukai, model hibrid segmen D dalam penawaran paling itnggi itu dijual pada harga RM174,900, enam tahun lalu.

Jadi, dengan pengumuman terbaru ini, model apa agaknya yang mungkin akan dipasang dan dipasarkan di Malaysia? Kita ada Camry generasi terbaru XV70 ketika ini yang turut mempunyai varian hibrid di pasaran lain. Untuk itu, Camry Hybrid facelift mungkin menjadi satu daripada model yang berpotensi untuk di-CKD, walaupun ia tidak terlalu popular ketika ini, disebabkan oleh tanda harga yang agak tinggi, menghampiri tanda harga model jenama premium lain serta diasak oleh pasaran SUV yang makin berkembang.

Berkaitan SUV pula, Corolla kini sudah mempunyai varian SUV di sini. Toyota Corolla Cross yang dilancarkan pada bulan Mac lalu adalah versi CBU import, tetapi pengeluaran CKD-nya dikhabarkan akan bermula pada separuh kedua tahun ini. SUV ini akan menjadi model dengan asas TNGA yang pertama dipasang di Malaysia.

Dan ketika ini, crossover itu ditawarkan dengan enjin 1.8L NA, tetapi ia juga hadir sebagai model hibrid di pasaran lain. Toyota Corolla Cross Hybrid menggandingkan enjin 1.8L dengan janaan 98 PS/142 Nm dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm dan bateri Ni-MH untuk output keseluruhan 122 PS. Di Thailand, pilihan janaan kuasa ini ditawarkan untuk kedua-dua Corolla Cross dan C-HR.

Turut menggunakan sistem hibrid yang sama ialah model Corolla. Sedan segmen C itu kini dijual di Malaysia dalam bentuk CBU, dengan enjin 1.8L NA. Corolla Hybrid juga sebelum ini pernah dilihat di Malaysia pada penghujung 2019 ketika sedang diuji oleh UMWT.

Kesedaran nampaknya memang sudah terlihat juga sebelum ini. Dalam tahun 2011-2013, banyak kereta hibrid diimport masuk dan diberikan pengecualian cukai. Honda dan Toyota antara yang aktif memanfaatkan kelebihan waktu itu; masih ingat dengan model Toyota Prius generasi ketiga, Toyota Prius C, Lexus CT 200h, Honda Insight dan Honda CR-Z ketika itu juga harganya agak masuk akal, dan menjadi pilihan popular pengguna di bandar.

Langkah seterusnya selepas itu adalah untuk menggalakkan pengeluaran kenderaan hibrid, dan Honda menjadi pendahulu dengan memasak Jazz Hybrid CKD. Bahkan kilang Honda di Melaka masih lagi mengeluarkan model hibrid hingga ke hari ini. Sementar bagi Toyota pula, pengeluaran CKD model hibrid hanya tertakluk kepada model Camry Hybrid XV50.

Dari sudut permintaan pula, ia agak sukar ditentukan. Sebelum ini, sambutan terhadapnya adalah disebabkan oleh tanda harga yang lebih rendah, bukan sangat kerana ia barisan kenderaan yang bersih dan mesra alam atau kerana ia menggunakan kuasa bateri untuk bergerak. Harga petrol yand disubsidi juga menjadikan penjimatan yang diberikan oleh kenderaan hibrid tidak terlalu dirasakan perbezaannya. Selain itu, enjin pembakaran dalaman biasa juga sudah semakin cekap, dengan kapasiti lebih kecil dan prestasi menarik dengan turbo.

Untuk pilihan masa depan, adakan anda akan mempertimbangkan kereta hibrid? Tambahan pula jika ia dipasang di sini, dan diberikan pengecualian cukai serta tanda harga yang lebih berbaloi? Kita tunggu dan lihat perkembangan dari UMW Toyota selepas ini.