Kereta elektrik sepenuhnya (EV) lazimnya tidak memerlukan kotak gear kerana motor elektrik itu sendiri bukan sahaja menghasilkan tork yang cukup kuat, malah keseluruhan tork berkenaan telah pun tersedia bermula 0 rpm, tanpa memerlukan ia dibina pada tahap putaran tertentu.

Namun, pembekal komponen automotif dari Jerman, Bosch telahpun memperkenalkan kotak gear CVT yang dicipta khas untuk dipadankan dengan motor elektrik, dan didakwa akan memberikan pelbagai manfaat untuk kereta elektrik dalam memberikan keberkesanan fungsi yang lebih baik.

Kotak gear berkenaan dikenali sebagai Bosch CVT4EV, dan menurut Bosch ia boleh membantu dalam memenuhi keperluan prestasi untuk pasaran lebih luas serta memberikan manfaat ekonomi dan prestasi pada rangkaian kuasa elektrik, disamping mengekalkan karekter pemanduan yang lancar.

Bosch memberitahu bahawa kotak gear ini bukan hanya sesuai untuk digunakan pada kenderaan elektrik penumpang biasa, malah ia turut sesuai untuk kegunaan kenderaan lain seperti kenderaan komersil ringan untuk membawa beban dan mendaki bukit, sehingga kereta sport yang memerlukan kelajuan maksima yang lebih tinggi.

Kotak gear CVT4EV ini masih lagi kelihatan sama seperti kotak CVT konvensional dan ia beroperasi menggunakan pushbelt. Namun sistem hidraulik seperti pada kotak gear CVT untuk enjin pembakaran dalaman tidak lagi digunakan, dan digantikan dengan sistem elektro-hidraulik.

Bosch menyatakan dengan memadankan kotak gear CVT4EV ini, sesebuah kereta elektrik berkenaan boleh menggunakan motor elektrik lebih kecil dan juga bateri yang lebih kecil bagi mendapat prestasi dan juga jarak gerak yang sama. Ini secara tidak langsung bukan sahaja akan menghasilkan sebuah kereta elektrik dengan kos lebih rendah, malah ia turut akan mengurangkan lagi pencemaran yang disebabkan oleh bahan nadir bumi yang perlu digunakan pada bateri dan motor elektrik berkenaan.

Dalam laporan SAE International, pengarah transmisi untuk Bosch Transmision Technology, Gert-Jan van Spijk menyatakan bahawa dalam ujian yang dibuat pada sebuah kereta elektrik segmen-C berkuasa 201 hp, transmisi dengan berat sekitar 20 kg ini mampu untuk memberikan pecutan 0-100 km/j dan 80-120 km/j masing-masing 3% dan 13% lebih pantas, kelajuan maksima 11% lebih tinggi serta dapat meningkatkan keberkesanan sehingga 4%.

Menurutnya lagi, transmisi CVT ini memberikan pembahagian nisbah yang lebih luas berbanding trasmisi gear tetap dua kelajuan yang ditawarkan pada kereta elektrik premium (seperti Porsche Taycan) buat masa sekarang. Berbanding CVT pada enjin konvensional yang memerlukan ia memberi nisbah seakan 7-8 gear pada transmisi konvensional, CVT4EV ini hanya memberikan nisbah gear seakan 3-4 kelajuan sahaja.

Ini membolehkan CVT4EV menerima tork maksima sehingga 4,000 Nm, berbanding CVT untuk enjin konvensional yang hanya mampu menangani tork kurang dari 400 Nm, dakwa van Spijk dan memberitahu sebab itulah ia turut sesuai digunakan untuk kenderaan komersial ringan.

“Kapasiti tork maksima CVT4EV lebih tinggi dari aplikasi enjin pembakaran dalaman adalah kerana, secara teknikalnya, capaian-nisbah dan kapasiti tork adalah parameter yang boleh diubah. Memandangkan capaian nisbah hanya separuh dari aplikasi enjin pembakaran dalaman, ia mampu untuk menahan tork yang jauh lebih tinggi untuk EV,” jelasnya.