Ducati telah mengeluarkan satu model istimewa bagi menyambut ulang tahun ke-20 kemenangan pertama Troy Baliss dalam WSBK. Ia dipanggil sebagai Ducati Panigale V2 “Bayliss 1st Championship 20th Anniversary”, dan dijual pada harga 20,990 euro (RM104,438) di Itali.
Bayliss menjadi juara WSBK dengan Ducati pada tahun 2001, dan ia adalah antara tiga kejuaraan pertama yang dimenangi menggunakan enjin v-twin Ducati Corse. Beliau juga sehingga kini menjadi satu-satunya pelumba yang memenangi WSBK dan MotoGP dalam musim sama, dibuat pada tahun 2006.
Sebagai satu penghormatan, model keluaran terhad yang menggunakan asas V2 ini dicat dengan corak sama seperti motosikal lumba 996R Bayliss pada tahun 2001, dan nombor #21 yang digunakan oleh beliau dalam perlumbaan diletakkan pada tepi fairing, bersama cetakan tandatangan. Nombor keluaran pula dicetak pada bahagian triple clamp atas.
Jika dibandingkan dengan V2 biasa, model istimewa ini mempunyai kelebihan antaranya pada bahagian suspensi, di mana ia dipasang dengan unit Ohlins yang terdiri daripada fork NX30 di hadapan dan monoshock TTX36 di belakang. Kedua-duanya boleh dilaras secara sepenuhnya dan dijadikan lengkap dengan tambahan damper stereng yang juga boleh dilaras.
Selain daripada itu, model ini juga 3 kg lebih ringan berbanding model biasa, dan ia dicapai melalui penggunaan beteri lithium ion serta tempat duduk monoposto (satu sahaja). Walaubagaimanapun, tempat duduk penumpang serta peletak kaki masih akan diberi dan pemilik boleh menggunakannya jika mahu.
Melengkapkan senarai kelengkapan istimewanya adalah pelindung tabung ekzos gentian karbon dan titanium, getah pemegang jenis sport serta tempat duduk yang menggunakan gabungan dua bahan serta jahitan benang merah. Dalam siaran akhbar, Ducati tidak menyatakan berapa unit model Panigale V2 Bayliss 1st Championship 20th Anniversary ini akan dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.