Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ milik Jon Coupland ungguli Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ milik Jon Coupland ungguli Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

www.matthowell.co.uk

Kebanyakkan acara-acara perhimpunan permotoran klasik biasanya akan mengangkat model-model eksotik, sport dan rare. Namun berbeza dengan acara Hagerty Festival of the Unexceptional yang diadakan di United Kingdom setiap tahun bermula 2014 di mana acara ini adalah untuk meraikan kereta-kereta keluarga klasik yang masih gagah dipandu di negara berkenaan.

Tahun ini Hagerty Festival of the Unexceptional diadakan di Grimsthorpe Castle, Lincolnshire. Dan dari lebih 3,000 peserta yang hadir, Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition 1989 milik Jon Coupland, pegawai polis berumur 30-tahun dari Boston, Lincolnshire telah dipilih sebagai pemenang utama acara berkenaan.

Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition merupakan model yang dihasilkan hanya 201 dan hanya dijual di pasaran UK – dan kereta milik Coupland ini dipercayai satu-satunya Black Knight yang masih lagi wujud. Jika Saga Knight di Malaysia hanya hadir dalam versi Aeroback, model isitimewa pasaran UK ini pula turut ditawarkan dalam versi sedan.

Model Black Knight ini dihasilkan dari model asas Saga 1.5 GL pasaran UK yang dijana oleh enjin 1.5 liter 8 injap karburator. Seperti namanya, ia hadir dengan warna badan hitam, serta diberikan perincian unik seperti jalur pelekat badan dengan tulisan ‘Knight’ serta grafik pahlawan berkuda, penutup rim untuk menutup rim besi 13-inci dengan grafik pahlawan yang sama serta spoiler but belakang yang diperbuat dari getah.

Namun disebabkan model GL ini adalah model dengan spesifikasi asas, ia tidak dilengkapi dengan stereng berkuasa, tiada bumbung suria, serta hanya diberikan tingkap manual yang memerlukan anda memulas tuil bagi menurunkan atau menaikkan cermin tersebut. Ia juga menerima radio manual Blaupunkt Bristol 27 yang boleh memainkan kaset.

Menurut Coupland, pemilik asal kereta ini menyimpannya di dalam garaj sejak tahun 1993 dengan jarak perbatuan hanya sekitar 3,600 batu (5,794 km) kerana jatuh sakit. Ia hanya keluar dari garaj berkenaan pada 2017 selepas dibeli oleh pemilik kedua dan kemudian dipandu sehingga meter perbatuan mencatatkan sekitar 10,000 batu (16,093 km).

Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ milik Jon Coupland ungguli Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

Jon Coupland merupakan pemilik ketiga Saga GL Black Knight ini, dibeli sekitar dua tahun lalu. “Saya telah menjadi peminat kereta pada umur yang muda dan hanya memiliki Proton ini pada 2019, jadi saya belum pernah ke Hagerty Festival of the Unexceptional sebelum ini,” kata Coupland.

“Saya sangat teruja diterima untuk bersaing, jadi apabila berjaya menarik perhatian juri cukup untuk memenangi hadiah utama keseluruhan sudah melebihi mimpi saya yang paling dahsyat!” tambah Coupland lagi.

Antara kereta-kereta lain yang ditewaskan oleh Proton 1.5 GL Black Knight Edition dalam Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 ini adalah termasuk Peugeot 106 XN Graduate special edition 1991, Kia Pride 1990, Fiat 128 1977, Triumph Toledo 1971, Volkswagen Polo C Formel E 1986, Nissan Bluebird 1989, Volvo 340 DL 1986, Ford Escort 1978 dan banyak lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required