Mugen dedahkan kit untuk Honda Civic Hatch 2022

Mugen dedahkan kit untuk Honda Civic Hatch 2022

Selepas Honda mengumumkan perincian berkenaan Honda Civic generasi baharu untuk pasaran Jepun minggu lalu, penala yang sinonim dengan jenama berkenaan, Mugen turut mendedahkan rupa kit yang mereka hasilkan untuk model tersebut. Walau bagaimanapun hanya dua gambar yang disiarkan untuk kit berkenaan, manakala perincian lain termasuk harga akan diumumkan ketika Civic ini mula di jual di Jepun pada 3 September nanti.

Seperti yang telah Honda umumkan sebelum ini, Civic generasi ke-11 hanya akan dijual dalam versi Hatchback untuk pasaran Jepun. Menerusi gambar yang didedahkan berkenaan, Civic yang diberikan kit Mugen tersebut nampak lebih sporty namun tidak begitu garang, memandangkan rekaan asal model generasi baharu ini tidak lagi agresif seperti generasi FC/FK7 sebelum ini.

Mugen memberikan spoiler bawah untuk bampar hadapan, skirt sisi, splitter dan diffuser bampar belakang, spoiler but serta penutup cermin sisi dengan sirip, kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan kemasan gentian karbon pada gril hadapan yang lengkap dengan logo Mugen, pelekat grafik untuk pintu belakang dan juga visor tingkap.

Juga dapat dilihat, Civic berkenaan menerima rim aloi forged 18-inci serta sistem ekzos yang mendedahkan tip ekzos sebenar diserlahkan pada diffuser belakang, berbanding tip krom palsu berbentuk trapezoid pada diffuser asal. Menurut Mugen, mereka juga bakal menawarkan karpet kaki istimewa untuk Civic generasi baharu ini.

Mugen dedahkan kit untuk Honda Civic Hatch 2022

Civic Hatchback pasaran Jepun hanya menerima satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun ia adalah unit yang sama seperti model generasi sebelumnya, enjin berkenaan telah menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm, atau 9 PS dan 20 Nm lebih berkuasa.

Selain dari kotak gear CVT, model Hatchback pasaran Jepun ini turut menerima pilihan transmisi manual enam-kelajuan, yang menurut Honda ia kini diberikan tuil penukar gear yang lebih tegar serta menampilkan gerak tukaran lebih pendek. Ia menampilkan kerangka yang dihasilkan dari logam berkekuatan ultra tinggi, serta diberikan bonet hadapan aluminium bagi mengurangkan beratnya.

Casis model generasi baharu berkenaan ditala bagi memberikan pengendalian yang lincah, kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh dan juga di jalan lurus, pemanduan yang diperhalusi dan sofistikated, serta diberikan sistem Bantuan Pengendalian Lincah iaitu sistem torque vectoring yang beroperasi menggunakan sistem brek.

GALERI: Honda Civic Hatchback 2022 pasaran Jepun

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required