Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

Honda Civic generasi ke-11 bakal dijual pada pasaran Jepun pada 3 September ini, dan ia hanya tampil dalam versi hatchback. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sana, berberapa perincian berkenaan model ini telah diumumkan sendiri oleh Honda selepas rupanya didedahkan pada Jun lalu.

Civic Hatchback pasaran Jepun ini hanya menerima satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder. Walaupun ia adalah unit yang sama seperti model generasi sebelumnya, enjin berkenaan telah menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm, atau 9 PS dan 20 Nm lebih berkuasa.

Selain dari kotak gear CVT, model Hatchback pasaran Jepun ini turut menerima pilihan transmisi manual enam-kelajuan, yang menurut Honda ia kini diberikan tuil penukar gear yang lebih tegar serta menampilkan gerak tukaran lebih pendek. Honda juga mendakwa model generasi baharu ini mencapai kadar penggunaan bahan api 16.3 km untuk setiap liter berdasarkan kitaran ujian WLTP untuk kedua-dua jenis transmisi.

Model pasaran Jepun ini menampilkan rupa yang sama seperti Civic Hatchback yang didedahkan untuk peringkat global di Amerika Syarikat sebelum ini. Ia berkongsi banyak persamaan dengan model sedan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

Bampar belakang model Hatchback ini juga nampak lebih sporty dari Civic sedan dengan menampilkan bahagian kemasan seakan diffuser yang lebih besar. Ia tidak lagi menampilkan tip di tengah seperti Civic Hatchback facelift generasi ke-10, sebaliknya diberikan corong trapezoid di kiri dan kanan bampar dengan kemasan krom sekeliling yang nampak lebih normal.

Dalam kabin, model Hatchback ini turut berkongsi papan pemuka lebih ringkas, serta kemasan dalaman lain yang menggunakan material sentuhan lembut yang lebih premium. Skrin infotainmen utama kini direka ‘berdiri sendiri’, manakala paparan meter untuk pemandu juga hadir dengan instrumen digital sepenuhnya.

Berbanding model generasi ke-10, Civic Hatchback baharu ini menawarkan ruang kaki belakang 35 mm lebih besar. Bersama cermin belakang yang lebih besar serta cermin suku belakang baharu, ia memberikan suasana lebih luas untuk penumpang belakang.

Honda Civic gen. ke-11 pasaran Jepun diperincikan – hanya hatchback, 1.5L Turbo, ada manual 6-kelajuan

Kapasiti ruang but belakang Civic baharu ini adalah 452 liter yang sebenarnya 26 liter lebih kecil dari model sebelumnya. Namun Honda menyatakan bahawa bukaan pintu tailgate berkenaan kini 40 mm lebih lebar bagi memudahkan barang besar dimasukkan pada ruang tersebut. Tempat duduk belakang juga masih boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala rekaan penutup kargo tarik-tepi masih di bawa pada model generasi baharu ini.

Civic generasi ke-11 ini menampilkan kerangka yang dihasilkan dari logam berkekuatan ultra tinggi, serta diberikan bonet hadapan aluminium bagi mengurangkan beratnya. Casis model generasi baharu berkenaan ditala bagi memberikan pengendalian yang lincah, kestabilan lebih baik ketika mengambil selekoh dan juga di jalan lurus, pemanduan yang diperhalusi dan sofistikated, serta diberikan sistem Bantuan Pengendalian Lincah iaitu sistem torque vectoring yang beroperasi menggunakan sistem brek.

Civic Hatchback pasaran Jepun ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Civic LX dan juga model tertinggi Civic EX. Model LX diberikan pelbagai kelengkapan standard antaranya lampu hadapan LED penuh, rim aloi rekaan jejari-Y 18-inci, tempat duduk leatherette dengan pemanas, paparan instrumen tujuh-inci serta skrin sesentuh infotainmen HondaConnect bersaiz sembilan-inci.

Manakala untuk model EX, ia ditambah dengan lampu kabus LED, rim aloi dengan kemasan lebih gelap, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan larasan berkuasa, paparan instrumen digital bersaiz 10.2-inci, upholsteri Ultrasuede, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara.

Kedua-dua varian ini didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing secara standard. Sistem berkenaan kini ditingkat taraf dengan menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif walaupun pada kelajuan di bawah 65 km/j, serta bantuan pengekal tengah lorong.

Sisten Honda Sensing untuk Civic Hatchback pasaran Jepun ini juga diberikan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain. Sistem lain yang turut tersenarai dalam pakej Honda Sensing berkenaan termasuk brek kecemasan automatik (AEB), bantuan stereng ketika mengelak, pengenal papan tanda trafik dan lain-lain.

Untuk sistem keselamatan pasif pula, Civic Hatchback JDM ini turut menerima beg udara lutut untuk pemandu dan penumpang hadapan, menjadikan lapan beg udara yang dibekalkan secara keseluruhan.

Honda Civic Hatchback pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 3,190,000 yen (RM122,500) untuk varian LX sehingga 3,539,800 yen (RM135,900) untuk varian EX. Honda turut mengesahkan model hybrid e:HEV yang lebih mesra alam dan versi prestasi tinggi Civic Type R berdasarkan model generasi baharu ini turut akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required