Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

Selepas didedahkan sepenuhnya pada April lalu, kini Honda Civic 2022 secara rasmi telah dijual pada pasaran Amerika Syarikat dan harga serta perincian setiap varian turut diumumkan sekali, menyaksikan sedikit peningkatan harga berbanding model generasi sebelum ini.

Honda Civic generasi ke-11 pada pasaran AS ini ditawarkan bermula varian asas LX dengan harga US$22,695 (RM93,800), diikuti model Sport berharga US$24,095 (RM99,600) – kedua-dua model ini dijana oleh enjin 2.0L NA. Untuk pilihan lebih berkuasa dijana enjin 1.5L VTEC Turbo, ia bermula dengan model EX berharga US$25,695 (RM106,200), diikuti varian tertinggi Touring dengan harga US$29,295 (RM121,100).

Untuk model 2.0L NA, ia masih dijana enjin sama seperti model generasi sebelumnya pada pasaran berkenaan iaitu unit dengan sistem i-VTEC DOHC empat-silinder berkuasa 158 hp dan tork maksima 187 Nm. Varian LX menampilkan penggunaan bahan api lebih baik iaitu 6.7 liter untuk setiap 100 km. Namun untuk varian Sport dengan rim 18-inci, ia masih sama seperti seperti model sebelum ini iaitu 7.1L/100 km.

Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

Manakala model dengan enjin 1.5L VTEC Turbo pula telah ditala bagi menghasilkan 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini, kini menjana 180 hp dan tork maksima 240 Nm. Penggunaan bahan api untuk model EX adalah 6.5 liter setiap 100 km. Manakala untuk Touring, ia 0.2L/100 km lebih rendah dari model generasi sebelumnya iaitu 6.9 liter untuk setiap 100 km.

Kedua-dua enjin ini hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik yang telah diperhalusi. Kotak gear manual enam-kelajuan hanya akan ditawarkan pada varian prestasi untuk model hatchback yang akan diperkenalkan selepas ini iaitu Civic Si dan juga Civic Type R.

Seperti yang sudah didedahkan sebelum ini, Honda Civic generasi ke-11 ini kembali menampilkan rupa jinak dan matang setelah menerapkan rupa agresif seperti robot Gundam pada model generasi ke-10. Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L serta lampu kabus pada kemasan berbentuk-C pada bampar hadapan.

Bahagian profil sisi Civic ini antara elemen yang membuatkan ia nampak seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

Rupa lebih ringkas dan matang turut ditampilkan pada bahagian dalaman – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa. Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas.

Honda Civic 2022 mula dijual di AS – bermula RM94k, 2.0L NA & 1.5L Turbo, standard dengan Honda Sensing

Konsol terowong tengah bersambung selepas tingkat bawah papan pemuka tersebut. Ia dimulakan dengan ruang storan bersama port USB dan soket kuasa 12 volt. Tombol gear pula diletakkan selepas bahagian berkenaan bersama suis pemilih mod pemanduan, brek parkir elektronik, kawalan brake hold dan juga pemegang cawan. Material yang digunakan pada bahagian kabin ini juga lebih berkualiti dari sebelum ini bagi memberikan suasana lebih premium.

Saiz Civic 2022 ini juga lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,674 mm (33 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,736 mm (36 mm lebih jauh). Ini membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki lebih luas, serta ruang pinggul lebih besar di hadapan dan belakang.

Penglihatan untuk pemandu juga kini lebih baik kerana tiang-A pada Civic ini telah ditolak 1.96-inci ke belakang. Menurut Honda, rekaan ini juga sebenarnya memberikan profil sisi yang nampak lebih menarik dan seimbang kerana tiang berkenaan tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan.

Model pasaran Amerika Syarikat ini menampilkan kelengkapan standard seperti lampu hadapan LED, butang penghidup enjin, skrin infotainmen tujuh-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto, serta meter kelajuan analog bersama paparan informasi digital lain pada skrin tujuh-inci.

Model Sport pula menerima rim aloi dengan rekaan jejari-Y serta kabin kemasan hitam, tip ekzos krom, upholsteri fabrik unik, lapan pembesar suara, pedal sport, pedal penukar gear pada stereng serta mod pemanduan Sport yang baru. Bagi model EX, ia disertakan dengan bumbung suria, pemanas tempat duduk, pemanas cermin sebelah luar dan sistem pendingin hawa dua zon.

Manakala untuk varian tertinggi Touring, ia hadir dengan lampu kabus LED, rim aloi 18-inci unik, upholsteri kulit, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, mod Sport, sistem infotainmen dengan skrin sembilan-inci bersama hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta sistem navigasi dan radio satelit, pengecaj telefon pintar tanpa wayar Qi, paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.2-inci dan juga sistem bunyi dari Bose.

Bagi keselamatan pula, kesemua model diberikan standard dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang telah ditingkat taraf menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif serta bantuan pengekal tengah lorong.

Ia juga hadir dengan pengingat penggunaan tali pinggang keledar belakang, bersama pengingat tempat duduk belakang bagi memastikan tiada apa-apa yang tertinggal sebelum pemandu keluar dari kereta. Model Touring pula menerima tambahan sistem brek kecemasan automatik kelajuan rendah.

Agaknya lama lagi tak Civic generasi ke-11 ini akan tiba di Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required