Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Seperti yang dijanjikan Honda tempoh hari, ini dia tuan puan – Honda Civic generasi ke-11 secara rasminya didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat! Sama seperti model sebelum ini, ia terlebih dahulu diperkenalkan dalam versi sedan, manakala model hatchback akan menyusul selepas ini.

Menurut Honda, selain diberikan perubahan dari segi rupa yang menyeluruh, Civic generasi baharu ini juga menerima peningkatan pada aspek lain termasuk unit rangkaian kuasa, casis, sistem keselamatan serta teknologi-teknologi lain.

Model produksi sebenar ini tidak menampilkan perubahan yang banyak berbanding versi prototaip yang didedahkan November tahun lalu. Ia tidak lagi menyerlahkan rekaan yang agresif seperti Civic FC sedia ada, sebaliknya nampak lebih matang seperti Accord.

Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L. Model produksi ini dibezakan dengan pemadanan lampu kabus pada kemasan berbentuk-C pada bampar hadapan.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Bahagian profil sisi Civic ini antara elemen yang membuatkan ia nampak seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

Honda menyatakan bahawa tiang-A pada Civic ini telah ditolak 1.96-inci ke belakang, yang bukan sahaja membuatkan tiang tersebut tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan, malah turut membuatkan bahagian bonet hadapan menampilkan bayang badan yang lebih menarik.

But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

Saiz Civic 2022 ini juga lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,674 mm (33 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,736 mm (36 mm lebih jauh). Namun lebar dan tinggi model baharu ini masih sama seperti sebelumnya, masing-masing 1,415 mm dan 1,801 mm.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Kabin Civic baharu ini juga hampir sama dengan lakaran yang disiarkan ketika pendedahan Civic Prototype sebelum ini. Ia masih menerima rekaan dengan konsep ‘Man-Maximum, Machine-Minimum’ (M/M), tampil dengan rekaan lebih ringkas dalam masa yang sama menambahbaik aspek ergonomik, ruang dan kegunaan.

Papan pemuka model baharu ini direka ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Skrin berkenaan ditawarkan dalam versi tujuh- dan sembilan-inci, serta datang standard dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Buat pertama kali, Civic ditawarkan sistem bunyi premium Bose, dengan 12 pembesar suara sekeliling kabin yang menawarkan kualiti bunyi yang premium. Suis larasan fizikal untuk sistem pendingin hawa pula diletakkan di tingkat bawah papan pemuka ini.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Konsol terowong tengah bersambung selepas tingkat bawah papan pemuka tersebut. Ia dimulakan dengan ruang storan yang sebenarnya berfungsi sebagai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, bersama port USB dan soket kuasa 12 volt. Tombol gear diletakkan selepas bahagian berkenaan bersama suis pemilih mod pemanduan, brek parkir elektronik, kawalan brake hold dan juga pemegang cawan.

Pemandu pula kini menerima paparan instrumen digital yang menggunakan skrin sebenar bersaiz 10.2-inci, namun ciri ini hanya diberikan pada model-model varian tertinggi. Model lebih rendah hanya menerima skrin 7-inci dengan meter kelajuan analog. Roda stereng juga direka semula menampilkan suis-suis kawalan yang lebih konvesional dari Civic FC.

Honda turut menyatakan bahawa bahagian dalaman Civic baharu ini menggunakan material yang lebih berkualiti. Tempat duduk hadapannya dihasilkan menggunakan kerangka generasi baharu yang dibangunkan menggunakan pendekatan Kerusi Penstabil Badan Honda terkini.

Pandangan hadapan pada Civic ini juga lebih baik hasil dari rekaan semula pada bahagian luaran, bersama pertambahan ruang pada bahagian bahu penumpang belakang (+25 mm), bahagian pinggul penumpang hadapan (+15 mm) dan juga bahagian pinggul penumpang belakang (+41 mm).

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Bagi keselamatan pula, Civic baru ini dilengkapkan dengan teknologi beg udara yang sama seperti Acura TLX dan MDX, menampilkan struktur beg udara hadapan yang boleh menahan kepala bagi mengurangkan putaran ketika berlakunya pelanggaran. Secara keseluruhan, sebanyak 10 beg udara dibekalkan dalam Civic ini, manakala struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) menawarkan perlindungan penumpang yang lebih baik ketika pelanggaran hadapan bersudut.

Pakej sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga dibekalkan secara standard, dan ia kini menggunakan sistem kamera tunggal yang memberikan pandangan lebih lebar berbanding sistem radar bersama kamera yang digunakan sebelum ini. Ia juga dibantu oleh perisian baharu dan pemproses yang lebih berkuasa membolehkan sistem tersebut lebih pantas dan jitu dalam mengesan pejalan kaki, penunggang basikal serta kenderaan lain, serta garis jalan dan juga papan tanda jalan raya.

Dengan kelengkapan baharu tersebut, ia memberikan fungsi sedia ada untuk beroperasi lebih baik seperti memberikan brek lebih semula jadi serta memberikan reaksi lebih pantas ketika menggunakan Adaptive Cruise Control (ACC), dalam masa yang sama memberikan pergerakan stereng lebih linear dan semula jadi ketika menggunakan Lane Keeping Assist System (LKAS).

Honda Sensing ini juga turut menampilkan fungsi Traffic Jam Assist dan lapan penderia sonar, yang membolehkan operasi sistem Low-Speed Braking Control serta kawalan salah tekan pedal untuk hadapan dan belakang.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Untuk pasaran Amerika Syarikat, varian Civic LX dan Sport menerima enjin petrol 2.0 liter empat-silinder DOHC i-VTEC yang menghasilkan 158 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

Manakala varian EX dan Touring masih dibekalkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang ditala bagi menghasilkan kuasa sedikit lebih besar. Enjin tersebut mampu menghasilkan 180 hp pada takat 6,000 rpm (+6 hp) dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm (+20 Nm) jika menggunakan petrol dengan standard oktana 87 Amerika Syarikat.

Kedua-dua enjin tersebut masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Khas untuk versi NA, transmisi berkenaan diberikan pam hidraulik yang lebih lasak yang mampu mengurangkan beban pada pam mekanikal serta dilengkapkan dengan syaf sekunder dengan galas bebola bagi mengurangkan geseran. CVT pada enjin turbo turut dipertingkat dengan torque converter baharu yang lebih berprestasi serta menampilkan program Step-Shift yang ditala semula.

Model Sport dan Touring kini ditambah dengan mod Sport, bersama mod Normal dan Eco yang masih dikekalkan. Mod tersebut menala semula nisbah pemanduan dan juga pemetaan bagi memberikan rasa lebih sporty, serta merubah lampu pada paparan meter kepada warna merah. Mod Eco pula akan mengurangkan kadar sensitif pada pendikit dan transmisi, serta output pada pendingin hawa bagi memberikan pengunaan bahan api lebih baik.

Honda Civic generasi ke-11 didedahkan – enjin 1.5L VTEC Turbo lebih berkuasa, banyak teknologi baru

Untuk pengendalian pula, Topang McPherson pada Civic ini menerima sendi bebola geseran rendah dan juga galas cagak penyerap hentak hadapan bagi memberikan rasa dan balasan stereng lebih baik. Jajaran penyerap hentak dan spring pula dioptimakan bagi mengurangkan geseran ketika beroperasi.

Di belakang, trek roda telah dilebarkan lagi 12.7 mm bagi memberikan kestabilan lebih baik, bersama bushing lebih besar dan juga paksi bushing yang dipertingkat bagi mengurangkan kekasaran. Dua lengan bawah pada suspensi belakang ini juga dibekalkan dengan bushing baharu yang mengurangkan bunyi serta getaran ke dalam kabin, serta memberikan kestabilan ketika jalan lurus dan masuk ke selekoh.

Civic ini masih menggunakan sistem stereng kuasa elektrik, dan Honda telah menala semula sistem tersebut bagi memberikan respon serta kestabilan laluan lurus yang lebih baik. Brek hadapan pula menampilkan angkup dengan seretan rendah dan juga galas roda yang lebih rendah geseran bagi mengurangkan rintangan golekan serta memberikan ekonomi bahan api lebih baik.

Subframe aluminium hadapan Civic ini direka bagi menampilkan struktur lebih kukuh, untuk ketegaran dan kestabilan lebih bagus. Sistem ekzos pada model ini pula menggunakan tiub lentur baharu yang lebih ringan bagi mengurangkan pemindahan bunyi.

Honda Civic generasi ke-11 versi sedan ini akan diproduksi di fasiliti Honda di Alliston, Ontario, Kanada. Harga untuk model baharu ini hanya akan diumumkan selepas ini. Manakala untuk Hatchback, produksinya turut akan dipindahkan ke Amerika Syarikat kerana kilang di Swindon, UK sudah ditutup, dan bakal menggunakan kilang Honda di Greensburg, Indiana.

Agaknya lama lagi tak Civic generasi ke-11 ini akan tiba di Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required